Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia

Posted by blogpmm on March 4, 2010

Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia. Oleh Mohamad Fauzi Zakaria. Kuala Lumpur: Jundi Resources, 2007. Kulit Lembut: 149 hlm.
Diulas Oleh : Noor Mayafaraniza binti Kosnan
Jabatan : JKM

Buku ini memperihalkan ideologi dan latar belakang perjuangan Assyahid Sayyid Qutb yang merupakan salah seorang mujaddid Islam di abad ini sebaris dengan tokoh politico-religous reformer yang lain (hlm. 1). Beliau menekankan kejelasan tasawwur Islam dan kemurnian aqidah. Dua konsep ini diutarakan melalui konsep Islam sebagai ad-Deen dan konsep al-Hakimiyyah sebagai tuntutan utama Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah yang menjadi teras perjuangan dan intipati pemikiran yang berkembang di Mesir dan berpengaruh besar dalam dunia Islam (hlm. 149). Pengaruh gerakan ini pula telah berkembang ke seluruh dunia seperti di Sudan, Arab Saudi, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain. Gerakan Islam di Malaysia, terutamanya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut dipengaruhi oleh ideologi ini. Penceritaan tentang konsep perjuangan dan implikasi pengaruh beliau inilah yang digarap dalam penulisan ini.

Buku ini distrukturkan kepada enam bab: tiga subtopik dalam Bab 1, lapan dalam Bab 2, satu dalam Bab 3, enam dalam Bab 4, satu dalam Bab 5 dan satu dalam Bab 6 sebagai penutup. Dokumentasi penulisan buku ini dilakukan dengan baik dan menarik tetapi tidak dideskriptifkan mengikut kronologi. Penjelasan yang mendalam, padat dan jelas diperihalkan mengikut bab tertentu.

Bab 1 buku ini membicarakan isu pengenalan yang penting dan menarik dalam lembaran nukilannya. Kembara hidup Sayyid Qutb sejak kecil, meniti perjuangan menegakkan kalimah tauhid dan daulah Islamiyyah bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin sehingga beliau dihukum gantung sampai mati telah dikisahkan dengan ringkas, kemas dan baik. Sejarah kebangkitan dan perjuangan gerakan-gerakan Islam dan sosialis pra-kemerdekaan menentang penjajahan Inggeris turut diselitkan untuk menggambarkan fenomena semasa yang relevan dengan perkembangan biografinya (hlm. 1-10). Seterusnya eksplorasi latar belakang dan biografi Assyahid sejak kecil; menyusuri arus hidup dalam pendidikan, kerjaya dan akhirnya menyertai perjuangan Gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna juga dikisahkan untuk menjelaskan pertalian visi perjuangan Assyahid hingga membuahkan titik nokhtah pengakhiran mulia dalam hidupnya iaitu mati syahid (hlm. 32). Subtopik seterusnya menyenaraikan kesemua 24 buah buku nukilan yang menjadi buah tangan dan hadiah peninggalannya. Karya terakhir iaitu Ma’alim fi al-Tariq dan Fi Zilal al-Quran telah mengkafirkan orang Islam yang menyalahi persoalan tauhid Uluhiyyah dan Hakimiyyah dikatakan telah membawanya ke tali gantung (hlm. 33-36).

Dalam Bab 2, persoalan idea pokok Assyahid iaitu hak Allah dalam menentukan hukum dan sistem perundangan manusia sebagai hamba dan makhluknya telah diperjelaskan (hlm 37). Persoalan konsep Hakimiyyah dalam Ulihiyyah telah dibicarakan mengikut perspektif tauhid dengan al-Quran dan al-Hadith dijadikan teras sandaran. Pandangan dan pendapat ulama Salafiyyah dan ulama sezaman seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qardhawi, al-Maududi, Hassan al-Banna dan lain-lain turut dimuatkan dalam membicarakan konsep uluhiyyah dan hakimiyyah (hlm. 38-81). Kritikan golongan sekular dan assobiyyah terhadap konsep ini juga dijelaskan.
Bab 3 yang dinamakan sebagai galeri; telah memaparkan gambar-gambar dan penerangan tentang Assyahid dan pemimpin-pemimpin gerakan Islam lain termasuk gerakan Islam Malaysia secara rawak dalam bab ini (hlm. 83-92).

Dalam Bab 4, satu lagi persoalan idea pokok Sayyid Qutb iaitu makna Rabb secara ma’rifah dari sudut hakimiyyah (hlm 93). Persoalan konsep Rubbubiyyah dan ketuanan mutlak dalam perspektif tauhid telah dianalisa melalui kutipan dan penjelasan melalui karya-karyanya dengan al-Quran dan al-Hadith dijadikan teras sandaran. Seperti dalam Bab 2, pandangan dan pendapat ulama seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Muhammad al-Ghazali, al-Maududi dan lain-lain mengenai konsep ini turut dibentang (hlm. 94-107).

Dalam Bab 5, pengaruh hakimiyyah terhadap PAS dan ABIM dibahaskan mengikut rantaian pergerakan islah yang bersifat sejagat. Aliran gerakan Islam yang dikategorikan sebagai tradisionalis, modenis dan reformis telah diperihalkan secara jelas dari perspektif sejarah Napoleon Bonaparte di Mesir serta kemunculan gerakan orientalis, nasionalisme dan sekularisasi yang melanda kerajaan Abbasiyyah dan dunia Islam lain di sekitar tahun 1990an (hlm. 110-115). Kemunculan Gerakan al-Wahabiyyah di Semenanjung Arab, al-Sanusiyyah di Libya, al-Mahdi di Sudan, Ikhwanul Muslimin di Mesir, Revolusi Islam di Iran dan lain-lain gerakan yang bersifat fundamentalis dalam menggerakkan puritanical reformer turut di bincangkan (hlm. 120). Gerakan yang menentang sekular dan taghut ini dikatakan bersifat tajdid telah mempengaruhi gerakan PAS dan ABIM di Malaysia. Aliran pemikiran hakimiyyah ini telah menular, dipamer dan diakui oleh Dr. Zulkifli Muhamamad, Haji Abdul Hadi, Nik Aziz, Anwar Ibrahim, Sanusi Junid dan lain-lain pemimpin PAS dan ABIM (hlm. 123-148).

Manakala Bab 6 pula telah menyimpulkan kembali pendapat dan pandangan penulis tentang karya dalam bab terdahulu. Pendirian penulis bahawa aqidah al-ilahiyyat yang dipopularkan oleh Assyahid telah menjadi sebagai force kepada gerakan Islam di Malaysia telah ditegaskan (hlm. 157).

Komen
Buku ini boleh dikelaskan sebagai bahan bacaan agama yang ringan kerana fokus kandungannya hanya terjurus kepada aspek asas aqidah sahaja. Huraiannya pula hanya menumpukan kepada kupasan idea Assyahid terhadap konsep syahadah menurut persoalan hakimiyyah. Pengaruh cebisan pemikiran ini pula difokuskan kepada gerakan Islam yang muktabar di Malaysia iaitu PAS dan ABIM sahaja. Dan segala isu sejarah, perkembangan semasa dan pandangan ulama yang relevan telah diselitkan untuk melengkapkan hasil karyanya.

Bahasa penulisan buku ini amat baik dan menarik kerana diolah mengikut gaya bahasa sastera rujukan utamanya iaitu Assyahid yang diakui sebagai salah seorang sasterawan moden. Banyak istilah arab digunakan untuk mengekalkan dan menerang maksud sebenar dalam karya ini. Penerangan tentang istilah ini juga dijelaskan mengikut frasa penggunaan ayat dan kata tertentu. Petikan dan kutipan dari al-Quran, hadis, pandangan dan pendapat para ulama serta penulis lain telah menguatkan hujah penulis dalam karya ini. Kutipan kata-kata dan karya-karya sastera Assyahid dalam bentuk gaya bahasa sastera Arab seperti pesanan terakhir beliau yang berupa madah telah membuatkan buku ini bertambah menarik. Namun penulisan sebegini hanya sesuai dan diminati oleh golongan pembaca dalam bidang kajian Islam sahaja terutamanya dalam bidang aqidah atau tauhid sahaja.

Kelemahan ketara buku ini ialah tiada senarai rujukan atau bibliografi dan indeks dalam buku ini walaupun karya ini dilihat sebagai ringkasan daripada kertas kajian penulis semasa di Universiti Malaya. Tiada abstrak penulisan, hanya prakata daripada editor di bahagian hadapan buku. Manakala dalam Bab 3, kronologi dan rujukan cerita berkaitan peristiwa yang relevan dengan galeri gambar tidak dijelaskan walaupun gambar-gambar tersebut mempunyai seribu makna yang relevan dengan Bab 1 dan Bab 4. Penampilan gambar mengikut kronologi penceritaan dalam penulisan akan menguatkan bukti dan dan menarik minat pembaca. Mungkin garapan dan susunan penulis sebegini bertujuan untuk menumpukan fokus pembaca dengan nukilan beliau tanpa diganggu dengan foto-foto tertentu. Secara tidak langsung susunan buku ini kelihatan kemas dan cantik.

Namun begitu, usaha penulis menampilkan pemikiran Sayyid Qutb sebagai bacaan ringan merupakan satu usaha yang murni, baik dan wajar diberi sanjungan. Banyak karya tokoh-tokoh Barat dan Melayu dalam pasaran. Karya tokoh pemikiran Islam yang bersifat komtemporari sebegini masih tidak diketahui dan terkadang telah disalah mengertikan oleh sesetengah orang Islam sendiri kerana kurang bahan bacaan. Justeru buku ini telah memberi perspektif yang benar dan jelas tentang konsep perjuangan Islam yang hakiki dalam menuju kejayaan dunia dan akhirat.
(1080 patah perkataan)

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: