Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Berfikir Seperti Inventor

Posted by blogpmm on December 2, 2009

Berfikir Seperti Inventori


Di Ulas Oleh : Suzliana Binti Marsom
Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Merlimau, Melaka

Penulis

 

Berfikir Seperti Inventor adalah sebuah buku yang ditulis oleh Ainon Mohd. Dan Abdullah Hassan. Buku yang diadaptasikan daripada buku bertajuk Kepintaran Daya Cipta dan kemahiran Berfikir ini telah diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. pada tahun 2005. Jumlah halaman buku ini adalah sebanyak 286 muka.

 

Mengenai Buku Ini

 

Buku ditulis bagi membantu ibubapa, guru-guru dan pembaca meningkatkan kemahiran berfikir anak-anak dan para peajar mereka. Pengarang mengandaikan bahawa kerja keras dan mendapat kelulusan yang tinggi semata-mata tidak lagi menjamin seseorang itu mampu bersaing dengan idea-idea dan produk-produk pengeluar lain. Namun, orang yang sentiasa berfikir bagaimana mereka dapat memperkenalkan produk-produk yang lebih baik, lebih murah dan lebih tahan kepada pengguna adalah lebih baik daripada golongan yang bekerja keras tadi. Untuk mencapai tahap tersebut, seseorang itu perlu berfikir secara kreatif dan sistematik. Idea yang kreatif adalah bakat istimewa yang dimiliki oleh segelintir manusia. Namun, kajian terbaru mendapati bahawa berfikir secara kreatif adalah sejenis kemahiran yang dapat dipelajari dengan menggunakan pelbagai teknik berfikir.

 

Kemahiran Berfikir

 

Sebagai seorang pendidik, kemahiran berfikir hendaklah diajar mengikut ‘kaedah dari tengah’ iaitu pendidik mesti memberikan contoh-contoh yang sangat jelas kepada pelajar. Pendidik boleh menggunakan beberapa cara untuk mengajarkan teknik-teknik berfikir antaranya iaitu tunjuk ajar, soal jawab lisan, secara tulisan, secara lukisan, arahan kepada individu, latihan berkumpulan dan gabungan pendidik dan pelajar (p. 7). Pendidik digalakkan membuat bahan-bahan latihan tambahan sendiri supaya lebih sesuai dengan situasi bilik kuliah dan para pelajar. Dalam menjana kemahiran berfikir pelajar, terdapat empat jenis bahan latihan yang boleh digunakan iaitu bahan seronok, bahan asing, bahan persekitaran dan bahan berat (p. 9).

 

Teori,Konsep Idea,Inovasi & Teknologi

 

Dalam bab 2 menerangkan tentang teori dan konsep idea, inovasi dan teknologi. Inovasi berasal daripada bahasa Latin bermakna pembaharuan (p.18). Kebanyakan oraang mendefinisikan inovasi sebagai pembangunan teknologi baru atau aplikasi sesuatu teknologi dalam kegunaan tertentu. Namun, perlu diperhatikan bahawa inovasi tidak semestinya melibatkan teknologi. Sebaliknya inovasi didefinisikan sebagai penciptaan cara-cara baru bagi menyampaikan nilai kepada para pengguna. Inovasi dan rekacipta bergantung kepada adanya maklumat yang relevan, daya memanipulasi maklumat, kreativiti bagi mencipta konsep-konsep novel dan kreativiti menjana aplikasi-aplikasi baru. Idea adalah sebagai harta di mana undang-undang Negara ini melindungi pelaburan yang dibuat oleh seseorang yang menghasilkan sesuatu idea. Perlindingan itu adalah apa yang diistilahkan sebagai harta intelektual. Ada empat jenis perlindungan harta inteletual iaitu paten, pendaftaran rekabentuk, jenama perdagangan dan hakcipta (p. 48). Rekacipta abstrak lebih penting daripada rekacipta fizikal. Rekacipta idea dan rekacipta tindakan adalah dua jenis rekacipta bersifat abstrak dan ia sama pentingnya dengan kemahiran rekacipta benda fizikal dan membuat analisis.

 

Kreativiti vs Paradigma

 

Bab seterusnya membincangkan tentang kreativiti dan paradigma. Paradigma ialah andaian-andaian yang kita gunakan untuk memahami dunia. Menurut Kuhn, paradigma ialah kerangkan yang kita gunakan bagi memahami dunia sebenarnya (p. 91). Maksudnya, kita memahami dunia melalui paradigma yang ada dalam minda kita. Apabila kita melihat sesuatu, kita memadankan pola yang kita lihat dengan pola dalam minda kita. Pola-pola dalam minda terbina satu demi satu oleh pengalaman. Dengan bantuan paradigma, kita tahu apa yang betul dan salah, baik atau buruk serta halal dan haram. Namun begitu, paradigma boleh menyebabkan minda kita tertutup dam melumpuhkan daya usaha kita. Kelumpuhan paradigma adalah keadaan di mana kita mengalami kerugian tetapi minda kita tidak berupaya berfikir untuk melepaskan kita daripada keadaan itu. Salah satu punca kelumpuhan paradigma adalah keengganan kita mencabar kesahan paradigma yang sebelum ini berjaya. Kita juga jarang mempersoalkan andaian-andaian yang menjadi asas paradigma menyumbang kepada kelumpuhan paradigma. Justeru, paradigma baru diperlukan. Setiap kali suatu paradigma diterima, paradigma itu akan meletakkan semua orang pada tahap sifar. Namun, perubahan paradigma adalah suatu perkara yang sangat diperlukan tetapi sukar dilakukan kerana banyak pihak menanggung risiko besar dalam perubahan itu.

 

Kecerdasan

 

Kecerdasan dan kreativiti adalah dua konsep yang berbeza dan kedua-dua dapat diuji dan dinilai dengan menggunakan alat-alat dan cara berbeza. Tembok yang menghalang kreativiti individu adalah seperti takut dikata bodoh dan takut gagal. Keyakinan diri adalah tiang utama kreativiti. Kita dapat melakukan apa yang kita percaya dapat dilakukan. Orang yang tidak yakin akan menuduh orang lain atas kelemahannya. Semua pihak salah, dia saja yang betul. Kata pujangga Arab: “Orang yang berjiwa besar bercakap tentang pelbagai idea, orang biasa-biasa mengulas-ulas pelbagai peristiwa, orang yang berjiwa kecil memperkatakan hal orang, orang yang berotak kecil bercakap tentang din mereka sendiri.” (p. 168). Di samping itu juga, berfikir secara cara logikal mampu menerbitkan idea-idea baru.

 

Kecerdasan vs Kreativiti

 

Bab seterusnya menyentuh tentang persepsi,dan pemikiran rekacipta .Persepsi ialah proses yang berlaku di dalam minda apabila kita memahami apa yang kita lihat.Ia berfungsi seperti sebilah pedang dua mata di mana ia boleh menghasilkan kesan betul dan salah, positif dan negatif. Persepsi juga dapat menentukan nasib seseorang. Pelbagai kekeliruan yang muncul dikalangan orang ramai termasuk pendidik apabila memperkatakan tentang pemikiran dan rekacipta. Kekeliruan datang daripada salah anggapan bahawa kalau kepercayaan seseorang itu betul, dia akan berfikir secara yang betul. Kekeliruan ini sering berlaku disebabkan bermacam-macam kefahaman. Di kalangan pensyarah pengajian tinggi, ramai yang memahami kemahiran berfikir adalah memahami sesuatu yang logik. Ini adalah kekeliruan yang berlaku dengan meluasnya. Di samping itu, kekeliruan lain ialah salah anggapan kemahiran berfikir adalah memahami sesuatu secara analitikal dan kritikal. Ketiga-tiga elemen tersebut logikal, analitikal dan kritikal adalah jenis pemikiran reaktif. Sedangkan yang perlu bagi seorang yang berfikir seperti inventor memerlukan pemikiran proaktif iaitu memahami sesuatu secara generatif-kreatif. Pemikiran reaktif biasanya menanti sesuatu kejadian berlaku terlebih dahulu untuk dianalisis dan dikritik, tetapi pemikiran proaktif mengambil tindakan untuk melakukan sesuatu tanpa menunggu apa-apa berlaku terlebih dahulu. Bab ini juga menyentuh tentang pemikiran rekacipta.

 

Apa Itu Pemikiran Rekacipta ?

 

Pemikiran rekacipta atau design thinking berbeza dengan pemikiran tradisional (logikal dan analitikal). Pemikiran ini terbahagi kepada dua iaitu pemikiran rekacipta keras dan pemikiran rekacipta lembut. Pemikiran rekacipta keras adalah hasil pemikiran rekacipta lembut. Pemikiran rekacipta lembut mengandungi prosedur atau tatakerja. Contoh-contoh rekacipta keras termasuklah benda seperti bangunan, taman, perkakas, enjin, pelbagai masakan, pakaian dan lain-lain. Namun, sekiranya sesuatu rekacipta itu ada kelemahan, jangan dikritik kelemahan itu. Menurut Dr. Edward de Bono, kemahiran berfikir adalah pelbagai kemahiran bagi meluaskan dan menajamkan daya persepsi seorang individu (p. 189).

 

Jenis-Jenis Kemahiran Berfikir

 

Dalam bab yang terakhir ini, pengarang menjelaskan beberapa jenis kemahiran berfikir yang boleh digunakan oleh individu, ibu-bapa dan individu bagi menjana pemikiran anak-anak dan para pelajar mahupun diri sendiri. Antara jenis pemikiran itu ialah berfikir secara analitikal, logikal, objektif sistematik, pragmatik, positif, negatif, konstruktif, proaktif, projektif, kreatif, perspektif, lateral, nilai, emotif, reaktif, historis, matematik dan intuitif. Namun dalam ulasan ini saya memilih untuk membincangkan tentang pemikiran proaktif kerana merasakan pemikiran jenis ini yang mendorong individu boleh berfkir seperti inventor. Berfikir secara proaktif adalah dengan menggunakan keupayaan minda membuat pelbagai ramalan untuk menjangka perkara-perkara yang kini belum berlaku (p. 243). Ia ditandai oleh daya usaha untuk berfikir sebelum sesuatu perkara itu berlaku. Matlamat berfikir secara proaktif ialah memikirkan sesuatu sebelum orang lain terfikir hal itu terlebih dahulu, memikirkan perkara-perkara yang mungkin berlaku sebelum perkara-perkara itu benar-benar terjadi, memikirkan perkara-perkara yang perlu disiap sediakan untuk menghadapi apa-apa kemungkinan dan membuat rancangan-rancangan masa hadapan. Kemahiran berfikir secara proaktif memerlukan daya imaginasi yang tajam di samping logik yang betul dan maklumat yang tepat. Kemahiran berfikir secara proaktif membolehkan kita merancang tindakan-tindakan proaktif dan ini sangat penting dalam persaingan.

 

Ulasan

 

Dalam dunia persaingan siapa yang nampak dahulu dan siapa yang bertindak dahulu, dia akan dapat dahulu. Justeru, apabila individu itu mahu berfikir seperti inventor maka ia perlu berfikir secara proaktif. Secara kesimpulannya, individu, ibu bapa mahupun pendidik boleh menggunakan pendekatan yang disyorkan seperti yang terkandung dalam buku bertajuk ‘Berfikir seperti Inventor’ dalam membentuk kaedah dan cara berfikir anak-anak dan para pelajar. Pelbagai contoh dijelaskan sebagai panduan kepada pembaca. Panduan berfikir ini perlu bagi membolehkan individu ataupun golongan sasaran menghasilkan pelbagai ciptaan teknikal.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: