Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

AKU MAHU JADI BOS

Posted by blogpmm on November 11, 2009

jadibos

 

Tajuk Buku                  : AKU MAHU JADI BOS

Nama Pengarang        : KHAIRUR RIZAL BIN RAMLI

Penerbit                       : PTS PROFESSIONAL PUBLISHING SDN. BHD.

Pengulas                     : INTANKU SALWA BT SHAMSUDDIN

 

Ulasan:

 

Menurut pendapat penulis, buku ini ditulis bukan untuk bacaan bos sahaja mahupun semua insan yang hendak menjadi bos tetapi ditujukan umum tanpa mengira pangkat maupun pekerjaan seseorang kerana semua orang adalah bos kepada dirinya sendiri. Bersesuaian dengan tajuknya, buku ini banyak memberi panduan kepada sesiapa yang berkeinginan menjadi bos, mahupun yang telah menjadi bos tetapi ingin menjadi bos yang hebat. Membaca buku ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada diri saya untuk menjadi seorang bos.

 

Walaupun isi kandungannya agak tidak tersusun, tetapi saya membuat kesimpulan ia boleh diklasifikasikan kepada  4 bahagian iaitu:

 

Bahagian 1:  Maksud ‘Bos’

Dalam buku ini, penulis memberikan perbezaan di antara bos (dianggap sebagai pengurus) dan pemimpin. Bos diberi kuasa mengikut peraturan manakala pemimpin diberi kuasa kepimpinan oleh pengikut masing-masing. Oleh itu, sebaik-baiknya jadilah bos yang mempunyai daya kepimpinan supaya pengurusannya lebih memberikan impak kepada orang bawahannya kerana ada pendapat yang menyatakan ”semua pemimpin adalah bos, tetapi tidak semua bos adalah pemimpin”. E.M. Kelly menyatakan: ”The difference between a boss and a leader: A boss says, ’Go!’ – A leader says, ‘ Let’s go!’. Maksudnya, bos lebih bersifat mengarah sehala sahaja, manakala pemimpin lebih menekankan semangat kerjasama dan berpasukan.

 

 

Bahagian 2: Jenis Bos

Terdapat beberapa jenis bos mengikut pandangan penulis. Di antaranya ialah:

a)      Bos yang sedia berkorban apa sahaja – bos yang akan melakukan apa sahaja bagi kebaikan organisasi tanpa mengenal waktu dan penat lelah walaupun tiada ganjaran yang diberikan kepadanya. Cadangan kepada pekerja supaya belajar kemahiran yang ada padanya.

b)      Bos yang suka menjerit – bos yang berpendapat dengan menaikkan suaranya, orang akan mengikut arahannya dan makin tinggi komitmen anak buahnya. Bos begini tidak akan popular dan akan mengalami kadar pertukaran pekerja yang tinggi kerana tidak mampu bertahan lama dengan kerenahnya. Cadangan kepada pekerja supaya bekerjasama dengan bos sebegini supaya mendapat kepercayaannya.

c)      Bos yang menakut-nakutkan pekerja – bos seperti ini akan menggunakan apa sahaja yang ditakuti oleh pekerjanya bagi memastikan kedudukan dan kuasanya selamat. Bos seperti ini tidak akan bertahan lama kerana pekerjanya juga tidak dapat bertahan dengannya. Dengan caranya yang meningkatkan kos organisasi, pihak atasan juga akan menyingkirkannya.

d)      Bos yang suka memanipulasi – bos yang seperti ini sangat berbahaya kerana dia mempunyai perancangan yang sukar diduga oleh orang lain. Dia melihat orang lain sebagai alat untuk mencapai kejayaan.

e)      Bos yang lemah dan lembab – bos yang sebegini mempunyai tindak tanduk yang perlahan sehingga membingungkan ramai orang dan dia suka mengamalkan sikap tunggu dan lihat. Tindakannya itu akan merugikan organisasi

f)        Bos seperti kawan – bos seperti ini mahu menjadi sahabat anda dan bukannya orang atasan. Ianya mungkin berpunca daripada sikap dan gaya kepimpinanya ataupun mungkin dia dan pekerjanya dahulu telah lama berkawan

g)      Bos yang hebat – bos ini adalah yang terbaik dan sentiasa mendapat sanjungan anak buahnya. Mereka selalu memberikan motivasi dan banyak menyokong anak buahnya, melayan semua orang dengan adil tanpa mengira sesiapapun. Bos seperti ini memimpin melalui teladan, menyediakan latihan yang secukupnya dan membentuk persekitaran kerja yang baik. Mereka ada visi yang jelas dan tidak takut melakukan sesuatu demi mencapai kejayaan.

 

Oleh itu, bos mungkin mempunyai pelbagai watak dan perlakuan tetapi dia akan dikenali melalui wataknya yang dominan di mana dari sinilah dia dikenali sebagai bos jenis yang bagaimana. Dari faktor jantina pula, kajian yang dijalankan menunjukkan pekerja wanita lebih suka mempunyai bos wanita (72%) manakala pekerja lelaki lebih suka mempunyai bos lelaki (92%).

 

Bahagian 3: Peranan Bos Untuk Menjadi Hebat

Peranan bos adalah sangat penting untuk kemajuan organisasinya. Oleh itu, penulis telah menyenaraikan peranan am bos untuk meningkatkan kejayaan pekerjanya. Di antaranya ialah bos perlu bertindak adil, berupaya menjadi pendengar yang baik kepada pekerja, bos juga perlu peramah , mesra dan mudah didekati (tetapi tidak boleh berlebih-lebihan), sopan dan beradab. Bos juga hendaklah boleh dipercayai kerana dengan ini semua pekerja akan merasakan mereka akan mendapat hak mereka selayaknya. Kepercayaan datang dari hati dan dibuktikan melalui tindakan. Bos juga perlu menghormati hak pekerja, konsisten dalam membuat keputusan, menyandarkan keputusan dengan alasan yang betul dan bersedia membatalkan keputusan yang terbukti tidak akan berjaya.

 

Peranan khusus bos pula ialah mewujudkan suasana kerja yang baik bagi mencapai kejayaan organisasi dan ahli, memberi hala tuju yang jelas kepada pekerja bawahan, memberi bimbingan yang secukupnya, memberi kebebasan kepada pekerja bawahan dengan pengawasan serta mewujudkan suasana hormat menghormati di tempat kerja. Membaca buku ini membuatkan saya sedar bahawa penghormatan yang diperolehi dengan kuasa dengan kekayaan, tidak akan dapat bertahan lama. Apabila kuasa hilang dan kekayaan berkurang, kawan boleh bertukar menjadi lawan, inilah lumrah kehidupan apabila penghormatan diberikan secara berpura-pura ataupun bersifat sementara. Apa yang utama ialah memiliki peribadi  sebagai seorang yang terhormat. Di antaranya penulis menyarankan agar bos memberi peluang kepada pekerja berjumpa pada sepanjang hari, meraikan kejayaan, memberi galakan sepanjang masa, berjalan di sekeliling pejabat dan bertanya keadaan pekerja, menawarkan insentif kepada pekerja cemerlang, menyembunyikan kemarahan, menunjukkan sifat perikemanusiaan dan memberi kepercayaan kepada pekerja.

 

Bahagian 4: Panduan Kepada Bos Baru

Segala-galanya berubah apabila kita menjadi bos. Sebagai bos, kita tidak boleh berkelakuan seperti dahulu lagi kerana bos adalah pembimbing, penunjuk ajar dan perlu dijadikan teladan oleh orang lain. Bagi mereka yang baru menjadi bos buat kali pertama, penulis menyarankan beberapa perkara, di antaranya meneruskan usaha baik yang dilakukan oleh bos terdahulu, memulakan hari pertama dengan sebaik-baiknya, menyelesaikan kerja yang lama, menggunakan sepenuhnya segala kelebihan pekerja, tidak terlalu memberi perhatian kepada setiap perkara, bertindak adil  dan memimpin melalui teladan.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, saya berpendapat bahawa buku ini banyak memberi input untuk menjadi seorang bos yang efektif, disayangi dan dihormati kerana kepimpinannya. Banyak tips-tips yang diberikan secara terperinci sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini. Semua ini amat berguna terutama kepada diri saya sendiri yang baru menjadi bos. Cuma apa yang penting sekali setelah semua faktor diambilkira ialah, bos perlu:

 

a)      menilai kekuatan dirinya dan menggunakan kekuatan itu untuk terus berjaya

b)      mengatasi kelemahan yang ada serta menukarkannya supaya menjadi kekuatan

c)      mengambil peluang yang ada dihadapannya, dan

d)      berjaga-jaga dengan ancaman kepada diri dan kedudukannya

 

Semua ini mungkin boleh diperolehi melalui teknik tertentu seperti analisis SWOT dan sebagainya. Sekiranya tidak, bos akan:

 

a)      kehilangan senjata utama bagi dirinya untuk terus berjaya kerana mengabaikan kekuatan dirinya

b)      kehilangan punca dan sebab mengapa dia bergelar bos

c)      mencari kekuatan luar yang akhirnya akan menampakkan kelemahan dirinya sahaja

 

Akhir kata, bos yang hebat dapat melahirkan pekerja dan organisasi yang cemerlang namun di sebalik kehebatan itu, dia sebenarnya mendapat sokongan yang padu daripada anak buahnya kerana hanya anak buah yang hebat sahaja yang akan menjadikan bosnya turut hebat. Anak buah yang akan memberikan segala bentuk bantuan, kerjasama dan pertolongan bagi menampakkan kehebatan bosnya pada pandangan orang lain. Moralnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu ada semangat kerjasama (teamwork) kerana kejayaan tidak boleh dicapai secara bersendirian.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: