Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

CABARAN MENUNAIKAN AMANAH

Posted by blogpmm on November 30, 2009

CABARAN MENUNAIKAN AMANAH OLEH ABDULLAH AL- QARI BIN HJ. SALLEH.
DIULAS OLEH CHE ZAIDI BIN CHE HASSAN
Sept09

ABSTRAK
Persoalan ‘amanah’ dan pelaksanaanya adalah merupakan satu perkara yang besar dalam pandangan syariat Islam dan juga di kalangan bangsa-bangsa yang maju di dalam dunia ini.

Dalam buku ini, ‘Amanah’ diterangkan sebagai pengawasan terhadap serahan agar dijaga dan dipelihara menurut kehendak penyerahnya agar sesuatu yang diserah berada dalam keadaan yang sempurna dan memuaskan serta mencapai matlamatnya.

Buku ini adalah terjemahan buku asal bertajuk “Al-Amanah” karangan Al-Adiib Ramzi Muhammad Ramzi. Dalam buku ini, penterjemah telah membahagikan amanah dibahagikan kepada 3 cabang iaitu :-
1. amanah Allah
2. amanah diri sendiri
3. amanah manusia

Untuk memberi kefahaman yang yang lebih jelas kepada pembaca, buku ini dipersembahkan dalam tiga bab yang utama iaitu tajuk-tajuk umum amanah, tajuk-tajuk khusus, dan tajuk-tajuk tambahan. Keterangan dan huraian penulis dikukuhkan dengan mendatangkan hujjah dari ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w.

Dalam bab umum, penulis telah membincangkan tentang kepentingan melaksanakan amanah untuk menjauhkan diri dari termasuk ke dalam neraka Jahannam buat selama-lamanya. Perkara amanah ini tidak dapat ditanggung oleh makhluk Allah yang lain seperti langit, bumi, gunung-ganang dan lain-lainnya melainkan manusia.

Di dalam Al-Quran ada disebutkan dengan perkataan ‘amanah’ seperti dalam surah An-Nisa’, ayat ke 58, surah Al-Anfaal, ayat 27, surah Al-Ma’aarij, ayat 32, surah Al-Baqarah, ayat 283, surah Al-Ahzaab, ayat 72 dan lain-lain lagi. Amanah Allah yang paling besar adalah ketaatan dan kepatuhan kepada peraturanNya. Tidak melanggar larangan-larangan Allah dan tidak menghalalkan apa-apa yang diharamkanNya.

Amanah adalah suatu sifat antara sifat-sifat orang mukimin yang benar beriman, wajib dipakai oleh seseorang Islam. Orang yang amanah adalah orang memelihara hatinya, pandangannya, perutnya, tangannya, kakinya, ketaatannya dan lidahnya. Malah, penulis mendatangkan suatu hadith dari Rasulullah bermaksud : “tiadalah keimanan bagi siapa yang tiada amanah dan tiadalah Agama bagi siapa yang tidak boleh memelihara perjanjian”. [H.R. Al-Bukhari].

Setelah menerangkan lebih lanjut tentang kebaikan amanah yang akan menuju ke syurga, kehebatan beristiqomah (tetap pendirian), penulis menerangkan bahawa puncak amanah adalah ‘ikhlas’. Iaitu ikhlas mencari keredhaan Allah Taala.

Dalam bab khusus, penulis membincangkan tentang amanah dengan diri sendiri serta manusia seperti amanah memelihara kemaluan, amanah membayar hutang, amanah dalam bersyarikat, amanah menjadi saksi dan sebagainya.

Secara ringkasnya, boleh saya katakan bahawa amanah Allah adalah berkaitan kefardhuan Agama yang telah diwajibkan ke atas hambaNya yang wajib dipatuhi sepenuhnya untuk mencapai darjat hamba yang dimuliakan oleh Allah Taala. Amanah diri adalah berkaitan kewajiban memelihara diri sendiri dan kesihatan anggota badan yang telah diamanahkan oleh Allah, manakala amanah manusia adalah kewajiban yang berhubung dengan manusia. Lawan kepada perkataan amanah adalah khainat.

Kesimpulannya, buku ini amat sesuai dibaca oleh mereka-mereka yang berada di atas mukabumi Allah ini agar perjalanan hidup kita ini yang sementara saja dapat bergerak dengan teratur, aman dan saksama.

Che Zaidi Bin Che Hassan
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi DH41
Politeknik Merlimau Melaka.
chezaidi@pmm.edu.my

Sorry, the comment form is closed at this time.