Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

ULASAN BUKU OLEH HJH AMALIA@EMIL BT HASSAN – JKE

Posted by blogpmm on December 26, 2012

SEYYED HOSSEIN NASR

Muhammad Insan Kamil

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001

ISBN 9836236201

Muhammad Insan Kamil merupakan hasil penulisan Seyyed Hossein Nasr. Hasil penulisan ini telah diterjemahkan oleh Baharuddin Ahmad. Penulisan buku memaparkan hasil kajian sejarah dilakukan oleh Seyyed Hossein Nasr. Pada permulaan buku ini penulis buku ini mengajak pembaca flashback sirah Nabi Muhammad s.a.w melalui episod-episod kehidupan baginda. Penulisan flashback penulis ini lebih berbentuk perbincangan. Antaranya ialah isu kritikan melulu ilmuwan barat tentang sifat baginda terhadap seks; isu kritikan pengkaji barat moden tentang penyampaian wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan seorang yang tidak tahu menulis dan membaca;  isu isra’ mikraj yang di luar dimensi masa fizikal; khutbah baginda s.a.w di padang arafah semasa musim haji perpisahan; serta peristiwa Ghadir Khumm.

Setelah itu, penulis buku ini membincang tiga aspek Muhammad Insan Kamil iaitu peranan dan watak nabi Muhammad s.a.w; Nabi Muhammad dan generasi muda; serta sunnah dan hadith nabi.

Pada konteks peranan dan watak Nabi Muhammad s.a.w, penulis buku menggambarkan baginda s.a.w seorang manusia yang mempunyai sifat-sifat mulia dan bebas daripada dosa (maksum). Perwatakan Rasulullah s.a.w yang ikhlas akan Allah dan yang Haq; bermurah hati terhadap semua makhluk; kesederhanaan; dan merendah diri; serta diharumi dengan sifat mengasihani dan menyayangi; dan memelihara silaturahim sehingga menyebabkan nabi Muhammad s.a.w sentiasa dirindui, diingati dan disanjungi sehingga kini oleh umat Islam seluruh dunia. Olahan penulisan buku ini tantang rantaian kehidupan Rasulullah s.a.w sejak kecil sehingga kewafatan baginda boleh menarik perhatian dan emosi pembaca. Selain itu buku ini juga memaparkan peranan nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia contoh atau role model kepada manusia seluruh dunia samada sebagai orang perseorangan, ketua keluarga, pendidik atau pemimpin organisasi.

Manakala pada topik Nabi Muhammad s.a.w dan generasi muda, pembaca akan merasai bagaimana kasih dan sayangnya Rasulullah s.a.w terhadap generasi muda yang sentiasa berhadapan dengan cabaran dan rintangan persekitaran hidup. Nabi Muhammad s.a.w melihat anak-anak muda bukanlah golongan muda yang bermasalah. Sebalik baginda s.a.w melihat mereka sebagai golongan yang diperlukan pada aspek, keperluan, jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial pada setiap zaman. Maka baginda s.a.w menekankan tanggungjawab golongan muda terlebih dahulu sebelum menggariskan hak-hak mereka supaya anak-anak muda ini menjadi seorang umat Islam yang bebas daripada masalah keruntuhan akhlak. Malahan di dalam topik ini, penulis buku menyatakan tentang tanggungjawab masyarakat terhadap generasi muda antaranya pemeliharaan yang sempurna kepada anak-anak perempuan dan anak-anak yatim. Kedua-dua kumpulan sentiasa mendapat layanan buruk semasa zaman jahiliah.

Seterusnya, pada topik sunnah dan hadith, penulis buku ini membincangkan secra ringkas kepada pembaca. Penulis buku ini menyatakan bahawa hadith dan sunnah merupakan penggenap dalam kefahaman manusia akan kitab suci Al-Qur’an.

Setelah membaca buku ini penulis merasai bahawa olahan buku ini sedikit berbeza dengan penulisan buku-buku ilmiah yang lain. Pada persepsi penulis, penulisan buku ini seperti mengajak pembaca bersama-sama berfikir dan berbincang tentang Muhammad Insan Kamil. Jika dilihat buku ini merupakan sebuah buku penterjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, maka buku ini merupakan sebuah buku yang elok dan sesuai dibaca oleh pecinta ilmu. Namun wajar dilihat pula penulis buku ini iaitu Seyyed Hossein Nasr merupakan seorang ilmuwan terkemuka yang berasal dari Tehran  tetapi mendapat pendidikan di Amerika Syarikat. Jika pembaca mengkaji penulis buku ini melalui internet maka pembaca akan lebih memahami tujuan penulisan buku ini. Bagaimanapun pembaca perlu ingat bahawa dalam Allah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: