Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

7 Formula Individu Cemerlang

Posted by blogpmm on November 30, 2009

7 Formula Individu Cemerlang (Siri Motivasi) : Ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin. 2004. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. 365 pp. Diulas oleh Babby Freskayani@ Izyani Binti Kaliwon.

Dr. Danial Zainal Abidin merupakan graduan bidang perubatan moden lepasan Universiti Iskandariah, Mesir dan dikenali sebagai pakar motivasi yang mengendalikan slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang (RMPP). Dalam masa yang sama beliau merupakan pengurus dan pengamal perubatan di sebuah klinik swasta sejak tahun 1987. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Kariah Sungai Ara dan kini menjadi pengurus urusan syarikat Danila Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. Dalam bidang penulisan, beliau sudah menulis buku-buku yang bertajuk Konsep Perubatan Islam, The Misunderstood Religion, Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden, bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW dan Empayar Minda Muslim.

Buku ini menceritakan tentang 7 formula untuk menjadi manusia yang cemerlang yang mana setiap formula adalah berpandukan prinsip dan pegangan Islam itu sendiri yang dipetik dari ayat-ayat Quran dan sunnah serta berkait secara langsung tentang keadaan dan peristiwa semasa dari zaman jahilliyah sehinggalah zaman era teknologi. Penulis turut menyatakan bahawa setiap kejayaan umat Islam yang suatu masa dahulu berjaya menguasai dunia dengan ilmu dan tamadun bukan berlaku secara spontan ataupun magis tetapi kerana formula yang digunakan adalah formula Allah Yang Maha Mengetahui. Formula yang diceritakan ini mementingkan perubahan dalaman, iaitu iman dan kebersihan hati setiap individu itu sendiri.

Formula pertama adalah mengenali kehebatan dan potensi diri. Dalam intipati ini, kebanyakan tokoh-tokoh barat mengakui dan mengikhtiraf kehebatan umat Islam suatu masa dahulu. Pengakuan ini turut dinyatakan di dalam The History of the Arabs dan Islamic Culture (p.7). Dalam masa yang sama, mentaliti inferior yang wujud perlu dipinggirkan untuk meledakkan potensi dalam diri individu supaya Allah tidak menimpakan kehinaan ke atas kita sekiranya kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam.

Formula Kedua adalah ledakan takwa di mana formula ini banyak menceritakan perihal hati. Hati mempunyai empat sifat iaitu sifat buas, binatang, syaitan dan ketuhanan sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-Qasas (p.41), al-A’raf (p.42), ar-Ra’d (p.43) dan al-Muthaffifin (p.43). Intipati yang disentuh juga adalah berkenaan 12 pintu yang sering digunakan syaitan menurut Imam Ghazali (p.45) yang perlu dikenali dan diawasi, lapan perkara yang mematikan hati manusia mengikut Ibrahim bin Adham (p.47) dan lima penawar yang dapat membersihkan hati diutarakan oleh Imam Abul Laith as-Samarqandi dalam kitab Tanbihul Ghafilin (p.50). Allah ada menjelaskan dalam surah al-Talaq (p. 57) yang diperakui oleh Abdullah bin Masud sebagai formula penyelesaian masalah yang teragung dalam Quran.

Formula ketiga adalah proses kearah melonjakkan ilmu yang mana penulis banyak menceritakan perihal bagaimana untuk mengasah potensi akal manusia dan dibajai dengan ilmu dan zikrullah. Ilmu yang perlu dikuasai oleh umat Islam dibahagikan kepada tiga kategori berpandukan Quran dan sunnah. Manakala formula keempat adalah mereka yang berjaya adalah yang mempunyai matlamat hidup dan berwawasan yang mana mampu melihat jauh ke hadapan dalam usaha membina kejayaan dan keunggulan. Wawasan yang diutarakan oleh Allah kepada umat Islam adalah wawasan hasanah selaras dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah (p.156). Antara intipati formula ini adalah perkongsian visi yang menguatkan di antara satu sama lain, matlamat realistik dan spesifik serta mempunyai perancangan yang teliti dan strategik berdasarkan keutamaan dan futuristik.

Formula kelima untuk menjadi orang yang berjaya adalah mereka yang memelihara amanah. Pernyataan mengenai amanah ini dikeluarkan oleh Imam Qatadah, Imam al-Alusi dan Imam al-Hakim (p.222). Allah turut berfirman di dalam surah al-Ahzab (p.222) berkaitan dengan amanah. Intipati amanah yang turut diperkatakan juga termasuklah tugas yang dipikul, bagaimana memilih kawan, pasangan hidup, pemimpin, menyebarkan dakwah, mendidik keluarga, menuntut ilmu, media massa, masa dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Berfikiran positif merupakan formula yang keenam untuk menjadi orang yang cemerlang dan unggul. Apabila seseorang individu berfikiran positif, secara tidak langsung dia telah mengukirkan dan mengetahui kehebatan minda mereka. Penulis turut menceritakan beberapa kisah teladan bagaimana minda mempengaruhi tindakan manusia.

Formula terakhir yang dibicarakan oleh penulis adalah menyantuni manusia. Terdapat 5 premis kemanusiaan yang diutarakan Quran berkenaan dengan insan yang turut ditekankan oleh penulis (p.302) di mana konsep-konsep kemanusiaan yang dilaksanakan Islam dalam kehidupan mengagumkan semua pihak. Formula ini turut menyentuh tentang pengurusan rabbani dan insani (rabsani) iaitu hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Penulis turut menulis percanggahan pendapat di antara konsep pengurusan zaman Rasulullah iaitu pengurusan rabsani dengan tokoh-tokoh barat yang ada sekarang. Dalam formula ini juga, penulis ada menyentuh tentang bagaimana untuk memotivasikan diri, kemahiran interpersonal, komunikasi efektif, menjadi pendengar yang baik, bahasa badan dan penonjolan imej dan perpaduan antara perkara-perkara yang perlu ada dalam hubungan dan nilai sesama manusia.

Secara keseluruhannya, penulis berpendapat dalam kehidupan, manusia dibahagikan kepada dua iaitu golongan termometer dan termostat. Umat Islam adalah golongan termostat yang mengagumkan, bukan sahaja mampu mengukur suhu, malah mampu mengubah suhu mengikut acuan sendiri. Acuan yang mampu melahirkan tamadun yang agung yang memberikan kebebasan dan kedamaian kepada semua bangsa dan agama. Sumbangan yang paling bermakna dalam Islam adalah sikap dan cara yang betul serta kekuatan yang diutamakan Islam dan dimiliki oleh umat Islam adalah iman dan takwa. Di samping itu, secara tidak langsung ia mampu melahirkan pemikiran positif dan optimisme yang hebat. Ini adalah antara intipati penting bagaimana seseorang individu Islam boleh cemerlang dengan berpandukan kepada Quran dan sunnah.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: