Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT

Posted by blogpmm on March 4, 2010

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT
Hidup Bertakwa Bermula daripada Lahirnya Insan ke Dunia
ABD GHANI BIN RASHED@MOHAMED
PEGAWAI PENDIDIKAN PENGAJIAN TINGGI (PPPT)
JABATAN KEJURUTERAAN AWAM
POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA.
abdghani@pmm.edu.my dan aidid_aima@yahoo.com.my

ABSTRAK

Isi buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munakahat (nikah kawin dan rumahtangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ini bersumberkan ilmu al-Quran dan hadis yang sahih.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadula dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan step-by-step . Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang relistik. Buku ini seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki oleh setiap rumah, pusat sumber, sekolah atau institusi dan individu.

ULASAN

“ Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada nabi SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma.” Hadis riwayat Abu Burdah daripada Abu Musa r.a.

Itulah petikan daripada syariat kelahiran yang banyak mengupas tentang amalan awal ketika kelahiran seperti azan , bertahnik, menamakan bayi dengan nama yang baik, akikah dan berkhitan. Pendidikan awal kanak-kanak juga disentuh dengan mengenal sifat Allah, rasul, solat dan adab-adab terpuji yang baik untuk diamalkan. Syariat berkaitan remaja juga diulas dengan lebih mendalam menyentuh kepentingan syahadah, erti iman dan islam serta sifat-sifat mahmudah dan sifat mazmumah.

Isu yang dikupas di dalam buku ini juga melibatkan fardu ain asas seperti bersuci, bersolat seperti solat berjemaah, syarat-syarat solat, jenis solat dan doa yang baik. Ilmu berkenaan dengan puasa, zakat dan haji serta umrah. Amalan penyembelihan dan ibadah korban juga dibincang dengan lebih mendalam dan difahami oleh semua pembaca. Ilmu berkenaan dengan munakahat sepert panduan memilih calon isteri dan suami, pertunangan, poligami, talak dan doa serta amalan berkaitan syariat juga diajar bagi membentuk keluarga bahagia.

Buku ini juga mengupas isu berkaitan dengan syariat yang melibatkan budaya bermasyarakat seperti adab berjiran, amalan ziarah, mengimarahkan masjid, pengurusan jenazah, jenayah dan lain-lain. Bab yang membincangkan syariat sunat harian sepanjang masa menjadi penutup kepada perbincangan buku ini. Antara perkara pokok yang dibincangkan termasuklah amalan membaca Al-Quran, istigfar, berselawat, berdoa, zikir dan doa-doa yang boleh membantu mengubati penyakit (penawar).

RUMUSAN

Secara keseluruhannya buku ini banyak mengupas perkara berkaitan hidup berlandaskan syariat yang memperkatakan tentang indahnya kehidupan ini sekiranya ia saling melengkapi. Tiada penyelesaian melainkan dengan merujuk kepada Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Perkara pokok perbahasan mengungkai segala persoalan yang adakalanya mewujudkan kekhilafiah yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kehidupan. Buku ini amat sesuai menjadi bacaan dan rujukan harian kerana banyak perkara dibincangkan secara terperinci hingga menjadikan buku ini menarik sekali buat yang inginkan ilmu duniawi dan ukhrawi. Semoga semua pembaca dapat meluangkan masa menatap, memahami dan menteladani apa yang menjadi pegangan dan syariat supaya tidak tersesat di jalan yang terang. SALAM MUHIBBAH.

About these ads

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: