Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Hebat Di Pejabat

Posted by blogpmm on December 2, 2009

Hebat Di Pejabat

 

Nama pengarang : Wan Rashid Wan Mohamed, CA(M), ACMA
Judul : Hebat Di Pejabat
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd
Tarik Terbitan : Cetakan Pertama 2009
Jumlah Halaman : 215 ms

Nama pengulas : Nor Wariza Binti Jufri
Jabatan : JKA

KANDUNGAN

Buku ini ditulis bagi meneroka rahsia menjadi pekerja cemerlang serta berkongsi hasil himpunan idea atau pedoman daripada mereka yang pakar dan berjaya. Ia dibahagikan kepada enam bahagian bermula dengan dorongan diri, panduan mempertingkatkan ketrampilan diri dan memperbaiki cara berkomunikasi. Selain daripada itu, petua menjadi pekerja yang produktif dan sentiasa berpandangan jauh juga dibincangkan.

Penetapan matlamat adalah penting bagi mengidamkan produktiviti yang lebih baik, jawatan yang lebih tinggi dan diiktiraf rakan sekerja. Seterusnya merancang haluan yang terbaik adalah penting bagi mencabar diri kita ke arah yang tepat supaya mendorong memberikan yang terbaik dalam kerjaya. Antara strategi bagi memajukan diri adalah dengan menghadiri kursus latihan, atau pun melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, membaca buku-buku kemahiran serta motivasi ataupun mengubah cara kerja. Seterusnya, pastikan kita mempunyai pelan jangka panjang supaya tidak kecewa dengan kegagalan jangka pendek kerana kita perlu komited dengan sasaran yang dimpikan.

Bagi meningkatkan ketrampilan diri antara faktor penting yang perlu ditekankan adalah kerapian diri, senjata senyuman, keyakinan diri, bersikap positif, memotivasikan diri, mempromosi diri dan bina jenama diri adalah penting. Bagi permulaan, tanggapan pertama adalah penting dimana bagi membina imej diri, pakaian yang sesuai dan rapi adalah penting.Daripada segi penjagaan diri, senyuman membantu mencantikkan wajah. Senyuman memberikan ketenangan diri dan mengurangkan tekanan kerja. Selain daripada itu, membina keyakinan diri adalah penting bagi mencapai matlamat. Ini kerana dalam kerjaya, dengan berfikir sebagai orang cemerlang, kita semakin hampir dengan kejayaan. Dalam berkomunikasi seharian juga, disarankan supaya bersikap positif dan berbincang bagaimana menggunakan kekuatan itu bagi meningkatkan prestasi menjadi lebih kreatif, lebih fokus dan berkeinginan bagi berjaya. Jadi, bagi mendapatkan hasil terbaik dalam kerjaya kita, sentiasa berfikir secara positif. Menurut penulis, membentuk jenama diri adalah penting, ini kerana dalam hidup seharian, mustahil dapat memuaskan hati atau disukai semua orang. Matlamat utama adalah menonjolkan satu jenama diri yang positif, tepat, konsisten dan berkesan kepada orang sekeliling.

Penulis memberikan tips untuk berkomunikasi secara berkesan, di antaranya adalah menjadi pendengar yang baik, dapat mentafsir bahasa badan, berkomunikasi secara lisan, strategi berucap, memujuk rasa gemuruh, mempengaruhi orang lain, tanya soalan yang betul dan belajar berkata tidak. Komunikasi penting terutama dalam keadaan genting seperti dalam peperangan. Dalam kerjaya, kesilapan komunikasi dapat menjejaskan keputusan yang dibuat dan arahan yang dilaksanakan. Ia bukan sahaja membazrikan wang, tetapi juga tenaga dan masa.

Dunia pekerjaan mempunyai asam garamnya tersendiri. Seseorang pekerja yang bagus pandai menyesuaikan diri dengan budaya kerja pejabat. Bagi menjadi cemerlang, pekerja haruslah menghormati dan mengekalkan hubungan baik dengan semua orang kerana dalam menjalankan tugas, kita perlukan sokongan semua dan bantuan rakan sekerja. Politik dalam pejabat juga menjadi isu, di mana sekiranya kita pandai menyesuaikan diri dan melobi kuasa secara beretika, rangkaian politik pejabat mampu membantu kita meningkatkan pengaruh dan melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan tetapi tidak boleh bermain kotor dan menikam dari belakang. Bagi membina jaringan pengaruh rakan sekerja pula, sebaik-baiknya tidak memilih kawan. Hormat dan bergaullah dengan semua orang dan semua peringkat.

Menjadi seorang yang hebat dan produktif bukannya mudah kerana banyak tips yang diberikan. Di antaranya adalah dapat mengurus masa dengan cekap, dapat mengutamakan yang penting dahulu, menjaga kesihatan dengan baik, dapat menguasai bidang yang diceburi, dapat menepis halangan yang tiba, tidak buta teknologi, sentiasa berperanan dalam pasukan, berupaya mengagihkan tugas dengan bijak, dapat menjadi pembimbing rakan sebaya dan dapat mencapai prestasi kerja yang cemerlang. Cabaran dalam kerjaya sebenarnya berperanan membentuk diri supaya menjadi lebih tabah dan gagah daripada segi ilmu serta pengalaman. Kekuatan yang terhasil membolehkan diri berusaha gigih bagi mengatasi cabaran dan mencapai kecemerlangan. Tanpa usaha yang gigih, kemanisan kejayaan tidak dapat dinikmati sepenuhnya.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: