Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

“PENDIDIKAN AL-QUR’AN MEMBINA MINDA & JIWA CEMERLANG”.

Posted by blogpmm on November 10, 2009

Oleh

NAIMAH GHAZALI

Penulis : : Drs. Abdul Rahman Abdullah

Diadabtasi : Muhammad Helmi

Penerbit : Perniagaan Jahabersa

Cetakan Pertama : 1996

Jumlah halaman : 278

Tajuk : Pendidikan Al-Qur’an Membina Minda & Jiwa Cemerlang

Sejarah telah banyak membuktikan kepada kita natijah penghayatan konsep pendidikan Rasulullah s.a.w berteraskan al-Quran, dan ia telah banyak merubah seluruh prinsip dan peradaban manusia. Proses yang bermula dengan penyemaian akidah sehingga mantap dan jitu, kemudian didisiplinkan pula dengan pelbagai bentuk etika mahupun peradaban yang berhasil membentuk seorang manusia itu, bukan sahaja dari aspek taqwanya kepada Allah swt malah dengan mencetuskan minda dan jiwa yang dinamik dan cemerlang.

Sebanyak sembilan bab telah digariskan oleh Drs. Abdul Rahman Abdullah dalam buku ini bagi membincangkan peranan Al-Quran dalam membentuk minda dan jiwa. Bab 1 membicarakan konsep dan takrif pendidikan mengikut perspektif agama lain. Bab 2 pula membincangkan tentang tujuan pendidikan menurut al-Quran. Bab ini juga membincangkan tentang pandangan Islam terhadap manusia dan hakikat kejadian manusia di muka bumi ini.

Di dalam bBab 3, penulis telah membincangkan tentang Islam dan akal, penulis dan mengupas dengan lebih terperinci bagaimana Islam mendidik akal manusia. Dalam Islam, akal tidak dinyatakan kecuali pada kedudukan yang tinggi dan anjuran untuk wajib mengamalkannya serta mengajak kembali kepada akal. Dalam al-Quran banyak ayat menganjurkan orang-orang mukmin agar akal dijadikan sebagai hakim atau mencela bila akal diremehkan atau membekukan kreatifnya.

Dalam bab 4 pula, penulis telah membincangkan tentang peranan al-Quran dalam pendidikan jasmani. Al-quran berusaha untuk mewujudkan keseimbangan dan kestabilan di dalam peribadi seseorang. Keseimbangan antara dorongan serta kestabilan antara tuntutan meterialnya, keinginan-keinginan jiwa, tidak mengenepikan yang satu dan dengan mementingkan yang lain.

Penulis telah membincangkan tentang peranan al-Quran dalam mendidik jiwa di dalam bab yang ke 5. Peranan al-Quran dalam pendidikan jiwa tidak berbeza jauh dari peranan dalam pendidikan akal. Jika dalam pendidikan akal al-Quran melalui sistem pelucutan akal dari segala aqidah-aqidah yang tidak sesuai dengan peranan-Nya. Peranan al-Quran di dalam jiwa memulai dengan mengikis apa-apa yang terkandung di antaranya dan antara keinginan nafsu dan kebiasaannya pada masa lalu yang tidak sesuai dengan peranan al-Quran. Dimulai dengan pembersihan jiwa dari penyakit-penykit yang nampak dan yang samar dengan melalui jalan taubat.

Seterusnya dalam bab 6, penulis telah membincangkan tentang pendidikan al-Quran terhadap fitrah manusia. Al-Quran menjadi pendorong fitrah yang ada pada manusia. Al-Quran telah menunjukkan suatu jalan yang tertentu, yang sesuai dengan kepentingan peribadi dan masyarakat. Di dalam al-Quran tidak ada keterangan yang menyekat manusia dari pengambilan rezeki tanpa melampaui batas dari semestinya. Tiada ajaran kerahiban dan tiada di dalam al-Quran larangan dari kenikmatan.

Di dalam bab 7, penulis telah membincangkan tentang tahap dan kaedah pendidikan al- Quran mendidik manusia melalui nasihat, cerita, peristiwa, seksaan dan ancaman. Kaedah ini merupakan salah satu mukjizat al-Quran dalam mendidik manusia di semua peringkat. Cerita dan kisah di dalam al-Quran memiliki method yang tersendiri dan mampu difahami dan dihayati oleh seluruh manusia zaman berzaman. Cerita-cerita di dalam al-Quran juga tidak lapok dan relevan bagi setiap masa dan tempat.

Bab yang seterusnya iaitu bab 8 adalah tentang natijah terhadap pendidikan al-Quran. Dalam bab ini penulis telah membariskan contoh-contoh kisah para sahabat, para tabi’in dan tabi’ tabi’n yang diri mereka dididik dengan al-Quran. Antaranya adalah Ka’ab bin Malik, Abu Hazim dan Sulaiman bin Abdullah, Al Faidlail bin Ayyadi dan Harun Ar Rasyid, Syarik bin Abdullah dan Amir Musa bin Isa, Abdullah bin Abi Solul dan puteranya serta Syaikh Syamsuddin Addiruthy dan Sultan Al-Gurie.

Penulis telah memperuntukkan satu bab yang terakhir iaitu bab Penutup. Dalam bab ini penulis telah membincangkan tentang natijah dan pengaruh Pendidikan Islam dalam membentuk keperibadian dan kehidupan manusia. Menurut penulis peranna pendidikan Islam dianggap satu peranan yang tersendiri di antara peranan pendidikan dunia seluruhnya, dahulu atau masa sekarang dan akan datang. Penulis telah membuat persoalan “mengapa kita tinggalkan yang dekat mengambil yang jauh? Kita pilih yang berbahaya dari yang bermanfaat? Kita tinggal hidayat Allah kepada kesesatan”. Dan akhir sekali penulis mengajak semua supaya kembali kepada pendidikan Al-Quran kerana ia pasti memberi kebahagian di jiwa insan dan kemajuan dalam penghidupan dunia yang sementara ini.

Meneliti seluruh isi kandungan buku ini, dapatlah kita membuat kesimpulan betapa pentingnya peranan al-Quran dalam membentuk minda dan jiwa manusia supaya menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat dan buku ini merupakan rujukan penting bagi sesiapa juga yang inginkan mencari sumber rujukan dan bahan kajian tentang peranan al-Quran dan bagaimana pelaksanaannya.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
%d bloggers like this: