Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Petua Pelajar Cemerlang

Posted by blogpmm on March 5, 2010

Tajuk: Petua Pelajar Cemerlang
Penulis: Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah dan
Hj. Muhammad Zakaria
Penerbit: Telaga Biru
Muka Surat: 104 halaman
Diulas oleh : HARYANI BINTI HASSAN (JKE)

Di dalam buku ini, penulis menerangkan istilah kecemerlangan bagi pelajar yang mendefinasikannya sebagai suatu puncak yang tinggi dan gah untuk dicapai.
Mengikut kajian yang dijalankan, 95% pelajar di Malaysia menganggap diri mereka adalah pelajar yang sederhana dan tidak cemerlang. Tetapi sebenarnya individu itu sendiri yang menentukan sama ada hendak menjadi cemerlang, sederhana atau gagal.
Untuk menjadi pelajar cemerlang, kita perlu menukar pandangan, fikiran dan ideologi kita. Kita perlu yakin bahawa Allah telah menjadikan manusia siap sedia untuk menjadi cemerlang, cuma kita yang tidak berupaya untuk menyerlahkan kecemerlangan itu.
Kecemerlangan akan tercipta apabila manusia seperti kita yang datang dari keluarga biasa dengan kecerdasan biasa tetapi berusaha secara luar biasa. Oleh itu untuk mencapai kecemerlangan 21 petua dibincangkan dalam buku ini.

PETUA 1: MENINGKATKAN KEUPAYAAN MINDA
Untuk mencapai kecemerlangan kita hendaklah mempunyai motivasi yang tinggi dengan menggambarkan kecemerlangan di dalam minda dan kawal tindakan dan rangsangan kendiri agar membentuk dorongan yang tinggi.
Fikiran hendaklah difokuskan kepada matlamat pembelajaran yang hendak dicapai dan jangan sesekali memanjakan diri apabila menghadapi kesukaran tetapi memaksa diri kerana orang yang memanjakan diri akan bertindak mengikut emosi dan perasaan semata-mata dan mudah mengalah.

PETUA 2: MENGGUNAKAN KEDUA-DUA BELAH OTAK KETIKA BELAJAR
Otak merupakan anugerah ciptaan Allah yang paling berharga. Orang yang jarang berfikir mempunyai sejumlah 10 bilion sel berbanding orang yang rajin berfikir mempunyai sehingga 1 trilion sel. Semakin kerap kita berfikir semakin banyak sel otak terbentuk. Otak kita mampu menampung sekurang-kurangnya 120 kemahiran tetapi malangnya manusia hanya menggunakan 5-10% sahaja keupayaan otak mereka.
Orang yang bijak, rasional dan kuat berfikir banyak menggunakan otak kiri manakalah orang seni pula banyak menggunakan otak kanan. Untuk menjadi pelajar yang cemerlang kita hendaklah menggunakan kedua-dua belah otak ketika belajar.

PETUA 3: MENGGUNAKAN KEDUA-DUA BELAH ANGGOTA BADAN
Pasangan kedua-dua belah tangan dan kaki memberi keseimbangan ketika belajar. Diantara kaedah penggunaan kedua-dua belah tangan untuk pembelajaran optimum seperti menggunakan kedua-dua tangan untuk memegang buku, menyelak helaian buku, tangan kanan menulis sementara jari tangan kiri menunjuk pada buku rujukan, menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menekan kekunci komputer.

PETUA 4: MENGGUNAKAN SUMBER ALAM SEKITAR KETIKA BELAJAR
Alunan bunyi yang berirama dari alam semulajadi seperti deruan ombak, tiupan angin, titisan hujan dan sebagainya merupakan muzik semulajadi yang dianugerahkan Allah kepada hambanya. Menurut Dr. Georgi Lozanov, muzik yang berirama perlahan boleh merangsang pembelajaran manakala Dr. Steve Halpern pula berpendapat muzik yang keras atau kasar akan menjejaskan kesihatan dan juga pembelajaran.
Penggunaan warna pada nota juga dapat merangsang kedua-dua belah otak dengan membantu proses mengingat yang dihantar ke otak melalui perbezaan warna. Warna yang lembut seperti hijau dan kuning dapat merehatkan mata.
Udara bersih dan segar membawa wangi-wangian dari tumbuhan ciptaan Allah. Sesekali belajarlah di taman atau tepi pantai. Bau-bauan yang wangi dapat merangsang serta meningkat daya ingatan ketika belajar.

PETUA 5: MERANGSANG SEMUA DERIA KETIKA BELAJAR
Apabila semua deria dirangsang ketika belajar maka fokus pembelajaran tertumpu ke satu arah. Daripada kajian yang dibuat didapati keberkesanan penerimaan deria di dalam pembelajaran ialah 10% daripada deria lihat, 25% dengar, 50% gabungan lihat dan dengar, 80% melihat kemudian melakar secara jahar (terang dan nyata) dan 90% mengamalkan kesemua kaedah tersebut dan memaksimumkan penggunaan deria.

PETUA 6: MENINGKATKAN KEMAHIRAN BELAJAR
Untuk cemerlang pelajar perlu bekerja keras iaitu ”study hard” dan ”study smart”. Di mana belajar dalam masa yang singkat pun boleh menghasilkan pencapaian yang tinggi apa lagi dalam masa yang panjang.

PETUA 7: SELANG-SELIKAN REHAT KETIKA BELAJAR
Jangan belajar terus menerus dalam jangka masa yang panjang kerana keupayaan otak untuk menerima pembelajaran akan menurun. Rehat selama 2 ke 3 minit setiap 20 hingga 30 minit belajar.
Masa permulaan belajar yang dipanggil ”prime time” adalah masa yang paling segar dan sebaik-baiknya mulakan pelajaran yang susah terlebih dahulu.

PETUA 8: MENGULANGKAJI DENGAN BERKESAN
Segera mengulangkaji dan gunakan semua pancaindera ketika mengulangkaji kerana dalam masa 24 jam jika tidak mengulangkaji 80% daripada apa yang diterima akan hilang.
Diantara teknik ulangkaji ialah kaedah ’Output Learning” iaitu membaca menggunakan jari telunjuk atau pen untuk menambah kelajuan pembacaan, mengingat semula apa yang telah dibaca, menulis dan melengkapkan kembali nota. Mengulangkaji dengan melukis peta minda yang berwarna-warini adalah teknik pempelajaran yang aktif kerana banyak panca indera digunakan secara optimum.

PETUA 9: BELAJAR DALAM PERSEKITARAN KONDUSIF
Suasana, kemudahan dan manusia di sekitar dapat membantu atau mengganggu proses pembelajaran. Pilihlah meja belajar yang baik, tempat belajar yang mempunyai sistem pencahayaan dan pengudaraan yang baik serta jauhi sebarang bentuk gangguan seperti bunyi bising, adik-adik yang masih kecil dan jangan duduk berhampiran dengan tv.

PETUA 10: MENGUASAI STRATEGI DAN TEKNIK PEPERIKSAAN
Peperiksaan merupakan kayu pengukur dan penentu kepada pencapaian seseorang pelajar oleh itu untuk menjadi cemerlang pelajar hendaklah membuat persediaan, yakin dan percaya kepada diri sendiri, menguasai semua tajuk, menganggap semua subjek adalah penting, selesai mengulangkaji sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh peperiksaan, mahir dengan bentuk atau format semua kertas peperiksaan, menjaga kesihatan dan tenang semasa menjawab peperiksaan.

PETUA 11: MEMILIKI IMEJ DIRI POSITIF
Antara sifat yang dimiliki oleh seorang juara adalah mereka sentiasa berfikir dan bersikap positif seperti sentiasa senyum, memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada siri sendiri serta menjaga penampilan diri.

PETUA 12: SENTIASA AWAL DAN MENDAHULUI ORANG LAIN
Pelajar yang cemerlang sentiasa mendahului orang lain seperti awal datang ke kelas, duduk di barisan hadapan, membuat persiapan awal dan sentiasa mendahului pencapaian dalam ujian dan sebagainya.

PETUA 13: MENINGKATKAN KEKUATAN ROHANI MELALUI IBADAH KHUSUS
Kekuatan rohani mental boleh dibina daripada istiqamah mengerjakan solat lima waktu dan membaca al-quran setiap lepas solat Subuh atau Maghrib.

PETUA 14: BERDOA SELEPAS GIGIH BERUSAHA
Setelah melakukan dan berusaha pada tahap yang terbaik, barulah berserah kepada Allah s.w.t untuk menentukan hasilnya. Sentiasalah berdoa dan bukannya membaca doa. Orang yang berdoa bersungguh-sunguh akan memiliki kekuatan mental yang kental, bermotivasi dan berupaya menghasilkan prestasi cemerlang.

PETUA 15: AMALKAN PEMAKANAN BAIK DAN SEIMBANG
Dalam kajian Dr. Wurtman, otak yang cerdas bergantung kepada sejauh mana otak itu mampu menghasilkan gelombang neurotransmitter. Gelombang ini dihasilkan daripada pelbagai jenis kandungan makanan yang berkhasiat dan akan beredar melalui darah.

PETUA 16: SENTIASA AMALKAN RIADAH
Fungsi riadah adalah untuk menjaga kesihatan badan dan kecemerlangan otak. Otak yang cemerlang datangnya daripada badan yang sihat.

PETUA 17: MENJAGA WAKTU DAN MUTU TIDUR
Tidur adalah masa untuk merehatkan tubuh badan dan otak setelah bekerja sepanjang hari. Tidur yang mencukupi menjadi lebih penting menjelang musim peperiksaan untuk merehatkan otak dan otot.

PETUA 18: TAAT KEPADA ALLAH
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ” tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaannya pada yang lain”. Tumpukan perhatian ketika solat, kerana itulah ketikanya seorang hamba paling hampir dengan Penciptanya yakni Allah s.w.t

PETUA 19: MENGHORMATI KEDUA-DUA IBU BAPA
Hormati ibu bapa bukan sahaja ketika mereka sihat tetapi juga apabila mereka tua, malah selepas meninggal dunia sekalipun.

PETUA 20: MENGHORMATI DAN MENYAYANGI GURU
Guru merupakan ibu bapa kedua bagi pelajar. Oleh sebab itu pelajar hendaklah mewujudkan perasaan kasih sayang kepada guru dengan cara berdoa seperti mana kita mendoakan kedua orang tua dan sentiasa menjaga adab-adab kepada guru.

PETUA 21: BIJAK MEMILIH KAWAN
Kawan yang baik boleh membentuk sahsiah diri kita. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ” Berkawan dengan orang pintar seperti berdiri di sisi penjual minyak wangi. Kalau tak dapat minyaknya, paling kurang tercium wanginya. Bergaul dengan orang jahil seperti berdiri di sisi tukang besi. Kalau tak kena baranya, paling kurang kena asapnya”.

Kesimpulannya petua-petua yang diberikan sangat baik untuk dikongsi kepada pelajar-pelajar dan juga anak-anak kita agar lahirlah insan yang cemerlang gemilang dan terbilang.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: