Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

SOAL JAWAB BAKAL IBU

Posted by blogpmm on April 7, 2010

Judul : SOAL JAWAB BAKAL IBU (Siri Kesihatan Wanita) Pengarang : Dr. Ariza Mohamed Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd (2007) Kategori : Keluarga dan Keibubapaan Mukasurat: 207 halaman Harga : RM20.00 Diulas oleh: Zuraida Binti Yaacob, Jabatan Hospitaliti, PMM (6 APRIL 2010) Dr. Ariza Mohamed dilahirkan pada 2 Januari 1965 di Perak. Beliau pernah menjadi pensyarah dan pakar perbidanan dan sakit puan di HUKM pada tahun 1997 – 2000. Beliau juga pernah memegang jawatan pakar perbidanan dan sakit puan di Pusat Rawatan Islam Az Zahrah pada tahun 2000 – 2004. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang Infertiliti iaitu kemandulan. Beliau pernah melibatkan diri dalam seminar yang dianjurkan seperti Seminar IVF peringkat hospital pada tahun 2001 dan 2002. Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam Bengkel AIDS dan Pencegahan di Kalangan Remaja peringkat negeri pada tahun 2003. Ulasan buku Menghadapi saat-saat kelahiran anak sesuatu yang mendebarkan biarpun mungkin sedang menanti kelahiran anak kesepuluh. Setiap orang berbeza pengalaman, berbeza masalah dan berbeza debarnya. Memang Tuhan menjadikan setiap anak adalah unik. Oleh itu, biarpun bukan merupakan ibu dengan pengalaman pertama, nasihat dan petunjuk sentiasa diharapkan dan dialu-alukan. Di dalam buku ini, persoalan-persoalan yang bermain difikiran ibu-ibu, sama ada pertama kali ataupun yang sudah berpengalaman disusun sedemikian supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Buku ini menjawab persoalan-persoalan dengan jawapan-jawapan ringkas dan mudah difahami. Ia adalah himpunan soalan-soalan yang biasa diterima oleh penulis dalam menghadapi ibu-ibu mengandung. Para suami juga digalakkan turut sama membaca buku ini supaya sama-sama merasakan pengalaman dan debaran yang dihadapi oleh isteri. Di akhir perjalanan ini adalah menjadi harapan semua supaya kedua-dua ibu dan bayi selamat dan sihat. Ibu dapat bersalin tanpa komplikasi, mudah dan tenang. Bayi yang dilahirkan selamat, sihat dan comel. Semuanya bermula dari titik pertama kita melangkah. Apabila semua persediaan sudah kita lakukan, maka doa dan tawakal kepada Tuhan adalah tumpuan harapan kita. Buku ini mengadungi 3 bahagian iaitu bahagian 1 : Trimester pertama kehamilan yang mana merangkumi 37 soalan dan jawapan. Bahagian 2 : Trimester kedua kehamilan yang mana merangkumi 27 soalan dan jawapan dan bahagian yang terakhir iaitu bahagian 3 : Trimester 3 kehamilan mengandungi 56 soalan dan jawapan yang dapat membantu ibu dan pasangan menghadapi kehamilan dan proses bersalin. Bahagian 1: Trimester pertama (1-3 bulan) Soalan-soalan yang biasanya ditanaya dalam trimester pertama kehamilan ini antaranya ialah rasa loya dan muntah, pendarahan dari faraj, apakah itu D&C?, hubungan seks semasa mengandung, rasa sakit dibahagian ari-ari, makanan ‘tajam’, kerap kencing malam dan tidak lena tidur, mengambil asid folik, rawatan antenatal, tanda mengandung luar rahim dan sebagainya. Soalan-soalan ini dijawab dengan ringkas, tepat dan padat oleh penulis dan memang amat membantu ibu dan pasangan yang hamil pada peringkat ini. Banyak input berguna yang boleh diperolehi terutamanya ibu yang pertama kali hamil atau anak pertama. Bahagian 2: Trimester kedua (4-6 bulan) Manakala dalam trimester kedua, soalan-soalan yang selalu ditanya antaranya bilakah dapat merasa pergerakan pertama bayi, kulit perut pecah dan merekah, kaki rasa kejang, mengapa kalsium penting dan berapakah jumlah kalsium yang perlu diambil oleh ibu?, apakah ujian MGTT dan bagaimanakah cara bacaan ujian ini?, menghidap diabetes semasa mengandung, kedudukan uri di bawah, pendarahan selepas melakukan hubungan seks, kedudukan bayi songsang dan cara untuk mengurut bayi songsang dan banyak lagi. Dalam trimester ini, ibu-ibu sudah pun dapat merasa pergerakan bayi dalam kandungan mereka. Perasaan ini amat bermakna kepada setiap ibu dan perhatian dan penjagaan diri yang sepenuhnya perlulah dititikberatkan oleh ibu dan pasangan. Bahagian 3: Trimester ketiga (7 bulan ke atas) Pada waktu ini, macam-macam kemungkinan boleh terjadi antaranya ialah bersalin awal. Jadi setiap ibu dan pasangan mestilah mempunyai pengetahuan yang cukup tentang tanda-tanda awal bersalin supaya tidak berlakunya kekalutan apabila tiba masa untuk bersalin. Teknik-teknik dan kaedah bersalin juga mestilah diketahui oleh ibu dan pasangan. Antara soalan yang biasa ditanya pada peringkat ini ialah perut menegang dan sakit belakang, ujian ammiocentesis, kelahiran melalui pembedahan, masalah plasenta pravia, bagaimana cara mengurangkan sakit bersalin, kaedah epidural, mengalami lekat uri dan banyak lagi. Selain itu, penjagaan selepas bersalin juga amat penting dan perlu diambil berat oleh ibu dan pasangan. Buku ini juga menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan penjagaan selepas bersalin, penyusuan anak, kaedah perancang keluarga dan sebagainya. Kesimpulannya ialah, buku ini amat beguna kepada ibu-ibu yang sedang mengandung dan akan mengandug serta pasangannya. Banyak soalan yang dikemukan merupakan soalan yang sentisa bermain difikiran kita setiap hari dan dengan jawapan yang diberikan dapat membantu kita supaya bersedia menjalani kehidupan yang bermakna serta menghadapi saat-saat kehamilan.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: