Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Archive for December, 2012

ULASAN BUKU OLEH HASNIZAH BT GENO – JKE

Posted by blogpmm on December 26, 2012

DR HASAN HJ .MOHD ALI

40 Kesilapan Mendidik Anak-Anak

Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd,

Akademi Keluarga Malaysia (AKRAB) 1996

ISBN -967-61-0609-7

40 kesilapan mendidik anak-anak memaparkan  40 kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa tanpa disedari dalam mendidik anak-anak. Antara kesilapan-kesilapan yang dinyatakan anataranya adalah memaki hamun sebagai cara menegur anak, kurang berlemah lembut terhadap anak-anak, jarang bersama anak-anak ketika mereka makan, melahirkan rasa kurang seronok ketika makan , membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak, tidak mengamalkan anak-anak dengan konsep keadilan,sentiasa menunujukkan muka masam dihadapan anak-anak, suka bertengkar dihadapan anak-anak, sering mengancam dan menakutkan anak-anak, menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan serta tidak menggalakan anak-anak hidup bekerjasama.

Terdapat 40 kesilapan-kesilapan yang dinyatakan dan setiap kesilapan yang diterangkan, disertakan sekali panduan-panduan berkenaan langkah-langkah praktik yang seharusnya diambil. Ia membantu ibu bapa untuk mengelak kesilapan yang sama berlaku seterusnya membantu ibu bapa untuk membuat pendekatan bagi mengatasi kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan.Huraian buku ini menggunakan pendekatan menerangkan setiap kesalahan yang dikenalpasti, di ulas dan dikaitkan dengan kesan negatifnya terhadap persoanaliti  anak-anak, keutuhan sesebuah keluarga dan juga persekitaran kehidupan keluarga.

Daripada dapatan bacaan isi kandungan buku ini, pelbagai persepsi akan wujud dikalangan pembaca. Persepsi pertama mungkin menyatakan bahawa apa yang dihuraikan tidak berkaitan langsung dengan diri, persepsi kedua menyebabkan seseorang itu sedar dan insaf  lantaran apa yang dibincangkan itu secara tepat mengenai mereka, persepsi ketiga menganggap memang terdapat  kesilapan-kesilapan yang sedemikian tetapi dengan perjalanan masa ia boleh dibaiki dengan mudah. Persepsi keempat , kesilapan ini berlaku bukan kerana ibu bapa tetapi lebih berpunca daripada anak-anak dan terdapat juga persepsi yang menyatakan kesilapan ini telah berlalu dan tidak banyak usaha pembaikan yang dapat dilakukan.

Namun adalah lebih bagus jika penulis dapat mengulas  contoh-contoh perbuatan atau kesilapan-kesilapan agar lebih mudah difahami dan dihayati. Secara umumnya buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bagi menilai dan memperbaiki setiap sudut kelemahan seseorang agar dapat diadun ubat penawarnya.

Advertisements

Posted in JKE | Comments Off on ULASAN BUKU OLEH HASNIZAH BT GENO – JKE

ULASAN BUKU OLEH HJH AMALIA@EMIL BT HASSAN – JKE

Posted by blogpmm on December 26, 2012

SEYYED HOSSEIN NASR

Muhammad Insan Kamil

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001

ISBN 9836236201

Muhammad Insan Kamil merupakan hasil penulisan Seyyed Hossein Nasr. Hasil penulisan ini telah diterjemahkan oleh Baharuddin Ahmad. Penulisan buku memaparkan hasil kajian sejarah dilakukan oleh Seyyed Hossein Nasr. Pada permulaan buku ini penulis buku ini mengajak pembaca flashback sirah Nabi Muhammad s.a.w melalui episod-episod kehidupan baginda. Penulisan flashback penulis ini lebih berbentuk perbincangan. Antaranya ialah isu kritikan melulu ilmuwan barat tentang sifat baginda terhadap seks; isu kritikan pengkaji barat moden tentang penyampaian wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan seorang yang tidak tahu menulis dan membaca;  isu isra’ mikraj yang di luar dimensi masa fizikal; khutbah baginda s.a.w di padang arafah semasa musim haji perpisahan; serta peristiwa Ghadir Khumm.

Setelah itu, penulis buku ini membincang tiga aspek Muhammad Insan Kamil iaitu peranan dan watak nabi Muhammad s.a.w; Nabi Muhammad dan generasi muda; serta sunnah dan hadith nabi.

Pada konteks peranan dan watak Nabi Muhammad s.a.w, penulis buku menggambarkan baginda s.a.w seorang manusia yang mempunyai sifat-sifat mulia dan bebas daripada dosa (maksum). Perwatakan Rasulullah s.a.w yang ikhlas akan Allah dan yang Haq; bermurah hati terhadap semua makhluk; kesederhanaan; dan merendah diri; serta diharumi dengan sifat mengasihani dan menyayangi; dan memelihara silaturahim sehingga menyebabkan nabi Muhammad s.a.w sentiasa dirindui, diingati dan disanjungi sehingga kini oleh umat Islam seluruh dunia. Olahan penulisan buku ini tantang rantaian kehidupan Rasulullah s.a.w sejak kecil sehingga kewafatan baginda boleh menarik perhatian dan emosi pembaca. Selain itu buku ini juga memaparkan peranan nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia contoh atau role model kepada manusia seluruh dunia samada sebagai orang perseorangan, ketua keluarga, pendidik atau pemimpin organisasi.

Manakala pada topik Nabi Muhammad s.a.w dan generasi muda, pembaca akan merasai bagaimana kasih dan sayangnya Rasulullah s.a.w terhadap generasi muda yang sentiasa berhadapan dengan cabaran dan rintangan persekitaran hidup. Nabi Muhammad s.a.w melihat anak-anak muda bukanlah golongan muda yang bermasalah. Sebalik baginda s.a.w melihat mereka sebagai golongan yang diperlukan pada aspek, keperluan, jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial pada setiap zaman. Maka baginda s.a.w menekankan tanggungjawab golongan muda terlebih dahulu sebelum menggariskan hak-hak mereka supaya anak-anak muda ini menjadi seorang umat Islam yang bebas daripada masalah keruntuhan akhlak. Malahan di dalam topik ini, penulis buku menyatakan tentang tanggungjawab masyarakat terhadap generasi muda antaranya pemeliharaan yang sempurna kepada anak-anak perempuan dan anak-anak yatim. Kedua-dua kumpulan sentiasa mendapat layanan buruk semasa zaman jahiliah.

Seterusnya, pada topik sunnah dan hadith, penulis buku ini membincangkan secra ringkas kepada pembaca. Penulis buku ini menyatakan bahawa hadith dan sunnah merupakan penggenap dalam kefahaman manusia akan kitab suci Al-Qur’an.

Setelah membaca buku ini penulis merasai bahawa olahan buku ini sedikit berbeza dengan penulisan buku-buku ilmiah yang lain. Pada persepsi penulis, penulisan buku ini seperti mengajak pembaca bersama-sama berfikir dan berbincang tentang Muhammad Insan Kamil. Jika dilihat buku ini merupakan sebuah buku penterjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, maka buku ini merupakan sebuah buku yang elok dan sesuai dibaca oleh pecinta ilmu. Namun wajar dilihat pula penulis buku ini iaitu Seyyed Hossein Nasr merupakan seorang ilmuwan terkemuka yang berasal dari Tehran  tetapi mendapat pendidikan di Amerika Syarikat. Jika pembaca mengkaji penulis buku ini melalui internet maka pembaca akan lebih memahami tujuan penulisan buku ini. Bagaimanapun pembaca perlu ingat bahawa dalam Allah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Posted in JKE | Comments Off on ULASAN BUKU OLEH HJH AMALIA@EMIL BT HASSAN – JKE

ULASAN BUKU OLEH PN. LIA SUHAIDA BARDAN – JPH

Posted by blogpmm on December 26, 2012

Pengarang : Muhd Kamil Ibrahim

Penerbit : PTS Islamika

Cetakan ke3: 2009

ISBN: 9789673660261

Buku ini secara khususnya membicarakan mengenai haji, persediaan sebelum mengerjakan haji, apa yang perlu dilakukan semasa dan selepas menunaikan haji, dengan gaya penulisannya sangat santai oleh penulis. Penceritaan sebenar berdasarkan pengalaman penulis sendiri telah menjadikan buku ini sebagai kembara ilmu yang tiada penghujungnya dalam kehidupan seorang hamba. Penulis melakarkan pelbagai persoalan asas dalam kehidupan seorang Muslim. Kepercayaan kepada penciptanya, tetapi terdesak dengan kejahilan diri yang sememangnya dimiliki oleh jutaan masyarakat Islam yang lain menyebabkan dia mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang merunsingkan dirinya. Penulis mengakui walaupun dirinya mempunyai kestabilan hidup di dunia, tetapi merasai kekurangan untuk bekalan ke akhirat. Penulis tidak merasa malu untuk belajar membaca Al-Quran walau sudah berumur dan mempelajarinya dengan orang yang lebih muda. Selain itu, buku ini juga membawa pembaca mengenali diri sendiri dan bersedia melakukan perubahan besar dalam hidup mereka. Buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama mereka yang tercari-cari buku motivasi agama dan panduan ibadah yang ditulis secara santai dan bersahaja. Bagi mereka yang bakal dan berpengalaman menunaikan fardu haji akan mendapati buku ini mempunyai nilai yang hebat. Ia mempunyai kemampuan yang luar biasa.

Posted in JH | Comments Off on ULASAN BUKU OLEH PN. LIA SUHAIDA BARDAN – JPH