Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Menjadi Ibu Bapa Genius: Berdasarkan Nasihat Luqman Al-Hakim

Posted by blogpmm on October 27, 2010

Pengarang : Syarif Hade Masyah
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Mukasurat : 176   halaman
Terbitan Pertama : 2007
Harga : RM18.90

Diulas oleh: Zuraida Binti Yaacob, Jabatan Hospitaliti, PMM

Luqman Hakim adalah seorang tokoh yang diberikan ‘hikmah’ oleh Tuhan. Hikmah; iaitu ketepatan dalam berbicara, ketepatan dalam berfikir dan ketepatan dalam bertindak. Keistimewaan dan ketokohannya sentiasa meniti di bibir zaman berzaman. Dari pembesar negara sehinggalah kepada orang biasa-biasa.

Luqman seorang ayah yang penyayang dan bijak. Ketokohannya terserlah dalam mendidik si permata hati. Beliau melihat anaknya dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Semua itu dilakukannya supaya si anak tidak jatuh ke dalam jurang kesesatan dan penyelewengan. Luqman selalu menasihati puteranya dengan nasihat yang berstrukturkan integrasi dan antisipasi. Percikan kata-katanya yang penuh hikmah meluncur dari lubuk hatinya menuju ke hati insan yang dinasihati. Ini merupakan sebuah nasihat dari hati ke hati. Tidak ada penjelasan yang boleh menandingi gaya bahasa berhikmah yang dimodifikasi oleh Quran. Akal juga tunduk pada keindahan gaya bahasa yang susunannya diperindahkan oleh Quran. Sebuah gaya bahasa artistik yang patut direnungkan dan diambil pengajaran.

Buku ini mengupas dengan lebih mendalam siapa Luqman Hakim sebenarnya di dalam bab identtiti dan biografi Luqman Hakim. Dalam bab ini diceritakan dengan lebih mendalam mengenai nama, keturunan, nama julukan, masa hidup, tempat lahir dan kewafatan, kerjaya beliau, ciri-ciri fizikal dan identiti beliau.

Bab seterusnya ialah berkenaan dengan mengenali Luqman Hakim dengan lebih dekat. Beliau merupakan tokoh sebenar bukan tokoh fiksyen. Nama Luqman masih disebut orang ramai sehingga sekarang. Setiap kali disebut namanya, pasti ia dikaitkan dengan hikmah. Hal ini menunjukkan keperibadian yang teguh dan kehadirannya yang sebenar di suatu masa. Inilah yang mengharuskan seluruh manusia menghormati dirinya, menerima danmenganggap baik apa yang dikatakannya. Seterusnya dibincangkan mengenai Luqman Hakim: Nabi atau orang bijak? Menurut Ibnu Katsir, berlaku kontroversi di kalangan ulama salaf mengenai Luqman ini, apakah dia seorang nabi ataupun seorang hamba soleh yang tidak membawa gelaran nabi? Kntroversinya memendekkan kedu apendapat ini. Namun, pada umumnya ulama lebih memilih pendapat yang kedua.

Dalam bab ini juga diterangkan mengenai kejadian-kejadian menonjol sepanjang hidup Luqman Hakim. Banyak kejadian-kejadian menonjol yang diceritakan yang boleh diambil iktibar.

Bab seterusnya menceritakan tentang rahsia Luqman Hakim dalam mendidik anak. Antara rahsia yang diceritakan kepada anaknya ialah kehidupan berkeluarga Luqman Al-Hakim, nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya dan hikmah-hikmah Luqman yang ditujukan untuk puteranya. terdapat 16 nasihat yang telah diberikan oleh Luqman kepada anaknya supaya dijadikan panduan hidup. Selain nasihat, Luqman juga banyak berpesan melalui kata-kata hikmah kepada puteranya. Sebanyak 153 hikmah yang disenaraikan di dalam bab ini. Antara hikmahnya adalah mengenai menghadiri majlis pertemuan, takwa dan riak,taat kepada Allah, keistimewaan akal, nafsu dan banyak lagi.

Bab seterusnya pula mengenai hikmah-hikmah Luqman Al-Hakim mengenai kesihatan, dalam tujuan umum dan penterjemahan hikmah Luqman Al-Hakim dalam bahasa lain. Ban yang terakhir adalah syair mengenai nasihat Luqman Al-Hakim.

Kesimpulannya, buku ini memang banyak memberi nasihat dan manfaat kepada ibu bapa yang ingin mendidik anak supaya menjadi anak yang berguna kelak. Hikmah dan nasihat yang telah diberikan oleh Luqman kepada anak-anaknya penuh bermakna dan boleh dijadikan panduan hidup untuk menajdi insan yang lebih baik di dunia dan akhirat kelak.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: