Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

FLIPPING THE SWITCH

Posted by blogpmm on December 2, 2009

 

 

Pengarang : John G. Miller.
Penerbit : Syarikat. G.P. Putnam’S Sons.
Edisi : 1 edition December 29, 2005.

 

Reviewed by Rashidah Mustapa,
Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi dan Keusahawanan,
Politeknik Merlimau
17 September 2009

 

Latar Belakang Penulis

 

John G. Miller, seorang graduan daripada Universiti Cornell, Amerika Syarikat, adalah pengasas QBC Inc, sebuah firma pembangunan organisasi. Beliau banyak menghasilkan bahan-bahan penulisan dan memberi ceramah motivasi. Buku Flipping The Switch ini merupakan buku susulan kepada judul QBC! The Question Behind The Question, yang diterbitkan sebelum ini. Bagaimana pun penerangan ringkas penulis mengenai QBC! The Question Behind The Question dalam Bab 2 , memudahkan pembaca memahami dan mengaplikasikan kandungan buku Flipping The Switch ini walaupun tidak pernah atau tidak berkesempatan untuk membaca buku QBC!

 

Dengan penulisan buku ini, Miller berhasrat untuk membantu pembaca membuat perubahan dan berpegang kepada akauntabiliti diri dengan mengajukan soalan yang tepat (asking the right kind of question) sebagai langkah pertama untuk berjaya dalam kehidupan harian dan kerjaya.

Soalan-soalan seperti “Kenapa ini berlaku kepada saya?”, “Bila lah mereka dapat lakukan perkara tersebut dengan betul?” perlu diganti dengan soalan-soalan konstruktif seperti “Apakah harus saya lakukan?” , “Bagaimana saya boleh bantu?” Perubahan ini merupakan satu perubahan mudah, yang boleh membawa seseorang dari tempat mangsa kepada tempat pemandu.

 

Anjakan atau perubahan minda dan persepsi ini akan memintas kelakuan yang negatif seperti menyalahkan orang lain, suka mengadu, melengah-lengahkan dan berfikir seperti seorang mangsa, seterusnya memberikan kita keupayaan untuk menyelesaikan masalah dan bukan asyik merungut sahaja mengenai masalah berkenaan. Hasilnya? Organisasi yang lebih mantap, pasukan kerja yang lebih dinamik, dan hubungan yang lebih sihat.

Umpama bila suis lampu ditekan (light switch is flipped), tenaga elektrik akan mengalir dan mentol lampu akan bernyala dengan serta merta. Begitu juga bila soalan yang tepat diajukan, 5 prinsip penting (digelar Advantage Principles oleh penulis) akan dipraktikkan, dan hasilnya akan membuahkan pengalaman kehidupan peribadi dan kerjaya yang mempunyai banyak kelebihan dan lebih bermakna. 5 prinsip ini akan memperkukuhkan amalan atau tabiat seseorang, khususnya seperti berikut:

PEMBELAJARAN (LEARNING): menjalani hidup dengan penuh bermakna dan bertenaga melalui pembangunan dan perubahan diri secara positif

KEPEMILIKAN (OWNERSHIP): mencapai matlamat hidup dengan menjadi seorang yang cekap menyelesaikan masalah

KREATIVITI (CREATIVITY): mencari idea-idea atau cara-cara baru untuk berjaya

PERKHIDMATAN (SERVICE) : Lakukan untuk orang lain perkara yang tidak perlu anda lakukan, dan membina warisan (legacy) dengan membantu orang lain berjaya

KEPERCAYAAN (TRUST) : membentuk perhubungan yang bermakna dan menguntungkan

 

Bab 3 hingga 22 menerangkan 5 prinsip ini dengan ringkas tetapi padat, melalui kisah-kisah benar dan bayangan, dan bagaimana ia membantu seseorang mencapai kejayaan dan kepuasan. Contoh-contoh diberi untuk membantu pembaca untuk bergerak mencapai kejayaan peribadi mahupun kerjaya.

Beberapa kata-kata utama yang menarik dalam buku ini pastinya akan kekal dalam ingatan pembaca, seperti pemikiran sampah (garbage thinking), akauntabiliti diri (personal accountability), Prinsip Kelebihan (Advantage Principles), soalan di sebalik soalan (The Question Behind the Question), Mentaliti pengecualian (Exception Mentality) dapat mencetus anjakan minda dan persepsi seseorang.

Penulis mengakhiri buku ini dengan menyenaraikan beberapa soalan dan latihan untuk digunakan sama ada secara individu atau dibincangkan secara berkumpulan. Soalan dan latihan berkenaan direka untuk menggalakkan refleksi ke atas kandungan buku dan membantu pembaca menggunakan pengetahuan dan ilmu yang diperolehi untuk dijadikan tindakan.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: