Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Law of attraction = hukum tarikan

Posted by blogpmm on April 22, 2010

Ulasan Oleh :
Nurul Esly Binti Sabiran
Jabatan Perdagangan
Politeknik Merlimau, Melaka
April 2010

Penulis : Michael J. Losier
Penterjemah : Fakhroll Rodziee Don dan Faris Fahmi Ibrahim
Penerbit : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Cetakan Ketiga Oktober 2009
ISBN : 978-983-3586-03-5

Dalam Islam, Allah SWT telah berfirman, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka.” (Surah Ar-Ra’du :11). Bertitik tolak dari situ, penulis membuat kesimpulan bahawa nasib seseorang bukanlah ditentukan oleh takdir. Sebaliknya, manusia yang menentukan takdirnya sendiri. Sebahagian daripada anda mungkin pernah mendengar tentang hukum ini, namun tidak memahaminya secara mendalam.
Buku ini mengupas proses 3 Langkah yang terbukti berkesan tentang bagaimana mendapatkan apa yang yang diinginkan. Hukum Tarikan didefinisikan sebagai “Saya menarik ke dalam hidup saya apa sahaja perkara yang saya berikan sepenuh perhatian, tenaga dan fokus, sama ada positif ataupun negatif”. Antara kata-kata atau ungkapan yang merujuk Hukum Tarikan adalah seperti :
• Tanpa diduga
• Karma
• Tanpa disangka
• Kebetulan
• Sejak azali • Nasib baik
• Takdir
• Sudah ditakdirkan
• Pucuk dicita, ulam mendatang

Menurut penulis, Hukum Tarikan bukanlah sekadar istilah canggih ataupun sihir zaman moden. Ia adalah satu bentuk hukum semula jadi di mana setiap atom anda sentiasa memberi tindak balas secara tetap sama ada anda mengetahuinya atau tidak. Dengan menggunakan fungsi NLP (Neuro Linguistic Programming), penulis memahami bagaimana cara minda dan fikiran anda bekerja. Setiap masa anda mempunyai satu perasaan. Pada masa itu, perasaan yang sedang dialami menyebabkan anda mengeluarkan getaran negatif atau positif. Pada waktu ini, Hukum Tarikan memainkan peranan.
Contohnya, seorang pekerja yang bangun pagi pada hari Isnin dengan rasa marah, sebenarnya menghantar keluar getaran negatif. Ketika getaran itu dihantar keluar, Hukum Tarikan memberikan tindak balas dengan memadankan getaran yang dihantar oleh orang itu dengan memberikan semula lebih banyak getaran yang sama beliau berikan. Hukum Tarikan akan memadankan keadaan dengan getaran, sama ada positif atau negatif. Sekiranya, pekerja itu bangun daripada katil, kakinya tersadung, roti bakarnya hangus, jalan raya penuh sesak, pelanggan membatalkan temu janji dan hari itu berakhir dengan pelbagai rasa kesal dan beliau berkata, “Sepatutnya saya terus berada di katil”. Begitu juga dengan seorang jurujual yang sangat gembira kerana memperoleh jualan besar. Getaran positif akan merangsang beliau untuk mendapatkan lebih banyak jualan dan sudah pasti beliau akan berkata, “Murahnya rezeki saya sekarang”. Contoh-contoh tersebut menunjukkan Hukum Tarikan benar-benar berfungsi, membuka jalan dan menyusun atur segala apa yang berlaku, membawa kepada lebih banyak daripada apa yang mereka berikan sama ada positif ataupun negatif.
Hukum Tarikan memberi tindak balas dengan cara yang sama seperti minda. Jika anda mengeluarkan kenyataan yang mengandungi perkataan ‘jangan’, ‘bukan’ dan ‘tidak’, anda sebenarnya memberikan perhatian dan kekuatan kepada apa yang tidak diinginkan. Oleh yang demikian, getaran negatif mesti disetkan semula kepada getaran positif. Perlu difahami juga bahawa Hukum Tarikan tidak mengingati getaran lima minit yang lalu. Ia hanya bertindakbalas ke atas getaran yang dihantar pada masa ini dan getaran akan bertindak pada ketika itu.
Formula 3 Langkah boleh diaplikasikan bagi menggunakan Hukum Tarikan secara lebih sengaja. Langkah-langkah tersebut adalah :
i) Kenal pasti impian
Kontras atau perkara yang tidak diingini atau disukai membantu anda untuk mengenalpasti apa yang diingini atau membangikitkan persoalan, “Jadi, apa yang saya mahu?”. Panduan utama untuk mendapat apa yang diinginkan adalah dengan memerhatikan kontras dalam tempoh yang singkat. Lebih singkat tempoh untuk memberikan perhatian, ia adalah lebih baik.
Kontras juga perlu dihadkan dalam semua aspek hidup terutamannya dalam aspek kerjaya, kewangan, kesihatan dan perhubungan. Keempat-empat aspek ini sering diperhatikan dalam tempoh yang lama dan ia memiliki banyak emosi negatif. Proses Jelas Menerusi Kontras akan membantu anda untuk menjadi lebih jelas tentang impian. Beberapa bahagian penting dalam hidup diutarakan oleh penulis sebagai ‘menjadi jelas’ begitu berfaedah :
• Kerjaya
• Wang
• Hubungan dengan pasangan hidup
• Persahabatan
• Hubungan di tempat kerja
• Pelanggan perniagaan
• Pendidikan
• Kesihatan
Lembaran Kerja Jelas Menerusi Kontras digunakan untuk menunjukkan bagaimana Proses Jelas Menerusi Kontras membantu anda untuk menjadi lebih jelas.
Kontras :
Perakara yang saya tidak suka
(Bahagian A) Jelas:
Perkara yang saya suka
(Bahagian B)
1. Tidak cukup wang
2. Sentiasa ada bil untuk dibayar
3. Isu kewangan membuatkan saya tertekan

1. Wang saya melimpah ruah
2. Bil dapat dibayar dengan mudah dan cepat
3. Hubungan saya dan wang membuatkan saya gembira

ii) Berikan perhatian terhadap impian
Dengan memberikan perhatian positif, getaran yang diidamkan dapat dimasukkan dalam getaran semasa. Menurut Hukum Tarikan, apa saja perkara atau impian yang anda berikan perhatian, tenaga dan fokus, maka impian itu akan menjadi kenyataan. Begitu juga sekiranya anda mempunyai impian tetapi tidak memberikan perhatian dan fokus, ia tidak akan menjadi kenyataan. Hukum Tarikan hanya bertindak balas dengan apa yang berada dalam Gelung Getaran sahaja.
Dua kaedah boleh digunakan untuk meningkatkan getaran supaya ia mampu menyemarakkan impian iaitu menggunakan afirmasi dan Pernyataan Keinginan. Contoh afirmasi positif adalah “Saya memiliki tubuh yang sihat dan kurus”. Dalam masa yang sama, getaran akan dihantar sama ada ia positif atau negatif. Jika kenyataan tidak sama dengan keadaan sebenar, iaitu keadaan sebenar adalah tidak sihat dan kurus atau ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai, maka anda sedang mencipata getaran negatif. Kebanyakan afirmasi tidak berhasil kerana Hukum Tarikan tidak bertindak balas pada apa yang dirasai dengan perkataan yang digunakan. Afrimasi positif akan menghantar getaran positif sekiranya ia benar bagi diri seseorang. Untuk membolehkan afirmasi sentiasa benar dan menghasilkan getaran positif, dua langkah boleh digunakan iaitu dengan mengubah afirmasi bagi menjadikannya berasa lebih baik dan alat kenyataan impian. Contohnya, kenyataan “Saya dalam proses untuk memiliki sebuah rumah”. Kenyataan impian mungkin berbunyi, “Saya ingin memiliki rumah saya sendiri”. Hukum Tarikan bertindak dalam menyusun atur keadaan dan kejadian alam bagi membawanya kepada anda.

iii) Membenarkannya
Langkah membenarkan merujuk kepada tiada getaran negatif. Rasa ragu adalah getaran negatif. Getaran negatif akan menghakis atau membatalkan getaran positif impian anda. Kaedah yang digunakan oleh penulis untuk membenarkan kenyataan adalah melalui permainan “membenarkan”. Permainan ini dimainkan dengan beberapa biji guli berada pada batang-batang kayu yang menembusi dinding silinder. Batang-batang kayu mewakili halangan atau ragu-ragu. Guli mewakili impian dan guli-guli yang jatuh adalah manifestasi (membenarkan). Dalam permaianan ini, kayu perlu dibuang bagi membenarkan beberapa buah biji guli jatuh ke dasar silinder. Untuk membolehkan guli-guli jatuh ke bawah silinder adalah dengan mengalihkan batang-batang kayu.
Dengan analogi yang sama, keinginan yang kuat sahaja tidak cukup untuk merealisasikan keinginan, tetapi halangan perlu dialihkan terlebih dahulu. Untuk mengurangkan atau membuang rasa ragu-ragu, anda boleh mencipta Pernyataan Membenarkan. Ia dilakukan dengan:
• Bertanyakan diri jika ada sesiapa yang mempunyai keinginan yang sama dengan anda
• Jika ya, berapa ramai yang melakukannya? semalam? minggu lepas?bulan lepas? tahun lepas?
• Gunakan kata ganti diri orang ketiga
• Pastikan pernyataan itu munasabah
Selain daripada penerangan tentang Hukum Tarikan, penulis juga menggunakan lembaran-lembaran kerja untuk memudahkan pemahaman pembaca. Penulis juga menggambarkan perhubungan seharian dengan getaran. Ia digambarkan dengan frekuensi radio yang berskala 1-100. Apabila getaran tinggi (frekuensi 98.5), ia bermakna tiada getaran negatif dan semuanya akan berjalan dengan mudah dan lancar. Untuk mengetahui anda berada pada frekuensi 98.5, ia boleh dilihat melalui apa yang anda rasa dan lalui. Bagi mengekalkan getaran pada frekuensi 98.5 walaupun ketika itu anda sedang bercakap atau berhadapan dengan rakan yang mempunyai getaran negatif, tugas anda adalah untuk menjaga getaran dan mengawal perbualan supaya getaran anda semakin meningkat dan positif.
Pada akhir topik, penulis turut menyertakan tips bagi ibu bapa dan guru bagi mengadaptasikan cara mengajar Hukum Tarikan kepada Kanak-Kanak. Penulis menyarankan agar beberapa langkah perlu diikuti oleh ibu bapa iaitu :
• Menggunakan perkataan yang mudah atau ringkas seperti perasaan dan rahsia
• Menanyakan soalan-soalan yang membolehkan kanak-kanak mengaitkan konsep Hukum Tarikan berdasarkan pengalaman mereka sendiri
• Menggunakan alat bantuan visual bersama kanak-kanak kecil
• Melaksanakan bersama permainan dan ganjaran
• Penglibatan ibu bapa
• Minta izin dan berikan izin
• Meneruskan keseronokan
Untuk mendapatkan lembaran kerja bagi Langkah 1- 3 ia boleh diperoleh dengan melawati laman web : http://www.LawofAttractionBook.com/wordkheets.html. Selain itu, penulis juga menggalakkan pembaca untuk menggunakan buku ini sebagai panduan selain artikel,TeleClasses, seminar,e-zine bulanan beliau dan laman web beliau : http://www.LawofAttractionBook.com.
Secara konklusi, Hukum Tarikan akan membantu individu untuk merealisasikan apa yang diiimpikan. Dengan memberikan fokus, perhatian dan tenaga, sesuatu impian adalah tidak mustahil untuk direalisasikan kerana getaran yang positif akan mendorong individu untuk mengoptimumkan fokus dan getaran tersebut untuk mencapai impian. Dalam erti kata lain, “jika kau fikirkan kau boleh, kau boleh!”
__________________________________________________________________________
Petikan kata-kata Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah
“Hati yang bersih memancarkan gelombang positif yang amat kuat, lantas mempengaruhi orang sekeliling dan situasi-situasi menjadi positif sama. Sebaliknya, hati yang kotor akan memancarkan gelombang negatif yang amat kuat, menukarkan orang-orang sekeliling menjadi negatif juga membuat situasi-situasi pada saat kita berada tu menjadi negatif. Kesannya, kita jadi murung, tertekan, tiada kegembiraan dan menjalani hidup penuh dengan tekanan.”
~~Hadapi Dengan Senyuman~~
nurulesly@pmm.edu.my
12 Apr 2010

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: