Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Tip Menjadi Individu Menarik

Posted by blogpmm on November 30, 2009

Tip Menjadi Individu Menarik oleh Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah & Ahmad Naim Jaafar. 2005. Selangor : PTS Millennia Sdn. Bhd. 222 muka surat. Diulas oleh Zalinna Kaliman.Sept09

Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkelulusan Ijazah Agriculture Science dari Universiti Malaya, Sarjana di dalam Agriculture Journalism serta Ph.D dalam Organisational Communication. Beliau adalah pakar motivasi serta pengarah Urusan Excel Training & Consultancy dan ketua pengarah ETC Communication. Beliau pernah mengendalikan lebih 6,000 kursus dalam perkhidmatan untuk agensi-agensi kerajaa dan swasta dalam bidang motivasi, komunikasi, perhubungan awam, hubungan kemanusiaan, khidmat pelanggan etika kerja, kepimpinan, pembangunan diri dan sebagainya

Ahmad Naim Jaafar berkelulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau aktif sebagai perunding dan jurulatih dalam bidang pembangunan kepimpinan. Beliau banyak mengendalikan kursus dan seminar kepimpinan karismatik di jabatan-jabatan kerajaan dan organisasi swasta. Beliau adalah pengasas Pusat Pembangunan Kepimpinan yang menganjurkan program latihan untuk organisasi bagi mempromosikan pendidikan kepimpinan di Malaysia.

Ramai yang sering bertanya bagaimana ingin menjadi individu yang menarik. Antara persoalan yang sering bermain di fikiran ialah adakah kecantikan dan rupa paras atau kecantikan peribadi yang menjadi ukuran menarik atau tidaknya seseorang itu. Ramai yang membelanjakan wang yang banyak untuk kecantikan, ketrampilan dan ada juga melakukan sesuatu yang luar biasa semata-mata untuk menarik perhatian orang lain supaya diri kelihatan menarik. Tetapi hakikatnya adalah kita dapat menjadi orang yang menarik dengan melakukan perkara yang biasa sahaja. Unsur penarik berada dalam diri kita. Buku ini membongkar rahsia bagaimana hendak memiliki personaliti yang menarik tanpa membelanjakan wang yang banyak dan tanpa melakukan perkara-perkara yang luar biasa.

Buku ini mengandungi tujuh bahagian dan pada setiap bahagian diterangkan dalam bentuk tip-tip. Definisi menarik diterangkan pada bahagian pertama buku serta faktor-faktor yang menyumbang kepada sifat menarik seseorang itu antaranya seperti faktor fizikal, populariti, pandai bercakap, suara, pendidikan dan fizikal turut dibincangkan.

Bahagian dua membahaskan mengenai lelaki yang menarik daripada pandangan wanita. Menjadi seorang yang menarik adalah idaman seorang lelaki. Mereka hendak kelihatan menarik pada pandangan wanita. Walaupun menjadi menarik pada pandangan wanita tidaklah segala-galanya pada seorang lelaki, tetapi jelas ia penting dan ramai yang bingung dan pening kepala memikirkan bagaimana bagi kelihatan menarik pada pandangan wanita. Antara ciri-ciri lelaki yang menarik adalah ketrampilan yang kemas, kebijaksanaan emosi iaitu keupayaan dan kemahiran seorang lelaki mengakses emosinya dan menghargai perasaan dan emosi orang lain di sekelilingnya terutamanya wanita. Sifat budiman adalah aset berharga seorang lelaki dan sumber cinta pada mata seorang wanita yang harmoni. Lelaki yang berkeyakinan diri sesuai dengan fitrah lelaki sebagai pembela dan pemimpin kepada wanita. Lelaki berjiwa romantik adalah idaman wanita dan secara prinsipnya lelaki romantik adalah lelaki yang pandai membelai jiwa wanita dan faham keperluan wanita secara kejiwaannya. Lelaki yang matang, bertanggungjawab dan bersifat pendidik amat disukai oleh wanita kerana wanita mengharapkan lelaki yang mampu membawa mereka kepada kehidupan yang baik dan terpandu.

Bahagian tiga mengulas mengenai wanita yang menarik daripada pandangan lelaki. Wanita juga mahu dilihat menarik pada pandangan lelaki. Pelbagai cara wanita lakukan supaya kelihatan menarik namun mereka terlupa pada diri mereka sendiri sebenarnya ada daya penarik semulajadi cuma mereka tidak perasan. Lelaki tertarik kepada wanita yang memiliki sifat dan tingkah laku lembut supaya lelaki berbahagia dan hatinya berasa aman bila bersama wanita sedemikian. Wanita yang mempunyai sifat kebudakan dan manja disenangi oleh lelaki tetapi mestilah seiring dengan kematangan. Lelaki juga menyenangi wanita yang memiliki ciri-ciri keibuan kerana kerana sifat itulah yang mampu menjaga hal-ehwal keluarga terutamanya dalam mendidik anak-anak.

Bahagian empat membincangkan ketampanan dan kecantikan dari dalam. Tanpa kita sedar sebenarnya unsur kecantikan dan ketampanan sebenarnya datang dari dalam diri seseorang walaupun yang dilihat zahirnya adalah pada wajah yang cerah, senyuman yang manis, renungan yang menenangkan jiwa dan aturan kata yang indah. Namun sebenarnya semua itu datang dari unsur kecantikan dan ketampanan dalam diri seorang individu. Kecantikan dari dalam datangnya daripada hati yang bersih dan jauh daripada sifat-sifat buruk. Orang yang hatinya bersih secara automatiknya memiliki sesuatu kuasa magnetik yang luar biasa. Kata-katanya dapat meyakinkan lawan bicaranya. Perlu bersifat tulus ikhlas dalam pertuturan yang datang dari lubuk hati yang membina kepada kreadibiliti sebagai individu menarik.

Bagi menjadi individu menarik, perkara utama adalah membina konsep diri yang positif dengan itu individu itu sedar dirinya sendiri, jujur pada diri, orang lain dan juga persekitaran serta bersifat terbuka dan empati. Apabila seseorang suka dengan keadaan sedia ada mereka, ini akan membina sifat estim yang tinggi dan positif dalam diri mereka. Seterusnya dapat meningkatkan tahap motivasi diri yang membawa kepada kesan bersemangat, keinginan kuat untuk belajar, pandai menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan tanda. Kemampuan mengawal diri marah dan bertindak melulu semasa berhadapan dengan provokasi, diancam dengan kata-kata kesat dan kritikan yang melampau. Walau bagaimanapun kecantikan dan ketampanan dari dalam sahaja tidak memadai, ianya haruslah disertakan dengan imej, disiplin, dimensi serta penampilan diri yang baik bagi menyerlahlahkan ciri-ciri dalaman yang seseorang itu ada.

Setelah pengarang membincangkan sifat lelaki yang menarik pandangan wanita dan sebaliknya pada bahagian dua dan tiga, pengarang ada membincangkan bagaiman lelaki dan wanita saling jatuh cinta kerana puncak definisi menarik adalah apabila timbul pula perasaan cinta pada insan yang dilihat menarik. Kedua-dua perasaan ini iaitu tertarik dan jatuh cinta adalah saling berkait.

Pada bahagian enam tip-tip menjadi individu menarik yang dimulakan dengan perkara –perkara yang kecil dahulu. Apa yang penting adalah kita mulakan dengan tekad baru bagi menjalani kehidupan dengan jasad yang sama tetapi dengan pandangan dan fikiran baru ’saya seorang yang menarik’. Bagi merealisasikan matlamat ini, sikap-sikap diri yang positif antaranya muarah senyum, mudah mesra, kemahiran berbual, mendengar, bertanya soalan, hargai pandangan orang lain, selalu bersetuju, tidak cerewet, sering berterima kasih, merendah diri, kecantikan budi dan banyak lagi sifat-sifat terpuji diterangkan dengan lebih terperinci di dalam bab ini.

Buku ini tidak mempunyai kesimpulan tetapi bahagian terakhir dianggap sebagai penyudah kerana ia menerangkan tentang menarik yang hakiki. Sifat-sifat menarik yang telah dibincangkan adalah merupakan sifat-sifat dalaman pada seseorang. Apabila kita mempunyai ciri-ciri terpuji tersebut yang telah sebati di dalam diri kita, ianya akan bertahan, kekal lama dan menjadi hakiki berbanding kecantikan luaran dan fizikal yang pastinya akan hilang apabila tubuh dimamah usia.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: