Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Archive for the ‘JKE’ Category

ULASAN BUKU OLEH HASNIZAH BT GENO – JKE

Posted by blogpmm on December 26, 2012

DR HASAN HJ .MOHD ALI

40 Kesilapan Mendidik Anak-Anak

Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd,

Akademi Keluarga Malaysia (AKRAB) 1996

ISBN -967-61-0609-7

40 kesilapan mendidik anak-anak memaparkan  40 kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa tanpa disedari dalam mendidik anak-anak. Antara kesilapan-kesilapan yang dinyatakan anataranya adalah memaki hamun sebagai cara menegur anak, kurang berlemah lembut terhadap anak-anak, jarang bersama anak-anak ketika mereka makan, melahirkan rasa kurang seronok ketika makan , membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak, tidak mengamalkan anak-anak dengan konsep keadilan,sentiasa menunujukkan muka masam dihadapan anak-anak, suka bertengkar dihadapan anak-anak, sering mengancam dan menakutkan anak-anak, menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan serta tidak menggalakan anak-anak hidup bekerjasama.

Terdapat 40 kesilapan-kesilapan yang dinyatakan dan setiap kesilapan yang diterangkan, disertakan sekali panduan-panduan berkenaan langkah-langkah praktik yang seharusnya diambil. Ia membantu ibu bapa untuk mengelak kesilapan yang sama berlaku seterusnya membantu ibu bapa untuk membuat pendekatan bagi mengatasi kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan.Huraian buku ini menggunakan pendekatan menerangkan setiap kesalahan yang dikenalpasti, di ulas dan dikaitkan dengan kesan negatifnya terhadap persoanaliti  anak-anak, keutuhan sesebuah keluarga dan juga persekitaran kehidupan keluarga.

Daripada dapatan bacaan isi kandungan buku ini, pelbagai persepsi akan wujud dikalangan pembaca. Persepsi pertama mungkin menyatakan bahawa apa yang dihuraikan tidak berkaitan langsung dengan diri, persepsi kedua menyebabkan seseorang itu sedar dan insaf  lantaran apa yang dibincangkan itu secara tepat mengenai mereka, persepsi ketiga menganggap memang terdapat  kesilapan-kesilapan yang sedemikian tetapi dengan perjalanan masa ia boleh dibaiki dengan mudah. Persepsi keempat , kesilapan ini berlaku bukan kerana ibu bapa tetapi lebih berpunca daripada anak-anak dan terdapat juga persepsi yang menyatakan kesilapan ini telah berlalu dan tidak banyak usaha pembaikan yang dapat dilakukan.

Namun adalah lebih bagus jika penulis dapat mengulas  contoh-contoh perbuatan atau kesilapan-kesilapan agar lebih mudah difahami dan dihayati. Secara umumnya buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bagi menilai dan memperbaiki setiap sudut kelemahan seseorang agar dapat diadun ubat penawarnya.

Advertisements

Posted in JKE | Comments Off on ULASAN BUKU OLEH HASNIZAH BT GENO – JKE

ULASAN BUKU OLEH HJH AMALIA@EMIL BT HASSAN – JKE

Posted by blogpmm on December 26, 2012

SEYYED HOSSEIN NASR

Muhammad Insan Kamil

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001

ISBN 9836236201

Muhammad Insan Kamil merupakan hasil penulisan Seyyed Hossein Nasr. Hasil penulisan ini telah diterjemahkan oleh Baharuddin Ahmad. Penulisan buku memaparkan hasil kajian sejarah dilakukan oleh Seyyed Hossein Nasr. Pada permulaan buku ini penulis buku ini mengajak pembaca flashback sirah Nabi Muhammad s.a.w melalui episod-episod kehidupan baginda. Penulisan flashback penulis ini lebih berbentuk perbincangan. Antaranya ialah isu kritikan melulu ilmuwan barat tentang sifat baginda terhadap seks; isu kritikan pengkaji barat moden tentang penyampaian wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan seorang yang tidak tahu menulis dan membaca;  isu isra’ mikraj yang di luar dimensi masa fizikal; khutbah baginda s.a.w di padang arafah semasa musim haji perpisahan; serta peristiwa Ghadir Khumm.

Setelah itu, penulis buku ini membincang tiga aspek Muhammad Insan Kamil iaitu peranan dan watak nabi Muhammad s.a.w; Nabi Muhammad dan generasi muda; serta sunnah dan hadith nabi.

Pada konteks peranan dan watak Nabi Muhammad s.a.w, penulis buku menggambarkan baginda s.a.w seorang manusia yang mempunyai sifat-sifat mulia dan bebas daripada dosa (maksum). Perwatakan Rasulullah s.a.w yang ikhlas akan Allah dan yang Haq; bermurah hati terhadap semua makhluk; kesederhanaan; dan merendah diri; serta diharumi dengan sifat mengasihani dan menyayangi; dan memelihara silaturahim sehingga menyebabkan nabi Muhammad s.a.w sentiasa dirindui, diingati dan disanjungi sehingga kini oleh umat Islam seluruh dunia. Olahan penulisan buku ini tantang rantaian kehidupan Rasulullah s.a.w sejak kecil sehingga kewafatan baginda boleh menarik perhatian dan emosi pembaca. Selain itu buku ini juga memaparkan peranan nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia contoh atau role model kepada manusia seluruh dunia samada sebagai orang perseorangan, ketua keluarga, pendidik atau pemimpin organisasi.

Manakala pada topik Nabi Muhammad s.a.w dan generasi muda, pembaca akan merasai bagaimana kasih dan sayangnya Rasulullah s.a.w terhadap generasi muda yang sentiasa berhadapan dengan cabaran dan rintangan persekitaran hidup. Nabi Muhammad s.a.w melihat anak-anak muda bukanlah golongan muda yang bermasalah. Sebalik baginda s.a.w melihat mereka sebagai golongan yang diperlukan pada aspek, keperluan, jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial pada setiap zaman. Maka baginda s.a.w menekankan tanggungjawab golongan muda terlebih dahulu sebelum menggariskan hak-hak mereka supaya anak-anak muda ini menjadi seorang umat Islam yang bebas daripada masalah keruntuhan akhlak. Malahan di dalam topik ini, penulis buku menyatakan tentang tanggungjawab masyarakat terhadap generasi muda antaranya pemeliharaan yang sempurna kepada anak-anak perempuan dan anak-anak yatim. Kedua-dua kumpulan sentiasa mendapat layanan buruk semasa zaman jahiliah.

Seterusnya, pada topik sunnah dan hadith, penulis buku ini membincangkan secra ringkas kepada pembaca. Penulis buku ini menyatakan bahawa hadith dan sunnah merupakan penggenap dalam kefahaman manusia akan kitab suci Al-Qur’an.

Setelah membaca buku ini penulis merasai bahawa olahan buku ini sedikit berbeza dengan penulisan buku-buku ilmiah yang lain. Pada persepsi penulis, penulisan buku ini seperti mengajak pembaca bersama-sama berfikir dan berbincang tentang Muhammad Insan Kamil. Jika dilihat buku ini merupakan sebuah buku penterjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, maka buku ini merupakan sebuah buku yang elok dan sesuai dibaca oleh pecinta ilmu. Namun wajar dilihat pula penulis buku ini iaitu Seyyed Hossein Nasr merupakan seorang ilmuwan terkemuka yang berasal dari Tehran  tetapi mendapat pendidikan di Amerika Syarikat. Jika pembaca mengkaji penulis buku ini melalui internet maka pembaca akan lebih memahami tujuan penulisan buku ini. Bagaimanapun pembaca perlu ingat bahawa dalam Allah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Posted in JKE | Comments Off on ULASAN BUKU OLEH HJH AMALIA@EMIL BT HASSAN – JKE

Dahsyatnya Qiamullail

Posted by blogpmm on July 22, 2010

“Dahsyatnya Qiamullail”

Menyingkap mukjizat, manfaat, dan keistimewaan ibadah qiamullail bagi meningkatkan kelazatan iman

Pengulas

NORAIHAN BINTI ISA
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau

Penulis : Mahmudin Abdullah
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd. (678177-A)
ISBN : 978-983-3372-50-8
Muka surat : 130 muka surat

Berbicara tentang qiamullail, ramai yang tahu (khususnya bagi yang beragama Islam) akan istilah yang mudah ini. Dari segi bahasanya adalah bangun pada waktu malam. Namun, kuasa di sebalik istilah ini jarang yang dapat merungkainya mengenai keberkesanan dan keutamaannya. Qiamuallail secara lahiriahnya adalah suatu ibadah yang dilakukan hanya pada waktu malam bermula tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar sadik. Apakah yang dikatakan tentang dahsyatnya Qiamullail? Bagaimana ibadah qiamullail ini dapat meningkatkan iman seseorang? Di sebalik sepertiga malam, apakah rahsianya? Siapakah contoh individu yang dapat pencerahan jiwa? Bagaimana untuk membangkit keinginan seseorang memanfaatkan qiamullail pada waktu sepertiga malam ini? Semua pertanyaan ini dirungkai dalam buku Dahsyatnya Qiamullail.
Dahsyatnya Qiamullail terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd adalah hasil terjemahan yang sah Mohammad Ashadi Mohd Zaini daripada sebuah buku bertajuk Mengapa Seharusnya Anda Harus Bangun Malam nukilan Mahmudin Abdullah terbitan DIVA Press, Banguntapan Jogjakarta. Penulis pertama buku ini berasal dari Purworejo, Jawa Tengah, Indonesia. Beliau merupakan graduan dari Fakulti Syariah Institut Agama Islam Imam Ghazali (IAIIG), Cilacap. Penulis begitu aktif menjalankan kajian Islamiah baik di pesantren mahupun di luar yang memegang prinsip hidup “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain”. Dengan terbitnya buku penulisan beliau ini telah memberi manfaat kepada saudara Mohamad Ashadi menulis kembali buku tersebut dengan gaya bahasa yang lebih mudah difahami oleh para pembaca dan pencinta ilmu khususnya di Malaysia. Manfaat bersama yang dapat dikutip dari buku ini juga adalah kupasan perihal keistimewaan berqiamullail ini diatur melalui pokok perbincangan yang begitu menarik perhatian pembaca untuk mengetahui sekaligus mendalami rahsia tersebut. Justeru itu, dapatlah di sini disampaikan sedikit sebanyak subjek yang dibincangkan dalam Dahsyatnya Qiamullail.
Kesungguhan penulis untuk menyampaikan perihal keistimewaan malam adalah dengan merungkai perkara-perkara yang berlaku pada waktu malam bermulanya menceritakan tentang turunnya al-Quran, kitab-kitab lain serta waktu-waktu para nabi menerima mukjizat, petunjuk dan menyaksikan kekuasaan Allah juga pada waktu malam. Di sini juga, dalam topik Hebatnya Waktu Malam, dalam muka surat tiga (3), kita akan terpanggil dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani yang mana Uthman bin Abi al-Ash melaporkan Rasulullah berkata: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia dengan berkata: Adakah wujud orang yang berdoa supaya aku dapat kabulkannya? Adakah wujud orang yang memohon ampun supaya aku dapat mengampuninya?” Di sini jelas terbukti akan kasih sayang Ilahi kepada hambaNya yang sanggup bertemu PenciptaNya pada malam yang hening. Disebabkan itu jugalah malam adalah waktu yang cukup istimewa bagi manusia untuk berkomunikasi secara ghaib dengan Tuhannya. Segala doa dan hajat yang dipanjatkan, insyaallah akan didengari oleh Allah. Begitulah besarnya kekuasaan pada waktu malam.
Dalam topik-topik lain seperti Energi Waktu Malam dan Keutamaan Waktu Sepertiga Malam merungkai tentang sesiapa yang melakukan amalan berqiamullail ini, pelbagai kebaikan dapat diperolehi, antaranya:
• Menghidupkan dan membuka mata batin
• Mendatangkan konsentrasi dan kekusyukan
• Kekuatan kaji diri
• Mewujudkan keikhlasan dan kejujuran dalam beramal
• Mengingati mati

Selain itu, dalam bab 4 yang bertajuk Nilai Keistimewaan Qiamullail menjelaskan tentang sesiapa yang tahu akan nilai qiamullail ini nescaya tidak akan meninggalkannya dan menganggapnya amalan yang lebih utama selepas solat fardhu. Keistimewaan yang dapat dicapai oleh mereka yang mengamalkannya adalah:
• mendapat kemuliaan di sisi Allah,
• amalan yang merupakan salah satu penyebab masuknya umat Rasullah ke dalam syurga,
• menjauhkan seksa neraka,
• menghilangkan kemurkaan Tuhan dan menyejukkan kepanasan api neraka
• dikagumi dan dicintai Allah
• menghapuskan kesalahan dan dosa
• memendekkan masa berdiri di padang mahsyar
• satu perkara yang membolehkan manusia mendapat keampunan
• lebih baik dari dunia seisinya

Satu persatu daripadanya dijelaskan dengan penggunaan bahasa yang boleh membawa kita menilai akan kekuasaan Ilahi. Penulis juga membawakan nas-nas yang terbaik hasil ijtihad para ulama hadis silam.

Kesimpulannya, buku ini dapat memberi sedikit sebanyak ilmu berqiamullail yang dapat dijadikan amalan dan sebati dalam diri.

Posted in JKE | Comments Off on Dahsyatnya Qiamullail

Tip Pendidik Cemerlang

Posted by blogpmm on March 5, 2010

Tajuk: Tip Pendidik Cemerlang
Penulis: Mohammad Shatar Sabran, Jasni Sabri dan
Azali Mohamed
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Muka Surat: 140 halaman
Diulas oleh : HARYANI BINTI HASSAN (JKE)

Di dalam buku ini, penulis menjelaskan bahawa untuk mencapai kecemerlangan selain daripada faktor peribadi pelajar itu sendiri terdapat beberapa faktor atau elemen lain yang memainkan peranan penting seperti peranan pendidik dan persekitaran.
Buku ini merupakan hasil penyelidikan yang telah dijalankan di Universiti Putra Malaysia yang melibatkan seramai 420 pelajar daripada 15 buah fakulti dan 14 buah kolej kediaman.
Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan dalam kajian ini, terdapat 19 ciri utama yang perlu dimiliki oleh setiap pendidik ke arah melahirkan pelajar yang cemerlang. Antaranya ialah mempunyai pegangan agama yang kuat, pemurah ilmu, berfikiran terbuka, bertanggungjawab, mempunyai penampilan menarik, berkeyakinan tinggi, menghormati pelajar, menepati masa dan kreatif dalam pengajaran.

TIP 1: PEGANGAN AGAMA YANG KUAT

Setiap agama di dunia ini sentiasa menggalakkan penganutnya untuk melakukan perkara-perkara yang baik dengan ikhlas dan jujur.
Pendidik yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa memastikan setiap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya dilakukan dengan penuh komitmen dan tanpa ada perasaan menyesal, mengeluh dan membebankan.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik amatlah mulia dan tinggi nilainya sekiranya tugas sekiranya tugas dan tanggungjawab tersebut dilakukan dengan penuh komitmen dan jujur.
2. Setiap amalan dan tugas yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda sama ada di dunia mahupun di akhirat.
3. Masa depan masyarakat dan bangsa adalah bergantung penuh kepada kecemerlangan dan kemajuan generasi pelajar pada hari ini.
4. Sentiasa mencari peluang menambah ilmu agama ke arah kecemerlangan akademik pelajar menurut perspektif islam atau nilai-nilai murni agama lain.
5. Menerapkan nilai-nilai akhlak yang mulia semasa menyampaikan ilmu seperti menugucap salam sebelum memulakan pengajaran dan menghalalkan ilmu selepas tamam mengajar sesuatu subjek.

TIP 2: PEMURAH ILMU

Pendidik yang cemerlang lazimnya pemurah ilmu. Dia sentiasa bersedia mencurahkan ilmu untuk berkongsi maklumat dengan pelajarnya tentang segala pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik hendaklah sentiasa ingat bahawa setiap cebis maklumat dan kemahiran yang diberikan kepada pelajar dengan jujur dan ikhlas merupakan suatu amalan yang baik dan sangat dituntut oleh semua agama.
2. Perkongsian dan perbincangan ilmu dan kemahiran oleh pendidik ke atas pelajarnya tidak akan merugikannya malahan memperkembangkan ilmu tersebut.
3. Matlamat utama seseorang pendidik adalah untuk mendidik dan melahirkan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing. Oleh yang demikian pendidik haruslah bersedia untuk memberikan segala ilmu dan kemahiran yang ada agar matlamat tersebut dapat dicapai dengan jayanya.
4. Ilmu yang diberikan seumpama api yang dicurahkan minyak. Semakin banyak ilmu yang dicurahkan maka semakin berkembanglah ilmu pendidik tersebut.

TIP 3: BERFIKIRAN TERBUKA

Pendidik yang berfikiran terbuka akan mempertingkatkan prestasi akademik pelajar kerana mereka menjadi idola pilihan pelajar. Dia juga akan sentiasa bersedia menerima komen serta kritikan daripada pelajarnya tanpa perasaan marah. Nabi Muhammad s.a.w sendiri masih lagi menerima cadangan dan pandangan daripada sahabatnya.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik haruslah peka bahawa setiap pelajar mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh membantu mereka untuk berjaya. Kelemahan pendidik seperti tiadanya sifat keterbukaan boleh menjejaskan prestasi akademik pelajar.
2. Mempraktikkan konsep menerima tanpa syarat. Pendidik yang mempraktikkan konsep menerima tanpa syarat. Pendidik yang mempraktikkan konsep ini hendaklah menerima semua pandangan dan kritikan pelajar tanpa sebarang syarat atau kriteria.
3. Sikap rendah diri dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna akan membantu setiap pendidik untuk menerima pandangan orang lain, walaupun orang yang memberikan pandangan itu berkedudukan lebih rendah atau usia yang lebih muda.

TIP 4: BERTANGGUNGJAWAB

Pendidik yang bertanggungjawab ialah pendidik yang menjalankan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi. Dia akan memastikan segala matlamat dan objektif tugasnya tercapai dengan cemerlang.
Tiga matlamat utama yang perlu dicapai oleh pendidik ialah pengajaran, penerbitan dan penyelidikan. Pendidik yang bertanggungjawab akan memastikan ketiga-tiga matlamat ini dicapai dengan jayanya walaupun mereka terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik perlu ingat bahawa tugas mengajar merupakan amanah utama yang perlu disempurnakan walaupun ada tugas lain seperti perundingan dan penyelidikan.
2. Pendidik perlulah sentiasa bertanya kepada pelajar di akhir kuliah atau amali untuk menilai tahap kefahaman.
3. Pendidik juga perlulah sentiasa membuat persiapan kuliah dan amali dengan maklumat ilmu terkini supaya pelajar tidak ketinggalan dari segi kualiti dan skop ilmu yang disampaikan.

TIP 5: PENAMPILAN MENARIK

Penampilan menarik merupakan kunci paling penting bagi seseorang pendidik untuk memenangi hati pelajar. Penampilan imej pendidik itu dapat digambarkan melalui pemikiran, gaya, pertuturan gerak-geri dan penggunaan bahasa.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Sentiasa menjaga kebersihan
2. Memiliki sahsiah yang positif dan optimis
3. Sentiasa bersangka baik dengan orang lain
4. Bersedia menerima kritikan dengan hati yang terbuka
5. Bersedia melakukan perubahan
6. Murah dengan senyuman
7. Berusaha memperbaiki kelemahan diri.

TIP 6: MENEPATI MASA

Pendidik yang cemerlang harus tahu dan lebih efisien dalam menepati masa demi kecemerlangan pelajar. Dia mestilah mengutamakan pengurusan masa dari pelbagai aspek kerana ia akan menjadikan kehidupan pelajarnya lebih teratur.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Tiba lebih awal dari masa yang telah dijadualkan
2. Menyediakan nota-nota subjek dan ulangkaji secara teratur sebelum waktu pengajaran
3. Membuat jadual masa yang efektif
4. Menggunakan masa dengan baik
5. Jangan bertangguh-tangguh
6. Manfaatkan masa yang ada
7. Menyusun perkara mengikut keutamaan

TIP 7: KREATIF

Daya imaginasi yang tinggi juga menjadi asas yang utama untuk menjadi pendidik yang kreatif. Pendidik sedemikian gemar mencuba pendekatan yang baru dan menarik dalam menyampaikan ilmu. Situasi sedemikian akan menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran tanpa menjemukan pelajar semasa mengikuti kuliah dan amali yang disampaikan.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik mesti berani mencuba pelbagai teknik pengajaran
2. Pendidik baru perlulah bertanya kepada pendidik yang senior tentang kaedah mengajar
3. Pendidik perlu banyak membaca
4. Pendidik perlu sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelajar.

TIP 8: MERANCANG MENGAJAR

Perancangan yang teliti akan memastikan setiap waktu kuliah digunakan sebaik mungkin bagi tujuan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Dengan adanya perancangan pengajaran, kandungan dan bahan yang hendak disampaikan akan menepati kehendak sukatan pelajaran.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Mengetahui maklumat umum berkaitan dengan kelas seperti bilangan pelajar, nisbah pelajar lelaki dan perempuan, tempat kuliah yang disediakan, waktu kuliah dijalankan, tempoh masa kuliah dijalankan dan purata umur pelajar.
2. Mengenal pasti topik dan aktiviti supaya masa yang sesuai dapat digunakan secara optimum untuk menggunakan strategi pengajaran yang sesuai.
3. Menggunakan pengetahuan sedia ada pelajar seperti pengalaman dan pengetahuan yang pernah mereka lalui atau pelajari sebelumnya. Ini dapat membantu pendidik mengaitkannya dengan pelajaran baru.
4. Menyediakan sumber yang bersesuaian dapat menjadikan pengajaran lebih menyeronokkan.
5. Kaedah dan teknik pengajaran seperti perbincangan, seminar, forum, soaljawab dan latih tubi boleh dijalankan mengikut kesesuaian topik yang diajar.
6. Pengurusan masa perlu dilakukan dengan baik agar bilangan waktu yang diperuntukkan sesuai dengan topik yang diajar agar tidak berlaku tumpuan berlebihan kepada sesuatu tajuk sehingga mengabaikan tajuk kuliah yang lain.

TIP 9: BERPENGALAMAN LUAS

Pendidik yang berpengalaman merupakan mereka yang mahir dengan penggunaan teknologi maklumat untuk mengajar, boleh berkomunikasi dengan berkesan, bijak membuat soalan peperiksaan yang merangkumi skop pengajaran dan berupaya membuat penilaian peperiksaan supaya pembahagian markah adil dan saksama.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Sentiasa berkongsi pengalaman dengan pendidik yang senior. Setiap pendidik perlu didampingi dengan seorang mentor yang terdiri daripada pendidik senior.
2. Sentiasa mengambil peluang menghadiri seminar, bengkel dan majlis ilmu untuk menambahkan pengalaman teknik penyampaian berkesan
3. Menghadiri majlis ilmu yang berkaitan dengan kemahiran kebijaksanaan emosi dan teknologi maklumat.
4. Mengikuti bengkel komunikasi berkesan dan asas kaunseling
5. Menghadiri majlis ilmu yang berkaitan dengan psikologi pendidikan dan penilaian pelajar.

TIP 10: MATLAMAT JELAS

Pendidik yang cemerlang sentiasa sedar akan tugas dan tanggungjawabnya sebagai penyampai ilmu melalui kuliah dan amali walaupun mempunyai peranan lain seperti penyelidikan, perkhidmatan profesional dan perundingan.
Seseorang pendidik perlu terlebih dahulu mempunyai sumber ilmu yang sentiasa terkini dan peka dengan perkembangan ilmu dan mempertingkatkan kualiti nota kuliah dan amali untuk disampaikan kepada pelajar.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Sentiasa muhasabah diri bahawa mereka merupakan pencari dan peneroka ilmu untuk disampaikan kepada pelajar agar dapat meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan negara.
2. Sentiasa mencari dan menggunakan peluang untuk menambahkan ilmu yang boleh diperolehi melalui pelbagai cara seperti membaca, berkongsi pengalaman, menghadiri majlis ilmu dan melayari internet.
3. Menyertakan pengetahuan dan penemuan hasil penyelidikan sebagai bahan pengajaran dengan memperkenalkan hasil penerbitan penyelidikan kepada pelajar
4. Sentiasa bersedia memperkenalkan buku rujukan yang terkini dan baru diterbitkan kepada pelajar.
5. Sentiasa peka dengan misi dan visi universiti yang berkaitan dengan kemajuan akademik pelajar dan polisi pembangunan pendidikan dan akademik negara.

TIP 11: BERKEYAKINAN TINGGI

Keyakinan yang tinggi amat penting bagi seseorang pendidik dalam menyampaikan maklumat atau syarahan kepada pelajar. Pelajar dapat menilai sama ada seseorang pendidik tersebut telah bersedia untuk mengajar ataupun bersikap sambil lewa ketika memulakan pengjaran.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik perlu memiliki kemahiran asas penyampaian pengajaran dengan mengikuti kursus yang berkaitan.
2. Latih tubi pengucapan awam hendaklah dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.
3. Pendidik juga mesti bijak menangani perasaan tidak yakin dengan mempelajari teknik bersenggang.
4. Semua pendidik dikehendaki mengikuti kursus pengajaran mikro yang dapat menambah keyakinan diri.
5. Persiapan awal amat penting kerana kerja pada saat akhir akan menimbulkan perasaan kurang keyakinan semasa mengajar
6. Pendidik perlu sentiasa bersikap dan berfikiran positif.
7. Pendidik perlu melafazkan ungkapan kata-kata yang optimistik.

TIP 12: MENGHORMATI PELAJAR

Menghormati pelajar bermaksud bahawa pendidik memahami kelakuan dan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar, tidak lokek dengan senyuman dan mudah untuk didekati oleh pelajarnya.
Pendidik merupakan ibu dan bapa kepada pelajar semasa di institut pengajian tinggi. Oleh yang demikian pendidik seharusnya menjadikan diri mereka seperti berada dalam sebuah keluarga yang besar supaya mereka akan sentiasa dihormati dan disayangi oleh pelajarnya.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Berikan sepenuh perhatian kepada pelajar
2. Selalu sebut nama pelajar ketika berhubung
3. Berterima kasih di atas penglibatan pelajar
4. Hormati pandangan pelajar
5. Lihat mata dan wajah pelajar ketika berbicara.
6. Tanamkan perasaan simpati ketika mendengar permasalahan pelajar
7. Menjadi pendengar yang baik

TIP 13: PEMBIMBING

Pendidik perlu menginsafi bahawa mereka bukan hanya penyampai ilmu teteapi juga sebagai pembimbing. Pendidik yang berperanan sebagai pembimbing akan memastikan pelajar memahami kandungan kuliah dan amali dengan sebaik-baiknya.
Untuk menjadi pembimbing yang baik, pendidik perlu merangsang, meyakinkan dan memberi sepenuh tumpuan kepada keperluan pelajar yang sedang berhadapan dengan ilmu.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Seseorang pendidik perlu menguasai teknik berkomunikasi supaya dapat memberikan bimbingan untuk kemajuan akademik pelajar.
2. Pendidik perlu memperoleh ilmu yang berkaitan dengan personaliti, tingkah laku dan psikologi remaja untuk menghayati proses bimbingan yang akan disampaikan
3. Pendidik perlu memperoleh ilmu teknik memotivasi pelajar supaya pelajar sentiasa dibimbing melalui rangsangan positif.
4. Sentiasa bersabar dengan kerenah pelajar untuk menjadi pendidik yang merupakan pembimbing. Pengetahuan tentang tingkah laku pelajar remaja boleh membantunya berperanan sebagai pembimbing
5. Tidak mengharap pelajar berfikir sama taraf dengan tahap pemikiran pendidik yang berkelulusan tinggi
6. Menjalankan kelas bimbingan untuk memantapkan kefahaman pelajar.

TIP14: KOMITMEN TINGGI

Seseorang pendidik yang komited dengan profesionnya akan gigih berusaha mengajar dengan baik dan menjalankan tugas yang lain dengan baik juga.
Pendidik yang komited juga akan memastikan persediaan untuk kuliah dan amali dilakukan dengan sebaik-baiknya dan setniasa berusaha menguasai bahasa Inggeris supaya bijak berkomunikasi untuk menyampaikan ilmu dengan baik. Penguasaan bahasa Inggeris pendidik mestilah pada tahap yang tinggi.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Sentiasa menilai diri untuk mengetahui kelemahan yang ada supaya setiap kelemahan ini dapat diubah menjadi kekuatan.
2. Sentiasa merangsang diri untuk menjadi pendidik yang mempunyai komitmen yang tinggi dengan mengikuti program motivasi dan penguasaan bahasa ilmu secara berkesan
3. Menghadiri program komunikasi berkesan secara berterusan
4. Membuat persiapan kuliah dengan sebaik-baiknya dan menambahkan mutu komunikasi persembahan kuliah.
5. Memantapkan kualiti bahan pengajaran dengan memberikan nilai tambah sekerap yang mungkin.

TIP 15: PENASIHAT AKADEMIK

Untuk menjadi penasihat yang prihatin seseorang pendidik perlulah menjadi pendengar yang baik, bersifat terbuka dan menunjukkan imej mesra yang mudah didekati oleh pelajar.
Penasihat akademik sebaiknya bukan hanya menasihatkan tentang kursus yang perlu didaftar tetapi juga meneroka dan mendalami segala permasalahan yang dialami oleh pelajar yang menyumbang kepada kualiti pencapaian akademik mereka. Mereka juga perlu mempunyai pengetahuan asas teknik kaunseling dan tahu makna di sebalik setiap bahasa badan dan pergerakan pelajar ketika pertemuan.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Menjadualkan pertemuan secara kerap dengan semua pelajar untuk mendapatkan maklumbalas tentang kehidupan sebagai pelajar dan masalah yang dihadapi.
2. Mendapatkan maklumat seseorang pelajar yang bermasalah daripada pelbagai sumber seperti kawan karib pelajar tersebut ataupun rekod akademik selain daripada pelajar itu sendiri.
3. Menyiapkan diri dengan teknik asas kaunseling dan kemahiran berkomunikasi.
4. Sentiasa peka dengan maklumat daripada Bahagian hal Ehwal Pelajar untuk mengetahui sumber bantuan seperti kewangan untuk dimaklumkan kepada pelajar.
5. Banyak membuat bacaan tambahan untuk mendapatkan ilmu sebagai sumber bahan untuk penasihatan seperti teknik menghadapi stres, teknik belajar dan menjawab soalan peperiksaan.

TIP 16: PEKA

Pendidik perlulah peka kepada tuntutan perubahan yang berlaku sama ada di luar ataupun dalam persekitaran ke arah pembentukan pelajar yang berilmu, bertanggungjawab, berkebolehan dan berdaya saing.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Seseorang pendidik perlu mempunyai sikap keterbukaan dalam membincangkan segala isu yang disampaikan. Sikap ini akan dapat menonjolkan imej pendidik yang peka untuk membantu pelajar
2. Seseorang pendidik perlu mengetahui perubahan yang berlaku disekelilingnya dan juga pelajarnya.
3. Seseorang pendidik perlu menghormati isu-isu yang diketengahkan oleh pelajarnya kerana pelajar merupakan aset dan klien pendidik.

TIP17: KOMUNIKASI BERKESAN

Dalam konteks universiti, berkomunikasi ialah proses bagaimana pendidik menyampaikan pengetahuan dan juga berkongsi pengalaman dengan pelajarnya dengan lebih berkesan.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik perlu menggunakan bahasa yang jelas dan tepat.
2. Perancangan yang rapi dapat membantu pendidik menyampaikan maklumat atau isi pengajarannya dengan sistematik mengikut prosedur pengajaran yang ditetapkan.
3. Pendidik dituntut untuk menyampaikan apa yang diketahui dan bukannya menyampaikan apa yang tidak diketahui dengan mereka-reka cerita.
4. Pendidik perlu bercakap perkara positif sahaja serta murah dengan penghargaan dan pengiktirafan.
5. Pendidik perlu menyelitkan situasi humor dalam pengajaran agar pelajar tidak tertekan dalam menimba ilmu pengetahuan.
6. Pendidik perlu menghormati pelajar dengan tidak menyampuk atau memintas ketika pelajar memberikan pandangan sama ada pendapat itu betul atau salah. Biarkan pelajar bercakap sehingga habis barulah pendidik mengambil giliran untuk menyatakan pendapatnya pula.
7. Pendidik dilarang sama sekali untuk memberikan maklumat yang palsu, memutarbelitkan maklumat dan menyembunyikan fakta-fakta yang perlu dikongsi oleh pelajar.

TIP 18: PENGAJARAN AKTIF

Bentuk pengajaran yang paling tidak berkesan adalah komunikasi sehala. Situasi ini menyebabkan pelajar beranggapan lebih baik mendapatkan nota kuliah daripada kawan sahaja dan keadaan ini akan menyebabkan pula masalah ponteng kuliah.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Pendidik perlu mengingati dan menyebut nama pelajarnya untuk memudahkan pengajaran aktif
2. Pendidik perlu memberi peluang kepada pelajar untuk bertanyakan soalan.
3. Pendidik perlu melayani persoalan tanpa syarat
4. Pendidik perlu menyanjung serta memuji pandangan dan input pelajar semasa perbincangan.

TIP 19: MOTIVASI TINGGI

Motivasi merupakan satu keperluan untuk merangsang kita bertindak ke arah matlamat yang diingini. Setiap pendidik mestilah mempunyai motivasi diri yang tinggi.

Antara tip yang boleh membantu pendidik:

1. Seseorang pendidik mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap tugas dan pengajaran tanpa mementingkan ganjaran yang diterima.
2. Sentiasa mengambil peluang menghadiri kursus motivasi untuk meningkatkan semangat kerja
3. Sentiasa bergaul dengan rakan-rakan pendidik yang mempunyai motivasi yang tinggi, berfikiran positif dan optimis.
4. Mencari ruang atau peluang untuk meningkatkan kerjaya.

Buku ini sangat sesuai dijadikan sebagai bahan rujukan untuk meningkatkan motivasi diri bagi semua pendidik sama ada di sekolah, kolej, universiti mahupun politeknik. Untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang pendidik tersebut hendaklah terlebih dahulu menjadi cemerlang.
Tip-tip yang diberikan amat bersesuaian untuk para pensyarah politeknik khasnya untuk mempersiapkan diri dalam mempertingkatkan kemahiran bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan politeknik sebagai universiti pada tahun 2015.

Posted in JKE | Tagged: | Comments Off on Tip Pendidik Cemerlang

Petua Pelajar Cemerlang

Posted by blogpmm on March 5, 2010

Tajuk: Petua Pelajar Cemerlang
Penulis: Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah dan
Hj. Muhammad Zakaria
Penerbit: Telaga Biru
Muka Surat: 104 halaman
Diulas oleh : HARYANI BINTI HASSAN (JKE)

Di dalam buku ini, penulis menerangkan istilah kecemerlangan bagi pelajar yang mendefinasikannya sebagai suatu puncak yang tinggi dan gah untuk dicapai.
Mengikut kajian yang dijalankan, 95% pelajar di Malaysia menganggap diri mereka adalah pelajar yang sederhana dan tidak cemerlang. Tetapi sebenarnya individu itu sendiri yang menentukan sama ada hendak menjadi cemerlang, sederhana atau gagal.
Untuk menjadi pelajar cemerlang, kita perlu menukar pandangan, fikiran dan ideologi kita. Kita perlu yakin bahawa Allah telah menjadikan manusia siap sedia untuk menjadi cemerlang, cuma kita yang tidak berupaya untuk menyerlahkan kecemerlangan itu.
Kecemerlangan akan tercipta apabila manusia seperti kita yang datang dari keluarga biasa dengan kecerdasan biasa tetapi berusaha secara luar biasa. Oleh itu untuk mencapai kecemerlangan 21 petua dibincangkan dalam buku ini.

PETUA 1: MENINGKATKAN KEUPAYAAN MINDA
Untuk mencapai kecemerlangan kita hendaklah mempunyai motivasi yang tinggi dengan menggambarkan kecemerlangan di dalam minda dan kawal tindakan dan rangsangan kendiri agar membentuk dorongan yang tinggi.
Fikiran hendaklah difokuskan kepada matlamat pembelajaran yang hendak dicapai dan jangan sesekali memanjakan diri apabila menghadapi kesukaran tetapi memaksa diri kerana orang yang memanjakan diri akan bertindak mengikut emosi dan perasaan semata-mata dan mudah mengalah.

PETUA 2: MENGGUNAKAN KEDUA-DUA BELAH OTAK KETIKA BELAJAR
Otak merupakan anugerah ciptaan Allah yang paling berharga. Orang yang jarang berfikir mempunyai sejumlah 10 bilion sel berbanding orang yang rajin berfikir mempunyai sehingga 1 trilion sel. Semakin kerap kita berfikir semakin banyak sel otak terbentuk. Otak kita mampu menampung sekurang-kurangnya 120 kemahiran tetapi malangnya manusia hanya menggunakan 5-10% sahaja keupayaan otak mereka.
Orang yang bijak, rasional dan kuat berfikir banyak menggunakan otak kiri manakalah orang seni pula banyak menggunakan otak kanan. Untuk menjadi pelajar yang cemerlang kita hendaklah menggunakan kedua-dua belah otak ketika belajar.

PETUA 3: MENGGUNAKAN KEDUA-DUA BELAH ANGGOTA BADAN
Pasangan kedua-dua belah tangan dan kaki memberi keseimbangan ketika belajar. Diantara kaedah penggunaan kedua-dua belah tangan untuk pembelajaran optimum seperti menggunakan kedua-dua tangan untuk memegang buku, menyelak helaian buku, tangan kanan menulis sementara jari tangan kiri menunjuk pada buku rujukan, menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menekan kekunci komputer.

PETUA 4: MENGGUNAKAN SUMBER ALAM SEKITAR KETIKA BELAJAR
Alunan bunyi yang berirama dari alam semulajadi seperti deruan ombak, tiupan angin, titisan hujan dan sebagainya merupakan muzik semulajadi yang dianugerahkan Allah kepada hambanya. Menurut Dr. Georgi Lozanov, muzik yang berirama perlahan boleh merangsang pembelajaran manakala Dr. Steve Halpern pula berpendapat muzik yang keras atau kasar akan menjejaskan kesihatan dan juga pembelajaran.
Penggunaan warna pada nota juga dapat merangsang kedua-dua belah otak dengan membantu proses mengingat yang dihantar ke otak melalui perbezaan warna. Warna yang lembut seperti hijau dan kuning dapat merehatkan mata.
Udara bersih dan segar membawa wangi-wangian dari tumbuhan ciptaan Allah. Sesekali belajarlah di taman atau tepi pantai. Bau-bauan yang wangi dapat merangsang serta meningkat daya ingatan ketika belajar.

PETUA 5: MERANGSANG SEMUA DERIA KETIKA BELAJAR
Apabila semua deria dirangsang ketika belajar maka fokus pembelajaran tertumpu ke satu arah. Daripada kajian yang dibuat didapati keberkesanan penerimaan deria di dalam pembelajaran ialah 10% daripada deria lihat, 25% dengar, 50% gabungan lihat dan dengar, 80% melihat kemudian melakar secara jahar (terang dan nyata) dan 90% mengamalkan kesemua kaedah tersebut dan memaksimumkan penggunaan deria.

PETUA 6: MENINGKATKAN KEMAHIRAN BELAJAR
Untuk cemerlang pelajar perlu bekerja keras iaitu ”study hard” dan ”study smart”. Di mana belajar dalam masa yang singkat pun boleh menghasilkan pencapaian yang tinggi apa lagi dalam masa yang panjang.

PETUA 7: SELANG-SELIKAN REHAT KETIKA BELAJAR
Jangan belajar terus menerus dalam jangka masa yang panjang kerana keupayaan otak untuk menerima pembelajaran akan menurun. Rehat selama 2 ke 3 minit setiap 20 hingga 30 minit belajar.
Masa permulaan belajar yang dipanggil ”prime time” adalah masa yang paling segar dan sebaik-baiknya mulakan pelajaran yang susah terlebih dahulu.

PETUA 8: MENGULANGKAJI DENGAN BERKESAN
Segera mengulangkaji dan gunakan semua pancaindera ketika mengulangkaji kerana dalam masa 24 jam jika tidak mengulangkaji 80% daripada apa yang diterima akan hilang.
Diantara teknik ulangkaji ialah kaedah ’Output Learning” iaitu membaca menggunakan jari telunjuk atau pen untuk menambah kelajuan pembacaan, mengingat semula apa yang telah dibaca, menulis dan melengkapkan kembali nota. Mengulangkaji dengan melukis peta minda yang berwarna-warini adalah teknik pempelajaran yang aktif kerana banyak panca indera digunakan secara optimum.

PETUA 9: BELAJAR DALAM PERSEKITARAN KONDUSIF
Suasana, kemudahan dan manusia di sekitar dapat membantu atau mengganggu proses pembelajaran. Pilihlah meja belajar yang baik, tempat belajar yang mempunyai sistem pencahayaan dan pengudaraan yang baik serta jauhi sebarang bentuk gangguan seperti bunyi bising, adik-adik yang masih kecil dan jangan duduk berhampiran dengan tv.

PETUA 10: MENGUASAI STRATEGI DAN TEKNIK PEPERIKSAAN
Peperiksaan merupakan kayu pengukur dan penentu kepada pencapaian seseorang pelajar oleh itu untuk menjadi cemerlang pelajar hendaklah membuat persediaan, yakin dan percaya kepada diri sendiri, menguasai semua tajuk, menganggap semua subjek adalah penting, selesai mengulangkaji sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh peperiksaan, mahir dengan bentuk atau format semua kertas peperiksaan, menjaga kesihatan dan tenang semasa menjawab peperiksaan.

PETUA 11: MEMILIKI IMEJ DIRI POSITIF
Antara sifat yang dimiliki oleh seorang juara adalah mereka sentiasa berfikir dan bersikap positif seperti sentiasa senyum, memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada siri sendiri serta menjaga penampilan diri.

PETUA 12: SENTIASA AWAL DAN MENDAHULUI ORANG LAIN
Pelajar yang cemerlang sentiasa mendahului orang lain seperti awal datang ke kelas, duduk di barisan hadapan, membuat persiapan awal dan sentiasa mendahului pencapaian dalam ujian dan sebagainya.

PETUA 13: MENINGKATKAN KEKUATAN ROHANI MELALUI IBADAH KHUSUS
Kekuatan rohani mental boleh dibina daripada istiqamah mengerjakan solat lima waktu dan membaca al-quran setiap lepas solat Subuh atau Maghrib.

PETUA 14: BERDOA SELEPAS GIGIH BERUSAHA
Setelah melakukan dan berusaha pada tahap yang terbaik, barulah berserah kepada Allah s.w.t untuk menentukan hasilnya. Sentiasalah berdoa dan bukannya membaca doa. Orang yang berdoa bersungguh-sunguh akan memiliki kekuatan mental yang kental, bermotivasi dan berupaya menghasilkan prestasi cemerlang.

PETUA 15: AMALKAN PEMAKANAN BAIK DAN SEIMBANG
Dalam kajian Dr. Wurtman, otak yang cerdas bergantung kepada sejauh mana otak itu mampu menghasilkan gelombang neurotransmitter. Gelombang ini dihasilkan daripada pelbagai jenis kandungan makanan yang berkhasiat dan akan beredar melalui darah.

PETUA 16: SENTIASA AMALKAN RIADAH
Fungsi riadah adalah untuk menjaga kesihatan badan dan kecemerlangan otak. Otak yang cemerlang datangnya daripada badan yang sihat.

PETUA 17: MENJAGA WAKTU DAN MUTU TIDUR
Tidur adalah masa untuk merehatkan tubuh badan dan otak setelah bekerja sepanjang hari. Tidur yang mencukupi menjadi lebih penting menjelang musim peperiksaan untuk merehatkan otak dan otot.

PETUA 18: TAAT KEPADA ALLAH
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ” tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaannya pada yang lain”. Tumpukan perhatian ketika solat, kerana itulah ketikanya seorang hamba paling hampir dengan Penciptanya yakni Allah s.w.t

PETUA 19: MENGHORMATI KEDUA-DUA IBU BAPA
Hormati ibu bapa bukan sahaja ketika mereka sihat tetapi juga apabila mereka tua, malah selepas meninggal dunia sekalipun.

PETUA 20: MENGHORMATI DAN MENYAYANGI GURU
Guru merupakan ibu bapa kedua bagi pelajar. Oleh sebab itu pelajar hendaklah mewujudkan perasaan kasih sayang kepada guru dengan cara berdoa seperti mana kita mendoakan kedua orang tua dan sentiasa menjaga adab-adab kepada guru.

PETUA 21: BIJAK MEMILIH KAWAN
Kawan yang baik boleh membentuk sahsiah diri kita. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ” Berkawan dengan orang pintar seperti berdiri di sisi penjual minyak wangi. Kalau tak dapat minyaknya, paling kurang tercium wanginya. Bergaul dengan orang jahil seperti berdiri di sisi tukang besi. Kalau tak kena baranya, paling kurang kena asapnya”.

Kesimpulannya petua-petua yang diberikan sangat baik untuk dikongsi kepada pelajar-pelajar dan juga anak-anak kita agar lahirlah insan yang cemerlang gemilang dan terbilang.

Posted in JKE | Tagged: | Comments Off on Petua Pelajar Cemerlang

Apa itu Disleksia?

Posted by blogpmm on March 4, 2010

Tajuk : Apa itu Disleksia?
Pengarang: Sheila Devaraj & Samsilah Roslan
Penerbit: PTS Professional Publishing
Mukasurat: 140 halaman
Diulas oleh: HARYANI BINTI HASSAN (JKE)
Doktor Samsilah Roslan merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Puan Sheila Christine Devaraj merupakan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Klang dan juga Setiausaha Agung Persatuan Disleksia Peringkat Kebangsaan.
Mengapa terdapat kanak-kanak yang pintar tetapi sukar belajar? Buku ini menerangkan bahawa disleksia itu bukanlah satu penyakit tetapi merupakan gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Tetapi setiap penghidap disleksia itu mempunyai tahap masalah yang berbeza diantara mereka. Diantara ciri-ciri penghidap disleksia adalah:
1. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk
2. Sering mungurang atau menambah huruf atau perkataan ketika membaca atau menulis sesuatu.
3. Mengalami kekeliruan pada huruf seperti b dan d serta p dan q.
4. Keliru diantara kiri dan kanan.
5. Kehilangan jejak semasa membaca seperti melompat bacaan dari baris pertama ke baris ketiga, melihat tulisan menjadi kecil dan besar, tulisan seperti berpusing.
6. Kesukaran mempelajari turutan seperti nama bulan dan sifir.
7. Kurang kosentrasi semasa membuat sesuatu kerja atau tidak dapat menghabiskan sesuatu kerja sehingga habis.

Disleksia adalah penyakit yang tidak boleh diubati tetapi boleh dirawat dengan beberapa kaedah. Penulis mencadangkan langkah-langkah mudah bagi membantu kanak-kanak disleksia menguasai kemahiran penting dalam meningkatkan keyakinan diri.
Masalah mengingat perkataan, fonologi, ingatan jangka pendek dan kesedaran sintak adalah antara masalah yang dikupas oleh penulis di dalam buku ini. Simptom dan masalah identifikasi di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan dewasa turut diketengahkan. Mengenali jenis disleksia juga dapat membantu pembaca mencari teknik-teknik berkesan bagi menangani penghidap disleksia.

Buku ini juga memberi contoh-contoh tentang penghidap disleksia yang telah berjaya menjadi orang ternama seperti Albert Einstein, Da Vinci, Whoopy Gooldberg dan Bill Gates. Ini membuktikan bahawa penghidap disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian juga membuktikan bahawa tahap kecerdasan intelektual penghidap disleksia adalah normal dan tidak mempunyai sebarang masalah penglihatan dan pendengaran.

Kanak-kanak disleksia ini perlu diberi peluang dan sokongan yang tinggi untuk mengelakkan perasaan rendah diri menguasai diri mereka agar mereka boleh menjadi orang yang berjaya seperti beberapa orang ternama yang menghidap disleksia.

Buku ini sesuai dibaca oleh ibu bapa dan juga pendidik untuk mencari idea dan menambah nilai kreatif dalam proses pembelajaran dan pengajaran untuk pelajar dan juga anak-anak.

Posted in JKE | Tagged: | Comments Off on Apa itu Disleksia?