Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR BIN ABDlL AZIZ …

Posted by blogpmm on February 4, 2010

KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR BIN ABDlL AZIZ oleh K.H. Firdaus A.N. (1977) terbitan Publicita.
Pengulas : Amiruddin Bin Abdullah
Ketua Unit Perhubungan & Latihan Industri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah. Akhirnya sampai giliran dan kesempatan untuk mengulas bacaan sebuah buku yang mengesahkan suatu kepimpinan yang mengharukan dalam sejarah Islam. Imam besar, Ahmad Bin Hanbal ada mengatakan bahawa “apabila seorang menyintai Umar bin Abdil Aziz (UAA) lalu menyebut kebajikannya dan menyebarkannya kepada orang lain, ketahuilah disebaliknya terdapat suatu kebaikan. InsyaAllah”.
Penulis dalam prakatanya memperlihatkan kepimpinan UAA sebagai suatu mukjizat ilahi untuk umat Islam. Memulihkan sebuah negara kaya yang rakyatnya melarat dan memastikan sebuah negara miskin tetap makmur memerlukan seorang pemimpin yang ideal. UAA dikenali sebagai seorang pemimpin yang zahid, wara, saleh dan takwa dengan keperibadian yang agung dan luhur. Dalam masa kurang dua setengah tahun, UAA terkenal sebagai seorang pemimpin yang sangat berjaya dan menakjubkan. Buku ini sesuai dijadikan bimbingan kepada segenap lapisan masyarakat samaada berstatus miskin atau kaya, berkeperibadian zuhud atau sombong, pemimpin pejabat maupun pemimpin masyarakat.
Sejarah kepimpinan Bani Umaiyah dan kedudukannya di atas neraca sejarah menjadi bab terawal yang perlu dikenang kerana cabaran kepimpinan UAA adalah membersihkan imej Bani Umaiyah yang tercalar sejak di bawah pimpinan Mu’awiyah Bin Abi Sufyan. Kerajaan yang terbentuk melalui kelicikan muslihat politik akhirnya mewujudkan warisan pemimpin Bani Umaiyah yang takut kehilangan kuasa yang menghalalkan kezaliman dan kekejaman. Maka wujudlah beberapa kumpulan penentang hebat kerajaan Bani Umaiyah yang memerlukan ketokohan UAA untuk menghadapi mereka. Bahkan para ulama dari kalangan ahlul bait juga adalah golongan yang sukar didekati oleh kerajaan Bani Umaiyah.
Bab seterusnya menyingkap keturunan UAA dan perwatakannya sebelum menjadi khalifah. Keturunan UAA sebelah ibu adalah keturunan khalifah Umar Al Khattab. Salsilah keturunan ini berpunca dengan kesah sewaktu khalifah membuat rondaan meninjau perihal rakyat, lalu menemui kejujuran seorang perempuan yang diambilnya menjadi menantu dan kebetulan perempuan itu adalah nenek UAA.Ayah Umar pula, Abdil Aziz adalah seorang pemimpin yang cemerlang dan disanjung rakyat. Sejarah perkembangan hidup UAA dalam lingkungan kota suci Madinah menyebabkan ia mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh ilmuan. Keturunan UAA dan keperibadian UAA sendiri menyebabkan khalifah Islam pada masa itu tertarik mengkahwinkan UAA dengan anaknya Fatimah. Ketokohan UAA mendapat kepercayaan khalifah untuk memimpin Hijaz (Madinah dan Mekah). Sememangnya sudah ada perubahan persepsi dalam pandangan rakyat khususnya para ulama terhadap kerajaan Bani Umaiyah apabila UAA dilantik memimpin sesuatu jajahan. Rakyat dan ulama sudah mula terasa ada perbezaan dalam pimpinan baru dan mereka tidak keberatan untuk memberikan hormat dan kerjasama.
Akhirnya, terpanggil juga UAA menjadi khalifah Muslimin walaupun beberapa usaha dilakukan untuk mengelakkan dirinya daripada dilantik menjadi khalifah. Beliau menolak atas alasan cintanya kepada ilmu dan beliau ingin lebih banyak berbicara dengan Tuhan daripada berbicara dengan manusia. UAA bukanlah seorang yang berwawasan untuk mengejar pangkat dan harta. Innalillahi Wainna Ilaihirojiun. Begitu ungkapan yang keluar dari mulutnya apabila beliau dilantik menjadi khalifah. UAA menerima lantikan sebagai suatu musibah yang menimpa dirinya. Bagaimanapun beliau tetap cuba menolak secara bertanggungjawab di saat akhir dengan melepaskan bai’at (ketaatan kepada Amirul Mukminin) dan menganjurkan demokrasi musyawarah dalam Islam. Namum rakyat tetap sebulat suara melantik UAA sebagai Amirul Mukminin dan memberikan bai’at kepadanya.
Maka bermulalah perubahan/transformasi 180⁰ bagaikan siang dan malam terhadap diri UAA yang asalnya adalah seorang yang bergaya dengan jalan berlenggang dan wangi-wangian. UAA adalah anak bangsawan yang tentu ada status pemakanan, pemakaian dan kenderaannya. Namun segala-galanya berubah setelah dia dilantik menjadi khalifah. Kenderaan mahal yang ditawarkan kepadanya untuk jawatan khalifah dikembalikan kepada Baitul Mal. UAA membersihkan diri dan keluarganya dari kemewahan yang dimiliki kerana khuatir memiliki harta yang bersekongkol dengan kezaliman kerajaan Bani Umaiyah. Isteri yang setia dan anak yang terdidik sememangnya telah bersedia menerima perubahan ini dengan penuh redha.
Seterusnya beralih beliau kepada kaum kerabatnya sendiri, Bani Umaiyah yang pasti sukar untuk menerima hakikat perubahan khususnya yang berkaitan dengan hak milik tanah, harta dan kekuasaan lain yang telah diwariskan oleh pimpinan terdahulu. UAA sebagai seorang umara dan juga ulama, mula menjalankan amal maaruf nahi mungkar dan membenteras amalan bid’ah. Maka berlaku pemecatan ketua yang zalim dan tidak bermoral dan pengadilan semula harta dan hak yang selama ini ditadbir oleh kuasa yang durhaka kepada hukum Allah. Kepada puak penentang kerajaan Bani Umaiyah seperti puak Saidina Ali dan puak Khawarij, UAA dengan sifatnya sebagai pemimpin yang zuhud dan wara telah melembutkan pendirian mereka hingga mereka bersedia untuk menghentikan penentangan dan memulakan perdamaian.
Bab-bab terakhir buku ini banyak menampilkan keperibadian UAA sebagai pemimpin yang memiliki segala kesempurnaan. Pelbagai teladan dapat diambil dari kepimpinan UAA samaada dari segi kebijaksanaan berhujah, kesempurnaan ibadah, kesederhanaan hidup, kecintaan pada ilmu pengetahuan, didikan anak-anak dan toleransi antara agama. Malangnya, kehadiran UAA hanya suatu kurniaan sementara dari Allah untuk menunjukkan satu transformasi yang paling nyata daripada kegelapan kepada cahaya keimanan. UAA dibunuh oleh kaumnya sendiri atas rasa kebencian terhadap tindakannya sebagai pemimpin yang tidak kronisma kepada kaum kerabatnya. Walaupun UAA tidak meninggalkan harta yang banyak untuk keluarganya, isteri yang tetap setia dengan cara perjalanan hidup suaminya telah dikurniakan sebelas orang anak yang berilmu dan berjaya. Pelbagai tanggapan indah dan manis dari orang terkemuka di zaman UAA dinyatakan sebagai penutup kata buku ini. Walaupun zaman kepimpinan UAA terlalu usang untuk dijadikan rujukan dan perbandingan, model transformasi kebathilan kepada kebenaran yang digunakan UAA, pada pandangan saya adalah model lestari. Model yang dimaksudkan itu adalah kepimpinan melalui teladan dalam semua aspek kehidupan yang berlandaskan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Wallahua’lam.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: