Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

AMALAN IBU MENGANDUNG: Menurut Al-Quran, As-Sunnah dan Pengalaman

Posted by blogpmm on June 3, 2010

AMALAN IBU MENGANDUNG: Menurut Al-Quran, As-Sunnah dan Pengalaman

 

Judul : AMALAN IBU MENGANDUNG: Menurut Al-Quran, As-Sunnah dan Pengalaman (Siri Bimbingan Keluarga)

Pengarang : Siti Nor Bahyah Mahmood, Hj. Muhammad Zakaria dan Jaafar Salleh

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd (2006)

Mukasurat: 104 halaman penuh warna warni yang menarik

Harga : RM19.90

Diulas oleh: Zuraida Binti Yaacob, Jabatan Hospitaliti, PMM

Bagaimana menggunakan siri ini?

  • Beli sekurang-kurangnya 2 naskah: 1 untuk rujukan anda & 1 lagi untuk dihadiahkan kepada orang yang sesuai
  • Bagi pengantin baru dan pasangan muda, baca bersama pasangan 3-4 muka sebelum tidur
  • Baca bila anda bersendirian
  • Beramal dengan khasiat ayat-ayat al-quran yang disarankan
  • Jadikan bahan tazkirah selepas solat subuh atau maghrib berjemaah dengan pasangan
  • Jadikan hadiah untuk pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan, ulangtahun perkahwinan, harijadi dan anak remaja yang bakal mendirikan rumahtangga
  • Pinjamkan kepada kawan yang baru melansungkan perkahwinan
  • Beri hadiah apabila anda lihat pasangan itu lambat mengandung
  • Tulis atau SMS kepada editor pengalaman anda menggunakan siri ini

 

Kemahiran menangani kehamilan sangat penting bagi:

  • Semua remaja yang bakal mendirikan rumahtangga
  • Pengantin baru yang ingin mendapat anak yang cemerlang
  • Ibu-ibu yang menaruh kecintaan untuk melahirkan lebih ramai anak

 

Kehamilan telah dilalui oleh jutaan manusia sejak Nabi Adam a.s. dan telah mengembang-biakkan zuriat di atas muka bumi ini. Daripada risiko penyakit dan kematian bayi yang amat tinggi seperti kebanyakkan Negara-negara di Afrika dan sebahagian Negara di rantau Asia, peningkatan teknologi perubatan dan penyelidikan moden telah berkembang pesat untuk menjadikan kelahiran sebagai ‘sifar risiko’.

Itu perkembangan yang harus diikuti oleh semua manusia tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama. Tetapi umat islam masih mempunyai satu lagi senjata hikmat iaitu berserah melalui doa kepada Allah s.w.t. yang telah merancang dan melaksanakan segala yang bernyawa dan yang tidak bernyawa di maya pada ini. Gabungan dua aspek di atas dipaparkan dalam buku ini untuk panduan dan amalan ibu mengandung yang mana disampaikan dalam 17 bab.

Bab 1 menjelaskan tentang proses kejadian manusia yang mana asal kejadian manusia (Adam) diciptakan oleh Allah daripada tanah hitam kemudian baru ditiupkan roh. Sementara kejadian manusia kedua, iaitu Siti Hawa daripada tulang rusuk. Setelah itu barulah diciptakan anak kepada kedua-duanya (Adam dan Hawa) daripada setitis mani. Kemudian berkembang biak menjadi suku dan bangsa-bangsa sehingga pada hari ini.

Bab 2 pula menjelaskan tentang pemilihan pasangan hidup. “Pilihan pasangan mestilah tepat kerana akhlak anak-anak akan diwarisi dari ibubapanya”. Pemilihan pasangan adalah satu cabaran buat bakal suami kerana ia akan menentukan generasi akan datang.

Dalam bab ini, pengarang ada memberikan beberapa tips untuk memilih pasangan iaitu:

  • Yang kuat pegangan agama
  • Yang mempunyai adik-beradik yang ramai
  • Yang baik budi pekerti
  • Yang bercampur dengan golongan rakan yang baik
  • Latar belakang daripada keturunan yang baik

 

Selain daripada tips di atas, doa juga merupakan senjata yang baik dalam pencarian pasangan hidup. Dalam al-quran, Allah mengingatkan agar memilih pasangan yang baik. Surah An-Nur ayat 26, Allah berfirman maksudnya:

 

“wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik”.

Dalam bab 3 pula, pengarang mengupas tentang adab ketika berjimak. Selain daripada memilih watak pasangan, masa dan ketika melakukan jimak antara suami dan isteri adalah suatu yang sepatutnya diambil perhatian kerana menurut keterangan hadis hubungan suami isteri itu akan memberi kesan terhadap peribadi anak-anak. Banyak tip dan adab berjimak yang telah dijelaskan oleh pengarang dalam bab ini.

Bab 4 pula mengupas tentang pendidikan bermula sejak kandungan. Dalam islam, usaha mendidik tidak hanya bermula setelah bayi lahir atau setelah kanak-kanak mumayyiz (berakal), tetapi bermula sejak bayi dalam kandungan lagi. Pengarang juga menyelitkan kisah iktibar sejarah iaitu kidah mengenai Nabi Zakaria a.s yang dibisukan oleh Allah selama tiga hari sebelum dikurniakan anaknya yang pertama, Nabi Yahya a.s.

Bab 5 menjelaskan tentang bagaimana cara mendidik anak dalam kandungan. Walaupun islam telah lama menekankan tentang pendidikan yang bermula sejak bayi dalam kandungan, tapi jarang di antara umat islam sendiri mengambil perhatian tentang perkara tersebut. Jadi, dalam bab ini, pengarang telah memberikan beberapa cara pendidikan semasa mengandung yang boleh diamalkan oleh para ibu dan juga bapa.

Bab 6 – Bab 8 mengupas berkaitan dengan amalan-amalan yang mesti dijaga dan  diamalkan ketika mengandung iaitu amalan kerohanian, amalan pergaulan dan amalan pemakanan.  Antara amalan kerohanian yang patut diamalkan oleh para ibu dan bapa sepanjang tempoh kehamilan ialah:

  • Memperbanyak taubat dan istighfar
  • Berpuasa sunat – khas untuk kaum bapa atau suami
  • Tidak bercakap yang sia-sia
  • Banyak membaca al-quran – juga disertakan surah-surah yang digalakkan untuk baca ketika mengandung dan fadilatnya
  • Banyak berdoa

 

Selain itu, amalan pergaulan juga penting bagi menjaga pengaruh dan sikap anak yang akan dilahirkan kelak. Pengarang juga ada memberikan beberapa adab suami terhadap isteri ketika isteri mengandung dan juga adab isteri terhadap sumai ketika sedang mengandung.

Makanan yang bersih dan suci menjadi darah daging anak di dalam kandungan. Oleh itu islam mengambil langkah mengawal sejak seseorang itu berada dalam kandungan ibunya lagi.  Selain darah daging yang terbina daripada sumber haram, daging juga akan menjadi bahan bakar di dalam neraka. Jadi, dua aspek pemakanan yang perlu dijaga iaitu kesucian (halal) dan mutu (zat).

Bab 9 – 11 pula mengupas tentang petua, masalah dan penampilan ketika mengadung. Petua ketika mengandung bukan suatu ketetapan atau kewajipan, hanya suatu amalan dan usaha dalam melahirkan zuriat yang cemerlang.

Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu-ibu yang mengandung menghadapi beberapa masalah kecil. Masalah-masalah ini pula menjadikan ibu tidak selesa dan kadangkala menimbulkan masalah yang lebih besar. Antara masalah yang sering berlaku ialah eklampsia, rasa mual, sakit tulang pinggang, punggung dan bahu, kejang otot, pening/pitam, keletihan, sembelit dan lain-lain. Buku ini juga memberikan beberapa tip untuk mengatasi masalah-masalah tersebut yang boleh dijadikan panduan oleh bakal ibu dan bapa.

Bab 12 pula menjelaskan tentang persiapan menjelang kelahiran. Di samping petua dan amalan kerohanian yang sangat perlu diamalkan oleh ibu-ibu mengandung, persiapan lahiriah juga tidak kurang pentingnya. Di antara persiapan tersebut seperti kewangan, kesihatan fizikal, persiapan keperluan bayi, memilih hospital, persiapan ke hospital dan sebagainya. Perancangan yang rapi dan kemas boleh menjadikan suasana kelahiran satu keseronokan buat suami dan isteri. Jadi segala keperluan dan persiapan untuk bersalin mestilah dilengkapkan lebih awal lagi supaya tidak kelam kabut.

Bab 13 dan 14 pula menerangkan tentang masalah selepas bersalin dan  penjagaan dan rawatan selepas bersalin. Ramai wanita yang tidak menghiraukan kesihatan mereka selepas bersalin kerana memikirkan keadaan sudah selamat setelah melahirkan anak. Pendapat sebegini harus dielakkan dan berbahaya kepada kesihatan anda. Kebiasaannya, selepas bersalin, wanita akan mengalami beberapa masalah umum yang tidak sepatutnya diambil ringan. Bab ini menghuraikan satu persatu masalah-masalah terssebut dan cara mengatasi mengikut amalan petua orang-orang terdahulu.

Bab 15 pula menyentuh mengenai senaman yang boleh dilakukan semasa dan selepas mengandung. Senaman-senaman ini adalah untuk melancarkan peredaran darah, pencernaan atau penghadaman makanan, memperbaiki selera makan dan mengurangkan kegelisahan. Di samping itu, senaman ini juga membantu memudahkan waktu bersalin. Bagi ibu yang baru lepas bersalin, salah satu cara untuk mengembalikan otot-otot yang kendur, dianjurkan supaya melakukan senaman selepas bersalin. Antara senaman yang baik dilakukan diterangkan dengan lebih terperinci beserta gambar dalam bab ini.

Bab 16 mengupas tentang penyusuan anak dan bab yang terkhir iaitu bab 17 adalah mengenai nama-nama indah bagi anak lelaki dan perempuan. Dalam bab 16, banyak diceritakan mengenai susu ibu iaitu kepentingan penyusuan anak dalam islam terutamanya susu ibu. Juga diterangkan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam susu ibu dan kelebihan anak yang disusui dengan susu ibu. Selain itu, ada juga diterangkan mengenai teknik-teknik penyusuan susu ibu yang betul serta pemilihan makanan yang baik ketika menyusukan bayi. Oleh itu, amatlah rugi bagi anak-anak yang tidak mendapat susu ibu yang secukupnya semasa proses pembesaran mereka.

Kesimpulannya, buku ini banyak memberi manfaat kepada pembaca terutama kepada mereka yang baru mendirikan rumah tangga, bakal mendirikan rumah tangga, bakal bergelar ibu dan bapa, suami isteri baru dan lama. Banyak doa-doa yang disertakan dalam buku ini untuk diamalkan oleh pembaca selain surah-surah pilihan terutamanya semasa mengandung. Petua-petua berguna dan tip-tip serta panduan-panduan yang boleh diamalkan oleh pembaca banyak diterangkan di dalam buku ini.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: