Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Panduan Menjadi Ibu Bapa Cemerlang

Posted by blogpmm on October 27, 2010

Pengarang : Saat Sulaiman
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Genre : Keluarga & Keibubapaan
Mukasurat : 208   halaman
Cetakan Pertama : 2005
Harga : RM20.00

Diulas oleh: Zuraida Binti Yaacob, Jabatan Hospitaliti, PMM

Buku yang patut dibaca oleh ibubapa yang ingin cemerlang supaya berjaya melahirkan anak yang cemerlang. Buku ini ditulis oleh Saat Sulaiman. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau pernah memberi ceramah motivasi pelajar cemerlang peringkat negeri. Beliau menulis selepas banyak membuat kajian daripada buku-buku ilmiah, laman web dan pemerhatian di media-media cetak dan elektronik.

 Tugas sebagai ibu bapa bukanlah mudah, terutama di zaman sains dan teknologi, zaman manusia mengejar kemewahan dan kebendaan. Masa dan zaman akan berubah, namun manusia tetap sama iaitu dilahirkan dalam keadaan tiada seurat benang pun dan berakhir di liang lahad. Ibu bapa yang berjaya menjadi cemerlang melahirkan generasi cemerlang kerana ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak. Apabila ibu bapa gagal menjadi cemerlang, mereka bukan sahaja gagal menjadi ibu bapa yang baik dan sempurna, malah melahirkan anak-anak yang tidak berilmu dan berwawasan.

Pada masa ini, lahir pelbagai gegala sosial seperti persetubuhan tanpa nikah, bohsia dan bohjan, vandalisme, jenayah seawal usia persekolahan dan pelbagai lagi masalah yang timbul terutama di zaman globalisasi ini. Ibu bapa kini bukan sahaja disibukkan dengan tugas mencari rezeki, malah perlu menjadi suami dan isteri, perlu mendidik dan membesarkan anak-anak. Masa yang kian terbatas menyebabkan ramai ibu bapa gagal menjadi cemerlang.

Bagaimana hendak menjadi ibu bapa cemerlang? Bagaimana pula hendak mendidik anak-anak menjadi cemerlang? Buku ini membei panduan kepada ibu bapa:

  • Mendidik ibu bapa supaya memahami tanggungjawab yang perlu dilaksanakan
  • Memberitahu kepada ibu bapa kesalahan yang perlu dielakkan
  • Memberi idea menjauhkan anak daripada dadah dan gejala negatif
  • Mendidik ibu bapa menjauhi perkara yang dilarang oleh agama

Menariknya buku ini ialah kerana penulis menggarabkan isi yang hendak disampaikan dengan teratur dan sempurna. Buku ini terbahagi kepada 6 bahagian. Penulis juga menyenaraikan beberapa faktor kenapa ibu bapa perlu cemerlang? Antaranya ialah:

  • Ibu bapa yang cemerlang akan menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat
  • Ibu bapa yang cemerlang akan menjadi role model kepada ibu bapa lain
  • Ibu bapa yang cemerlang akan menajdi contoh teladan kepada anak-anaknya
  • Ibu bapa yang cemerlang bakal melahirkan anak-anak yang cemerlang
  • Ibu bapa yang cemerlang akan menjadi generasi yang berguna kepada agama, bangsa dan negara dan banyak lagi.

Bahagian 1 menerangkan tentang 50 ciri bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang. Antara ciri-ciri tesebut ialah:

  • Ibu bapa yang beriman
  • Ibu bapa yang tahu membezakan halal dan haram
  • Ibu bapa yang tahu kewajipan dan hak sebagai ibubapa
  • Ibu bapa yang amanah
  • Ibu bapa yang peka dan perihatin dan banyak lagi.

Dalam Bahagian 2 pula diterangkan 24 kesalahan dan kelemahan yang patut dielakkan  oleh ibu bapa seperti mendedahkan aib pasangan dihadapan anak-anak, memungkiri janji, bercakap bohong, pemarah, bersifat diskriminasi dan lain-lain lagi.   

Bahagian 3 pula menerangkan beberapa langkah berguna kepada ibu bapa dalam mendidik anak supaya menjadi anak yang cemerlang. Manakala Bahagian 4 pula menerangkan idea-idea yang boleh digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik anak untuk menjadi cemerlang. Antaranya ialah seperti peranan ibu bapa dalam mencemerlangkan pendidikan anak-anak, ilmu-ilmu yang patut dimiliki oleh ibu bapa dan sebagainya.

Bahagian 5 pula menyentuh sedikit berkaitan isu perceraian. Apakah peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa apabila berlakunya perceraian ini? Seterusnya bahagian terakhir iaitu Bahagian 6 pula ialah Appendiks. Penulis menyertakan piramid makanan untuk panduan ibu bapa dan juga penutup.  

Semoga dengan lahirnya buku ini akan menambahkan ilmu pengetahuan kepada ibu bapa dan yang bakal bergelar ibu bapa. Ibu bapa cemerlang adalah matlamat semua ibu bapa. Jika ingin menjadi ibu bapa yang cemerlang, ibu bapa mesti memiliki pelbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran mendidik, memahami psikologi dan tingkah laku manusia, kesabaran dan lain-lain. Memang bukan mudah mahu menjadi ibu bapa cemerlang namun dengan usaha memperbanyakkan ilmu, mengkaji kesalahan dan kesilapan, dengan izin Tuhan kita pasti berjaya menjadi ibu bapa cemerlang dan seterusnya menjadi role model kepada anak-anak untuk mewarisi kecemerlangan.

Manusia maju dengan ilmu, oleh demikian buku ini menambahkan lagi ilmu keibubapaan supaya kita berjaya menjadi ibu bapa cemerlang. Buku ini hanya mampu memberi jalan dan ikhtiar, kitalah yang akan mencorakkan diri kita. Semoga panduan dan idea yang akan dipaparkan nanti akan memberi jalan untuk berubah menjadi lebih cemerlang dan terus cemerlang.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: