Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Cukup Wang Hati Tenang : panduan kewangan peribadi dan keluarga

Posted by blogpmm on November 30, 2009

Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir, Cukup Wang Hati Tenang : panduan kewangan peribadi dan keluarga. Malaysia.Kuala Lumpur. Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.Jun 2005, 294.

Ulasan Disediakan oleh : Noor Suhaiza Binti Sauti
Sep 2009
JKA

Pengenalan

Penulis telah menghasilkan satu buku perancangan kewangan Islam yang pertama di Malaysia yang boleh mengubah minda dan sikap pembaca untuk menjadi perancang kewangan yang berjaya, beretika dan efektif. Ianya dipersembahkan dalam bentuk yang mudah dan ringkas tetapi ianya terhasil daripada pemikiran, pengamatan dan kajian yang mendalam dan penuh minat penulis. Ia menerangkan pendekatan yang menyeluruh untuk menyusun keperluan dan matlamat kewangan peribadi dan keluarga

Penggunaan bahasa yang jelas, diiringi ilustrasi yang ceria, menghantar kebijaksanaan kehidupan harian yang memang sangat wajar diikuti. Segala panduan dan nasihat yang bijak serta penuh dengan maklumat dan cerita motivasi yang mudah dibaca. Penulis juga telah memberikan penjelasan yang terperinci dan objektif tentang perkara-perkara penting seperti melabur dengan hemah, berbelanja secara sederhana, waras menangani masalah hutang dan berusaha menyucikan harta.

Bab 1 : Kubah Kehidupan : Uruslah kewangan dan kehidupan anda

Kekayaan bukanlah syarat mutlak untuk bahagia. Ini selaras dengan matlamat hidup manusia yang ingin mencari ketenangan dan kebahagiaan. Seseorang yang kaya tidak semestinya hidup tenang, justeru pengurusan kewangan perlu selaras dengan kebahagiaan hidup. Adalah menjadi satu keperluan untuk menyusun pengurusan kewangan agar dapat mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.

Penulis telah menerangkan dengan jelas tentang kubah kehidupan yang meletakkan martabat kepentingan sesuatu perkara dalam pengurusan kewangan. Model kubah kehidupan ini merangkumi ibadat-ibadat seperti haji, sedekah, puasa, solat, zakat dan lain-lain. Asas bagi kubah kehidupan adalah halal dan barakah. Oleh itu, segala sumber rezeki seharusnya yang halal dan berbarakah.

Dalam model kubah kehidupan peranan manusia adalah sebagai hamba dan khalifah Allah untuk mengurus wang dan harta yang diperolehi dari sumber yang halal dan berbarakah. Sifat hamba yang utama ialah sentiasa menyedari kehadiran Tuhannya. Jadilah hamba Allah yang tidak sombong, rajin bersedekah, menjauhi larangannya, tidak berbelanja berlebihan, menunaikan zakat, tidak bakhil dan dimakmurkan harta. Sifat khalifah Tuhan menuntut wujudnya pelbagai kekuatan dan antaranya kekuatan kewangan.

Manusia sebagai pemegang amanah perlu menyeimbangkan antara hakmilik peribadi dan kepentingan sosial.
Konsep amanah tuhan bermakna kesejahteraan hidup, peranan dan tanggungjawab dan panduan untuk mengurus wang dan harta. Konsep amanah bererti wujud peranan dan tanggungjawab pemegang amanah. Wang adalah amanah Tuhan, maka kewajipan utama ialah mengurus wang dan harta anugerah Tuhan sesempurna yang mungkin.

Perlaksanaan amanah yang digambarkan dalam kubah kehidupan meliputi 7P – Pendapatan, Perbelanjaan, Pengurusan Hutang, Penyucian harta, Perlindungan, Pelaburan dan Persaraan. 7P pula dikaitkan dalam kehidupan peribadi dan keluarga melalui Hayaatan Tayyibah (Hidup Sejahtera) yang mempunyai fokus duniawi dan ukhrawi. Fokus duniawi merangkumi pendidikan, perkahwinan, tabungan, keperluan rumahtangga, takaful dan lain-lain manakala fokus ukhrawi merangkumi infaq, sedekah, haji, awqaf dan menyuci harta.

Pemeliharaan hak masyarakat bermula dengan keupayaan menjana pendapatan peribadi masing-masing. Wang perlu mengalir untuk kesejahteraan masyarakat. Pengaliran boleh didorong oleh faktor keuntungan peribadi dan sifat ehsan untuk membantu manusia lain. Pengaliran wang berlaku dalam lima bentuk utama iaitu upah hasil pekerjaan, jual beli, pelaburan dan cukai, zakat serta sedekah.

Dalam memastikan keberkesanan pengurusan kewangan, penglibatan ahli keluarga penting. Musyawarah dan muafakat dalam menyusunatur kewangan, kesedaran menabung dan melabur untuk keperluan masa depan dalam sesebuah keluarga.

Selain itu, peruntukan kewangan yang digunakan untuk tujuan membiayai penyakit berkaitan dapat digunakan untuk perbelanjaan yang lebih berfaedah sekiranya kesihatan diri sentiasa dalam keadaan baik. Penjagaan kualiti pemakanan dan pengawalan tahap stress mendorong kearah peningkatan kesihatan diri. Secara tidak langsung kesihatan dari aspek fizikal, mental dan sosial serta kerohanian akan terjamin.

Bab 2 : Ketahuilah Punca-punca Masalah Kewangan

Semangat merancang tinggi apabila matlamat hidup jelas. Perancangan akan menyusun atur hidup, membuka mata kepada peluang yang ada dan mengingatkan akan masalah masa depan. Terdapat dua kategori hutang iaitu hutang berkat dan hutang mudarat. Hutang mudarat menimbulkan masalah masa depan seperti makanan, minuman, pakaian termasuk pembelian barangan yang merosot nilainya mengikut masa seperti radio, TV dan kereta. Hutang berkat pula boleh memudahkan masa depan seperti pembiayaan untuk memajukan perniagaan, hutang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dan hutang membeli rumah.

Mengurus kewangan peribadi memerlukan displin jiwa. Cabaran utama adalah sifat boros iaitu kealpaan dan pengaruh nafsu. Boros mengabaikan perhubungan dengan alam, manusia dan tuhan. Sifat manusia memang ingin menjadi kaya tetapi perlu diseimbangkan dengan risiko, keuntungan dan masa.

Selain itu, persediaan awal juga perlu dibuat agar kita tidak perlu bekerja selepas bersara. Musibah boleh berlaku tanpa disangka maka pendapatan masa depan kita perlu dilindungi. Kita perlu jaminan keselamatan daripada tuntutan kewangan yang besar iaitu dengan mengambil insurans bagi menjamin perlindungan kewangan untuk menampung musibah yang tidak boleh ditanggung oleh keluarga ataupun diri kita dengan kewangan peribadi yang ada.

Bab 3 : Pendapatan : Berusahalah Mencari rezeki

Bekerja serta berusaha untuk mencari pendapatan bagi menampung keperluan hidup untuk diri dan keluarga adalah tuntutan agama. Islam juga menggalakkan umatnya untuk berniaga. Apa yang penting adalah untuk mencari pekerjaan yang memberi pendapatan yang tetap dan halal serta ada skim persaraan. Bekerja separuh masa adalah digalakkan jika berpeluang. Sebagai contohnya menjadi wakil produk kewangan seperti wakil takaful atau saham amanah yang mempromosikan produk kewangan Islam.

Sumber pendapatan ketiga adalah pelaburan. Penting untuk membuat penyelidikan sendiri sebelum melabur kerana lebih tinggi pulangan, lebih tinggi risikonya.

Bab 4 : Perbelanjaan : Bersederhanalah

Manusia mempunyai tabiat kikir dan juga boros dalam berbelanja. Oleh itu, bersederhana bermaksud berbelanja mengikut kemampuan dan menunaikan hak golongan yang berhak. Biasakan mempersoal nilai sesuatu perbelanjaan untuk mencari alternatif untuk nilai yang lebih baik. Ini adalah kerana pengiklanan dan penjenamaan biasanya merangsang kemahuan bukannya keperluan seseorang untuk berbelanja.

Perbelanjaan haruslah mengikut pendapatan. Penjimatan biasanya boleh dibuat tanpa menjejaskan taraf hidup yang biasa. Ini boleh dilakukan dengan membuat analisa perbelanjaan rumah. Setiap ahli keluarga terlibat dalam memahami dan bersama-sama berjimat

Selain daripada mengurangkan perbelanjaan rumah, perbelanjaan membeli kenderaan juga praktikal. Contohnya nilai kereta adalah merosot dengan masa. Elakkan ataupun minimakan pinjaman untuk beli kereta. Adalah penting untuk mengambilkira jumlah kos keseluruhan pemilikan kereta bukan sekadar ansuran bulanan sahaja.

Dari segi penjimatan pembayaran cukai, ketahui kadar cukai untuk pendapatan masing-masing dan manfaatkan pelepasan cukai yang dibolehkan. Perancangan dan tindakan kewangan dalam bentuk pendapatan yang diterima dan segala pelepasan cukai perlu disusun di awal tahun lagi untuk menjimatkan pembayaran cukai.

Bab 5 : Pengurusan Hutang : Hutang perlu diurus

Kenalpasti hutang dengan menyenaraikan hutang masing-masing mengikut urutan jumlah ansuran, baki hutang, kos pinjaman dan tempoh bayaran. Menurut penulis, jika bayaran ansuran hutang melebihi 20% pendapatan bulanan, ia menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah kewangan. Jumlah pembayaran balik hutang ditentukan oleh jumlah pinjaman, kos pinjaman dan tempoh bayaran.

Elakkan berhutang dengan berbelanja secara tunai untuk sesuatu yang akan merosot nilainya dengan masa. Kad kredit, skim sewa beli dan skim bayaran mudah memudahkan kita untuk berbelanja melebihi kemampuan dan mengikat kita dengan kadar bunga dan keuntungan yang melipatgandakan jumlah hutang asal. Kadar faedah pinjaman yang dikenakan inilah yang akan menimbulkan masalah kewangan.

Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurus hutang adalah menyedari dan menginsafi diri dengan mengubah tabiat belanja berlebihan. Pendekatan pengurusan hutang dilakukan dengan mencatatkan jenis hutang dalam urutan yang paling kecil diikuti dengan yang lebih besar. Langkah seterusnya adalah untuk melangsaikan hutang yang terkecil dan bila ianya telah diselesaikan, campurkan ansuran yang biasa digunakan untuk membayar hutang yang terkecil ini kepada hutang yang seterusnya. Kaedah penyelesaian hutang ini iaitu snowball effect akan membantu mengecil dan melangsaikan hutang-hutang.

Keazaman untuk membebaskan diri dari hutang merupakan permulaan kehidupan yang diberkati Tuhan. Selesaikan hutang dengan menjimatkan perbelanjaan dan mengeluarkan simpanan untuk membayar hutang. Pindahkan hutang kad kredit kepada kad kredit yang lebih rendah kosnya dan pinjamlah sekiranya ia boleh melangsaikan hutang mudarat.

Pengurusan hutang yang baik adalah menyusun pendapatan dan perbelanjaan agar tidak perlu berhutang. Bajet adalah perancangan perbelanjaan dan simpanan mengikut jumlah pendapatan. Bajet meletakkan apa yang patut dibelanjakan dengan wang yang kita ada. Kaedah sampul surat boleh digunakan untuk menyusun perbelanjaan kita iaitu dengan meletakkan wang yang telah diperuntukkan untuk sesuatu aktiviti dalam beberapa sampul surat yang berlainan dan dinamakan. Ini secara tidak langsung membantu memantau cara penggunaan wang dalam keluarga.

Bab 6 : Penyucian Harta

Zakat bermaksud penyucian harta yang wajib bagi orang Islam. Ia boleh membersihkan harta dan diri orang kaya dari sifat kedekut dan bakhil serta sifat dengki dan dendam golongan miskin terhadap orang kaya. Di Malaysia, pembayaran zakat boleh mendapat rebat daripada cukai pendapatan.

Selain menunaikan zakat amalan bersedekah dan mewakafkan harta membentuk pertautan kasih sayang antara manusia yang dinaungi oleh rahmat Tuhan. Sedekah dan wakaf membawa kepentingan bersama individu dan masyarakat. Kajian psikologi mendapati orang yang sering membantu manusia lain mempunyai kehidupan yang lebih bahagia dan tahap ketenangan jiwa yang lebih tinggi.

Pengagihan harta perlu dirancang semasa hayat. Hakmilik harta atau kuasa terhadap harta kita perlu disusun dengan baik sebelum meninggal dunia. Terdapat tiga bentuk pengagihan harta iaitu dalam bentuk hibah (hadiah), wakaf ataupun menyusun dana khas dengan memindah sebahagian atau keseluruhan harta kita ke dalam akaun amanah yang akan dipegang dan diurus oleh pemegang amanah yang telah dilantik.

Hibah adalah hadiah iaitu pemberian hakmilik oleh kita dengan sukarela kepada sesiapa yang dikira patut menerimanya. Penerima hibah boleh terdiri daripada isteri, suami, anak-anak, ahli keluarga yang lain dan juga bukan termasuk dalam kategori waris. Jika penerima hibah meninggal dunia, harta yang dihibahkan akan menjadi harta pusaka penerima hibah tersebut.

Wakaf adalah pemindahan hak milik harta kepada sesuatu badan ataupun institusi dengan tujuan khusus ataupun umum yang melewati kepentingan ahli-ahli waris kita untuk mencakupi kepentingan masyarakat umum. Wakaf adalah amal jariah yang berterusan dan biasanya melibatkan harta tak alih seperti hartanah.

Akaun amanah pula ialah dana yang boleh dibentuk semasa hayat seseorang. Contohnya harta alih seperti wang tunai dan saham serta harta tak alih seperti hartanah. Dana ini akan dipegang dan diuruskan oleh pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad. Harta yang dimasukkan dalam akaun amanah bukan harta pusaka dan perlu diagihkan segera kepada benefisiari (penama-penama yang mendapat manfaat) termasuk isteri, suami dan anak-anak apabila seseorang meninggal dunia.

Bab 7 : Perlindungan : Ambillah Insurans dan Takaful

Prinsip asas insurans ialah jaminan kewangan syarikat insurans yang akan membayar pampasan apabila kita kehilangan keupayaan untuk mencari rezeki atau bila menghadapi kerugian harta benda yang besar.

Penulis mencadangkan tiga panduan umum dalam menentukan insurans yang hendak diambil iaitu lindungilah yang tidak boleh ditanggung kehilangannya, belilah insurans yang memberi perlindungan yang luas dan pilihlah insurans yang menjimatkan untuk mendapatkan perlindungan yang cukup pada kos yang menjimatkan.

Insurans nilai tunai, takaful dan bertempoh merupakan bentuk-bentuk perlindungan hayat. Asasnya ialah jaminan perlindungan untuk menampung keperluan kewangan apabila itu ditimpa musibah yang menjejaskan keupayaannya untuk terus mencari rezeki.

Yuran penyertaan atau premium ditentuka mengikut jumlah perlindungan yang diberi, tempoh matang dan profil risiko seseorang. Tempoh matang pula jangkamasa mendapat perlindungan selagi mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam polisi insurans seperti membayar premium mengikut kadar dan masa yang ditetapkan. Profl risiko menentukan tahap kemungkinan bayaran pampasan perlu dibuat. Jika kemungkinan itu tinggi maka jumlah premium yang ditentukan juga tinggi. Antara perkara yang diambilkira ialah umur, tahap kesihatan dan tahap keselamatan pekerja.

Unsur pelaburan wujud dalam insurans nilai tunai dan juga takaful. Kelebihannya ialah pemegang polisi insurans ini boleh mendapat kembali sejumlah premium yang telah dibayar bersama keuntungan (jika ada) dalam bentuk wang tunai apabila polisi matang.

Bagi insurans bertempoh ianya tiada unsur pelaburan iaitu hanya mempunyai unsur perlindungan sahaja. Apabila polisi matang dan tiada apa-apa berlaku, premium yang telah dibayar tidak akan dikembalikan. Hanya jika ditimpa musibah seperti kematian atau kecacatan kekal, pampasan akan dibayar.

Insurans takaful mempunyai landasan konsep yang berbeza dengan insurans konvensional. Di dalam kontrak takaful ia menerangkan bagaimana caruman akan digunakan, menetapkan bahagian caruman yang disumbangkan (tabarru) dan bagaimana keuntungan pelaburan dikongsi antara syarikat dan peserta.

Bab 8 : Pelaburan :Melabur untuk masa hadapan

Pelaburan untuk melawan inflasi iaitu keadaan di mana wang lebih banyak diperlukan untuk membeli benda yang sama. Bagi menangani inflasi pelaburan bermakna wang kita boleh dimanfaatkan untuk menjanakan aktiviti ekonomi selaras dengan peningkatan nilai pelaburan. Jangkamasa dan risiko pelaburan perlu diselaraskan dengan matlamat kewangan maka perlu memilih pelaburan yang kadar keuntungannya melebihi kadar inflasi.

Menurut penulis juga, saham amanah merupakan satu pelaburan berkelompok iaitu dapat mengurangkan risiko pelaburan,mudah dibeli dan dijual serta diurus oleh pengurus dana yang professional. Kadar pulangan saham amanah merangkumi pembayaran dividen, agihan keuntungan penjualan saham dan perubahan harga saham amanah. Apa yang penting ialah untuk mengetahui maklumat asas berkenaan pelaburan iaitu kepelbagaian pelaburan, kos yang bersesuaian, pengurus dana yang professional, ,mudah tunai, kadar pulangan pelaburan, dividend an perubahan harga saham.

Membeli rumah juga adalah satu bentuk pelaburan yang baik. Rumah hanya patut dibeli bila kita dapat menetap lama disesuatu tempat Memiliki banyak rumah lebih banyak untungnya berbanding dengan menyewa untuk jangka masa panjang. Tentukan kemampuan sebelum membeli rumah dan cari rumah yang sesuai. Adalah lebih baik jika dapat mengurangkan jumlah dan tempoh pinjaman dan segera melunaskan pinjaman perumahan. Pembiayaan semula boleh mengurangkan jumlah bayaran balik.

Perbezaan antara nilai pasaran semasa rumah kita dan baki hutang pinjaman rumah merupakan aset kewangan yang diistilahkan sebagai ekuiti rumah yang boleh dimanfaat bila perlu. Ekuiti rumah boleh digunakan untuk mendapat pembiayaan yang kedua untuk rumah yang sama dengan pembiayaan yang pertama masih berjalan. Ini merupakan bentuk pinjaman yang bersandarkan nilai rumah yang kita miliki. Cara ini berisiko tinggi dan hanya sesuai untuk mereka yang memang mampu membayar ansuran terkumpul.

Bab 9 : Persaraan

Menurut penulis, persediaan semasa muda untuk mencukupkan keperluan kewangan selepas bersara adalah penting kerana jangka hayat seseorang adalah masih panjang selepas bersara. Adalah penting untuk mengetahui keperluan kewangan masing-masing apabila bersara kelak. Perbezaan jangka hayat dengan umur persaraan memberi jumlah tahun yang memerlukan pembiayaan daripada simpanan dan pelaburan masing-masing.

Petua asas ialah kita memerlukan 80% daripada perbelanjaan bulanan sebelum bersara untuk terus hidup dalam keadaan yang biasa selepas bersara. Langkah-langkah untuk menentukan keperluan kewangan selepas bersara ialah menentukan dahulu pendapatan pada masa ini yang dianggap memberi kehidupan yang selesa. Kemudian ambilkira faktor inflasi untuk menentukan nilai masa depan pendapatan tersebut apabila bersara kelas. Contohnya seperti berikut :

Pendapatan tahunan semasa : RM36 000
Pendapatan 25 tahun lagi untuk imbangi inflasi : RM 75 240
Kiraan ialah berdasarkan kadar purata inflasi 3% setahun untuk 25 tahun sebelum mencapai umur bersara
Oleh itu, untuk menikmati taraf hidup seperti sekarang, 80% daripada jumlah RM75 240 selepas bersara iaitu RM60 192 setahun (dianggapkan segala hutang rumah dan kereta telah habis dibayar).

Jika jangka hayat seseorang selepasa bersara ialah 25 tahun lagi, maka jumlah perbelanjaan selepas bersara ialah RM60 192 x 25 tahun = RM1 504 800

Bagi mendapatkan atau menyediakan pelaburan awal sebelum bersara ini, seseorang perlulah bersedia iaitu menabung dan melabur seperti mencarum dalam skim persaraan seperti KWSP. Pastikan caruman KWSP dibuat oleh majikan setiap bulan, mengetahui faedah asas sebagai ahli KWSP dan manfaatkan skim pengeluaran yang ada.

Faedah asas sebagai ahli KWSP ialah simpanan kita dijamin oleh kerajaan dan nilainya sepatutnya meningkat melalui pelaburan yang berhemah oleh pihak pengurusan KWSP. Pelepasan cukai juga dapat dinikmati disamping bantuan hilang keupayaan dan bantuan kematian kepada ahli jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Akaun simpanan KWSP terbahagi kepada akaun-akaun berikut iaitu akaun 1 iaitu akaun persaraan dan akan menerima 60% daripada caruman dan hanya boleh dikeluarkan melalui skim pengeluaran 55 tahun. Pengecualian dibuat bagi Skim Pengeluaran Pelaburan Ahli yang membolehkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan minima RM 55 000 untuk mengeluarkan sebahagian simpanannya menurut syarat-syarat tertentu.

Akaun 2 pula merupakan 30% caruman dan persediaan untuk persaraan merangkumi 3 skim pengeluaran iaitu skim pengeluaran membeli dan membina rumah, skim pengeluaran mengurang atau menyelesaikan pinjaman perumahan, skim pengeluaran pendidikan ahli atau anak ahli dan skim pengeluaran 50 tahun.

Antara skim-skim pengeluaran yang lain ialah skim pengeluaran pekerja berpencen iaitu kemudahan untuk kakitangan sektor awam yang memilih skim pencen kerajaan. Ahli KWSP boleh mengeluarkan semua bahagian caruman dan dividen ahli. Bahagian caruman dan dividen kerajaan akan dikembalikan balik kepada kerajaan. Skim pengeluaran pesara pilihan membenarkan ahli mengeluarkan jumlah syer pekerja setakat tempoh mereka berkhidmat dalam perkhidmatan awam manakala skim pengeluaran kerana meninggalkan negara diberi kepada pekerja asing untuk mengeluarkan semua simpanan mereka apabila hendak meninggalkan negara.

Bab 10 : Hayaatan Tayyibah : Hidup yang sejahtera

Hayaatan Tayyibah bermakna mewujudkan suasana kehidupan yang sejahtera. Kita perlu menguruskan hidup berlandaskan syariat Islam yang menjanjikan satu kehidupan yang harmoni dan aman. Salah satu kunci untuk hidup dengan tenteram adalah sumber dan bagaimana kewangan dibelanjakan. Tuntutan agama perlu ditunaikan sebaiknya. Antara tuntutan agama yang diwajibkan ialah menunaikan ibadah haji maka sikap menabung dari awal penting.

Menurut penulis lagi kongsilah rezeki bersama ibu bapa dan berbuat ehsanlah kepada mereka kerana ia adalah fardhu’ain. Para pentafsir al-Quran menjelaskan bahawa maksud berbuat baik kepada ibu bapa antaranya ialah berusaha mencari keredhaan dan menggembirankan hati keduanya; berbakti dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya terhadap kedua ibu bapa semasa mereka hidup ataupun yang telah meninggal dunia dan wajib mentaati perintah keduanya selagi tidak menderhakai Allah; menunaikan hak mereka dengan hati yang ikhlas serta tidak menyakiti hati keduanya.

Dalam keluarga urusan bajet perkahwinan, kelahiran baru, percutian dan budaya iqra’ perlulah dirancang dengan teliti setiap perkara dan bermusyawarahlah dengan ahli keluarga. Bajet perlu ditetapkan mengikut kemampuan. Senaraikan perkara atau benda yang penting sebelum membuat keputusan.

Kesimpulan

Tercapai atau tidak matlamat kewangan seseorang adalah ketentuan Allah s.w.t.. Apa yang penting adalah kehidupan terancang dalam aspek pengurusan kewangan. Selaraskan matlamat kewangan dan hidup kita dengan menambah simpanan, mengurangkan perbelanjaan dan menyelesaikan hutang kita. Seterusnya bina kekayaan melalui pelaburan dan lindungi harta dan wang kita serta hidup bahagia bersama keluarga sepanjang hayat.
Namun begitu, janganlah terlalu leka merancang keperluan duniawi sehingga terlupa kepada keperluan ukhrawi sebaliknya jadikan keperluan duniawi sebagai saham bagi keperluan ukhrawi.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: