Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Dahsyatnya Qiamullail

Posted by blogpmm on July 22, 2010

“Dahsyatnya Qiamullail”

Menyingkap mukjizat, manfaat, dan keistimewaan ibadah qiamullail bagi meningkatkan kelazatan iman

Pengulas

NORAIHAN BINTI ISA
Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Merlimau

Penulis : Mahmudin Abdullah
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd. (678177-A)
ISBN : 978-983-3372-50-8
Muka surat : 130 muka surat

Berbicara tentang qiamullail, ramai yang tahu (khususnya bagi yang beragama Islam) akan istilah yang mudah ini. Dari segi bahasanya adalah bangun pada waktu malam. Namun, kuasa di sebalik istilah ini jarang yang dapat merungkainya mengenai keberkesanan dan keutamaannya. Qiamuallail secara lahiriahnya adalah suatu ibadah yang dilakukan hanya pada waktu malam bermula tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar sadik. Apakah yang dikatakan tentang dahsyatnya Qiamullail? Bagaimana ibadah qiamullail ini dapat meningkatkan iman seseorang? Di sebalik sepertiga malam, apakah rahsianya? Siapakah contoh individu yang dapat pencerahan jiwa? Bagaimana untuk membangkit keinginan seseorang memanfaatkan qiamullail pada waktu sepertiga malam ini? Semua pertanyaan ini dirungkai dalam buku Dahsyatnya Qiamullail.
Dahsyatnya Qiamullail terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd adalah hasil terjemahan yang sah Mohammad Ashadi Mohd Zaini daripada sebuah buku bertajuk Mengapa Seharusnya Anda Harus Bangun Malam nukilan Mahmudin Abdullah terbitan DIVA Press, Banguntapan Jogjakarta. Penulis pertama buku ini berasal dari Purworejo, Jawa Tengah, Indonesia. Beliau merupakan graduan dari Fakulti Syariah Institut Agama Islam Imam Ghazali (IAIIG), Cilacap. Penulis begitu aktif menjalankan kajian Islamiah baik di pesantren mahupun di luar yang memegang prinsip hidup “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain”. Dengan terbitnya buku penulisan beliau ini telah memberi manfaat kepada saudara Mohamad Ashadi menulis kembali buku tersebut dengan gaya bahasa yang lebih mudah difahami oleh para pembaca dan pencinta ilmu khususnya di Malaysia. Manfaat bersama yang dapat dikutip dari buku ini juga adalah kupasan perihal keistimewaan berqiamullail ini diatur melalui pokok perbincangan yang begitu menarik perhatian pembaca untuk mengetahui sekaligus mendalami rahsia tersebut. Justeru itu, dapatlah di sini disampaikan sedikit sebanyak subjek yang dibincangkan dalam Dahsyatnya Qiamullail.
Kesungguhan penulis untuk menyampaikan perihal keistimewaan malam adalah dengan merungkai perkara-perkara yang berlaku pada waktu malam bermulanya menceritakan tentang turunnya al-Quran, kitab-kitab lain serta waktu-waktu para nabi menerima mukjizat, petunjuk dan menyaksikan kekuasaan Allah juga pada waktu malam. Di sini juga, dalam topik Hebatnya Waktu Malam, dalam muka surat tiga (3), kita akan terpanggil dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani yang mana Uthman bin Abi al-Ash melaporkan Rasulullah berkata: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia dengan berkata: Adakah wujud orang yang berdoa supaya aku dapat kabulkannya? Adakah wujud orang yang memohon ampun supaya aku dapat mengampuninya?” Di sini jelas terbukti akan kasih sayang Ilahi kepada hambaNya yang sanggup bertemu PenciptaNya pada malam yang hening. Disebabkan itu jugalah malam adalah waktu yang cukup istimewa bagi manusia untuk berkomunikasi secara ghaib dengan Tuhannya. Segala doa dan hajat yang dipanjatkan, insyaallah akan didengari oleh Allah. Begitulah besarnya kekuasaan pada waktu malam.
Dalam topik-topik lain seperti Energi Waktu Malam dan Keutamaan Waktu Sepertiga Malam merungkai tentang sesiapa yang melakukan amalan berqiamullail ini, pelbagai kebaikan dapat diperolehi, antaranya:
• Menghidupkan dan membuka mata batin
• Mendatangkan konsentrasi dan kekusyukan
• Kekuatan kaji diri
• Mewujudkan keikhlasan dan kejujuran dalam beramal
• Mengingati mati

Selain itu, dalam bab 4 yang bertajuk Nilai Keistimewaan Qiamullail menjelaskan tentang sesiapa yang tahu akan nilai qiamullail ini nescaya tidak akan meninggalkannya dan menganggapnya amalan yang lebih utama selepas solat fardhu. Keistimewaan yang dapat dicapai oleh mereka yang mengamalkannya adalah:
• mendapat kemuliaan di sisi Allah,
• amalan yang merupakan salah satu penyebab masuknya umat Rasullah ke dalam syurga,
• menjauhkan seksa neraka,
• menghilangkan kemurkaan Tuhan dan menyejukkan kepanasan api neraka
• dikagumi dan dicintai Allah
• menghapuskan kesalahan dan dosa
• memendekkan masa berdiri di padang mahsyar
• satu perkara yang membolehkan manusia mendapat keampunan
• lebih baik dari dunia seisinya

Satu persatu daripadanya dijelaskan dengan penggunaan bahasa yang boleh membawa kita menilai akan kekuasaan Ilahi. Penulis juga membawakan nas-nas yang terbaik hasil ijtihad para ulama hadis silam.

Kesimpulannya, buku ini dapat memberi sedikit sebanyak ilmu berqiamullail yang dapat dijadikan amalan dan sebati dalam diri.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: