Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

PANDUAN PROTOKOL DAN TATATERTIB MAJLIS

Posted by blogpmm on December 2, 2009

Panduan Protokol Dan Tatatertib Majlis

 

Nama Pengarang: SAMSUDIN WAHAB
Penerbit : PTS PROFESSIONAL PUBLISHING SDN. BHD.
Pengulas : AYU WIRDAWARTI PO’A

 

Latar Belakang Penulis :

 

Penulis buku ini, Samsudin Wahab adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu. Mempunyai pengetahuannya yang luas dan berpengalaman dalam bidang pengurusan.

Secara umumnya, walaupun terdapat banyak buku-buku tentang protokol dan etika dalam majlis, buku tulisan Samsudin Wahab ini boleh dikatakan memberi sumbangan besar sebagai rujukan ilmiah dalam bidang ini. Buku ini dihasilkan dalam 16 bahagian khusus namun masih berkesinambungan antara satu sama lain.

 

Bab 1 : Pengenalan Kepada Protokol Majlis

 

Ia dimulakan dengan Bab 1, iaitu Pengenalan Kepada Protokol Majlis. Dalam bahagian ini, istilah protokol dan etika sosial didefinasikan penulis dengan merujuk kepada pelbagai sumber seperti Kamus Dewan dan penulisan terdahulu tentang bidang ini (ms 1 -3). Penulis turut menjelaskan kepentingan pengetahuan protokol dalam kegunaan harian untuk individu, dalam pengurus masyarakat, dalam mengurus dan mengendalikan majlis dan juga dalam hubungan antarabangsa (ms 7 – 9).

 

Bab 2: Susunan Keutamaan Dalam Majlis

 

Penulisan seterusnya dalam Bab 2 menjuruskan kepada Susunan Keutamaan Dalam Majlis. Susunan keutamaan majlis wajar diberi perhatian kerana kegagalan mengikut susunan keutamaan terutama ketika menyambut tetamu akan merendahkan martabat tetamu kehormat itu. Menurut penulis sebagai negara yang mengamalkan Sistem Perlembagaan dan Beraja adalah wajar susunan keutamaan dibuat berteraskan protokol istana (ms 13). Penulis menyenaraikan dengan jelas susunan keutamaan peringkat persekutuan dengan merujuk kepada Pekeliling Warta Kerajaaan berdasarkan peringkat paling tinggi iaitu Yang di-Pertuan Agong sehingga ke bawah. Dalam bab ini juga, panduan tentang panggilan-panggilan hormat dan gelaran dibentangkan penulis dalam bentuk jadual (ms 23 – 27).

 

Bab 3 : Jawatan Pegawai Protokol

 

Dalam Bab 3 pula penulisan ditumpukan tentang Jawatan Pegawai Protokol. Pegawai protokol adalah individu yang mengetahui serta mahir mengenai protokol selepas mengikuti pelbagai latihan dan pengalaman lama dalam bidang ini (ms 28). Jenis-jenis pegawai protokol, perwatakan dan perlantikan pegawai protokol juga dihuraikan dengan jelas oleh penulis dalam bahagian ini.

 

Bab 4 : Protokol Untuk Pengacara Majlis

 

Bab 4 pula penulis memberi kefahaman tentang Protokol untuk Pengacara Majlis. Ini kerana apabila menganjurkan majlis, kita seharusnya faham beberapa istilah yang berkaitan dengan majlis yang diadakan itu. Perbezaan antara istilah-istilah seperti Majlis Penuh Istiadat, Majlis Rasmi dan Formal, Majlis Rasmi tetapi Tidak Formal dan Majlis Tidak Rasmi tetapi Formal dan Majlis Tidak Rasmi dan Tidak Formal telah dihuraikan dengan jelas oleh penulis (ms 40 – 43). Dalam bab ini juga, berdasarkan rujukan penulis terdahulu, penulis memberi panduan tentang tips menjadi pengacara yang baik dan menepati protokol. Pada pengakhiran bab pula diselitkan dengan beberapa bahasa sapaan atau panggilan hormat untuk jawatan-jawatan tertentu yang sesuai diigunakan oleh pengacara majlis khususnya dalam acara rasmi.

 

Bab 5 : Protokol Bagi Majlis Anugerah Cemerlang

 

Dalam Bab 5 dikhususkan kepada Protokol bagi Majlis Anugerah Cemerlang. Majlis ini boleh diadakan untuk tujuan meraikan peserta-peserta yang telah memenangi sebarang acara yang telah dipertandingkan oelh badan-badan tertentu. Penulis menulis dan memberi penerangan tentang protokol dalam acara-acara sebegini merangkumi protokol jemputan, protokol sambutan, protokol tempat duduk majlis, protokol ketika penyampaian hadiah dan protokol pakaian majlis.

 

Bab 6 : TataSopan Berucap Dalam Majlis

 

Bab 6 pula memberi penekanan tentang aspek Tatasopan Berucap dalam Majlis. Penulis memberi panduan bagaimana ucapan sepatutnya dinyatakan berdasarkan beberapa contoh atau jenis majlis seperti Majlis Perpisahan, Majlis dalam Kem Latihan, Majlis Perkahwinan Kaum Melayu, Jamuan Tahunan Organisasi dan Perjumpaan Persatuan Pelajar.

 

Bab 7 : Protokol Penyambut Tetamu Rasmi

 

Selain pengacara majlis yang dihuraikan oleh penulis dalam Bab 4, tugas yang tidak kurang pentingnya adalah Penyambut Tetamu Rasmi. Oleh itu dalam Bab 7, protokol tentang aspek ini dihuraikan secara khusus oleh penulis. Tugas menyambut tetamu dalam acara rasmi biasanya dilaksanakan secara berkumpulan yang terdiri daripada beberapa orang ahli jawatan kuasa. Peranan penyambut tetamu amat besar dalam hubungan silaturahim anatra hadirin dengan jawatan kuasa yang menganjurkan sesebuah acara rasmi (ms 73). Atas sebab ini, penulis telah menyenaraikan dengan jelas ciri-ciri kriteria dan sikap penyambut tetamu termasuk ringkasan tugas seorang peyambut tetamu (ms 76 -78). Cara menyambut dan mengiringi tetamu turut dijelaskan dengan teperinci dan pada akhir bab ini, tips turut diberi penulis jika beberapa masalah yang boleh dijangka timbul dalam melaksanakan tugas sebagai penyambut tetamu.

 

Bab 8 : Susunan Tempat Duduk

 

Dalam Bab 8, penulis cuba memberi kefahaman tentang Susunan Tempat Duduk. Dalam bab ini penulis lebih banyak mengunakan teknik penceritaan berbentuk grafik dan gambarajah yang membolehkan pembaca memahami dengan lebaih mudah keperluan perbezaan susunan tempat duduk yang betul seperti susunan meja panjang, susunan meja utama, meja khas, susunan meja bulat, susunan apabila ada tetamu di-Raja, susunan bagi tetamu utama dengan atau tanpa pasangan.

 


Bab 9 : Protokol Sopan Santun Berbual
Bab 10 : Protokol Sopan Santun Berkenalan

 

Kesinambungan protokol dalam majlis seterusnya dihurai dalam bab seterusnya di mana Bab 9 tentang Sopan Santun Berbual dan Bab 10 Sopan Santun Berkenalan. Penulis banyak memberi panduan berguna dalam kedua-dua bab ini di samping mengingatkan amalan-amalan negatif yang perlu dilarang dalam majlis-majlis rasmi (ms 118 – 119).

 

Bab 12 : Protokol Susunan Tempat Duduk

 

Dalam Bab 12, penulis mengkhususkan tentang Susunan Tempat Duduk dalam pelbagai majlis. Susunan tempat duduk menggambarkan taraf, susunan keutamaan, kekananan dan kepentingannya. Penjelasan penulis banyak dibantu dengan lakaran gambarajah seperti contoh susunan tempat duduk di pentas, susunan bagi 4 orang, 2 pasangan dan susunan 6 orang, 3 pasangan (ms 140 – 143).

 

Bab 13 : Tatatertib Di Meja Makan

 

Bab 13 diteruskan oleh penulis dengan tajuk Tatatertib di Meja Makan. Ia dihuraikan dengan jelas seperti tatatertib menghidang, tatacara makan dan minum, mencuba rasa makanan malah tatacara menghisap rokok juga diterangkan. Pembaca juga diperkenalkan dengan pelbagai peralatan makanan, pencuci mulut, susunan peralatan bagi makan malam ala barat dan bagaimana peralatan ini sepatutnya digunakan (ms 152 – 157).

 

Bab 14 : Protokol Pemakaian

 

Bab seterusnya mengkhususkan tentang pakaian. Ini kerana pakaian memainkan peranan penting dalam mempengaruhi persepsi seseorang individu pada individu yang lain. Penulis menghuraikan secara khusus tentang cara pemakaian bagi kaum lelaki, wanita (ms 165 – 168), panduan pakaian Majlis Rasmi Kerajaan, Majlis Konvokesyen Universiti, pakaian Rasmi Istana, pakaian pada majlis seperti Berbuka Puasa, Majlis Pecah Tanah dan Rumah Terbuka.

 

Bab 15 : Kualiti Majlis

 

Bab 15 pula diteruskan dengan konsep Kualiti Majlis. Dalam bab ini, pembaca akan diperkenalkan dengan beberapa prinsip kualiti dan protokol majlis seperti JIT (Just in Time), kitaran kualiti, Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), Zero Defect, ISO (International Organization for Standardization) dan Benchmarking. Huraian tentang komponen dalam kualiti protokol acara seperti seumber manusia, bahan-bahan dan pihak kudua serta strategi kualiti pengurusan luaran turut dimasukkan dalam bab ini.

 

Penutup

 

Buku ini ditutup dengan cantiknya dalam Bab ke 16 sebagai bahagian terakhir dengan menyelitkan Pantun-pantun dan Gurindam Majlis. Ini kerana penulis berpendapat bagi menyerikan majlis, pengucap boleh menghiasi ucapannya dengan menyelitkan beberapa rangkap pantun atau gurindam. Pantun dan gurindam yang indah berseni ini dianggap alat yang berkesan untuk menyampaikan maksud di hati, lebih-lebih lagi majlis-majlis rasmi yang berunsur nilai tradisional (ms 197).

Secara keseluruhnnya buku ini ditulis dalam bahasa yang padat, mudah dan senang untuk difahami. Penulis juga banyak mengaplikasikan teknik lain selain berbentuk penceritaan seperti penggunaan elemen grafik, gambarajah, lakaran, jadual dan penyenaraian bernombor bagi memudahkan data dipersembahkan dan difahami. Amat membanggakan apabila penulis turut menyelitkan kelebihan dan keluhuran unsusr-unsur keislaman dalam beberapa bab seperti Adab Berbual menurut Islam (ms 115 – 117) dan Panduan Berpakaian dan Busana Muslimah (ms 167 dan 179) pada Bab 14. Penulisan buku ini juga banyak disokong dengan rujukan-rujukan kukuh dan asas yang boleh dipercayai seperti rujukan penulisan terdahulu, Kamus Dewan, Warta dan Pekeliling Kerajaan dan seumpamanya.

Bagaimanapun pada pandangan pengulas Bab ke 15 kurang relevan untuk dimasukkan dalam buku ini dan mungkin perlu digugurkan. Ini kerana topik yang diperbincangkan dalam Bab 15 iaitu tentang konsep Kualiti Majlis kurang berkaitan dengan protokol, etika dan tatatertib majlis. Ia juga topik yang boleh dianggap berat khususnya di bahagian-bahagian akhir buku yang mungkin boleh membosankan pembaca. Pengulas percaya bahagian ini akan kurang diminati dan akan banyak ditinggalkan pembacaannya oleh pembaca. Bagaimanapun kelemahan pada pengakhiran buku ini ditutup sepenuhnya dengan buah tangan tambahan daripada penulis kepada pembaca dengan memasukkan contoh-contoh pantun dan gurindam yang boleh diguna dalam majlis-majlis tertentu. Disinilah terserlahnya beza dan kelebihan nilai tambah buku ini berbanding buku-buku lain yang seumpamanya.

Secara keseluruhannya penulis buku ini menerangkan dengan jelas cara berpakaian, yang betul, tatatertib di meja makan, penyusunan meja makan dengan cara yang betul, adab sopan pertemuan dan perkenalan dalam majlis. Selain itu, ia menerangkan cara membuat panggilan hormat yang betul bagi tetamu-tetamu dari pelbagai jawatan dan gelaran, penampilan diri dalam majlis serta adab sopan ketika memberi ucapan dalam majlis. Buku ini sangat berguna dan sesuai dijadikan rujukan invididu dalam keluarga, jawatankuasa daerah, negeri, jabatan kerajaan dan swasta ataupun institusi pengajian tinggi.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: