Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

PENJELASAN BUDAYA ILMU

Posted by blogpmm on November 30, 2009

PENJELASAN BUDAYA ILMU
(Oleh: Wan Mohd Nor Wan Daud)
Diulas oleh: Kelana
Sept09
‘Penjelasan Budaya Ilmu’ membicarakan satu perkara pokok dan asas dalam pembangunan diri insan, masyarakat dan tamadun. Buku ini mengandungi takrifan yang dinamik dan penuh implikasi tentang budaya ilmu dan perkara-perkara bersangkutan dan harus disemai dan disuburkan dalam diri dan masyarakat kita. Buku ini menyelami lautan sejarah pelbagai bangsa dan tamadun. Islam dan yang bukan Islam, dari zaman kuno sehingga ke zaman kini. Penulis juga ada memaparkan kisah-kisah dan nilai-nilai utama yang dapat dimanfaatkan. Gagasan pengIslaman ilmu yang dipercayai sebagai wadah utama bagi penmanfaatan ilmu dari setiap sumber, dihuraikan dan dipaparkan sejarahnya buat kali pertama. Sehubungan dengan ini, sejarah dan perkembangan tradisi keilmuan di Alam Melayu, khasnya di Malaysia, diselidiki. Peranan pemimpin politik, pentadbir, para cendikiawan dan guru serta ibu bapa juga dikaji dalam pembinaan budaya ilmu. Buku ini mengandungi enam (6) bab, iaitu :

1) Budaya Ilmu dan Tamadun
2) Konsep Budaya Ilmu
3) Sistem Nilai Budaya Ilmu dan Jelmaan Sejarahnya
4) Islamisasi Ilmu
5) Budaya Ilmu di Malaysia
6) Pelaksanaan di Malaysia

BAB 1 : Budaya Ilmu Dan Tamadun

Penulis telah menghuraikan bahawa pembinaan budaya ilmu yang bersepadu dan jitu merupakan prasyarat awal dan terpenting bagi kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang dan sesuatu bangsa. Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan tidak boleh mempertahankan miliknya, apatah lagi mengembangkannya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu. Segala unsur harta dan takhta bukanlah merupakan ciri sebati dengan diri seseorang atau bangsa malah ia boleh memeluk atau menganut nlai dan ciri tamadun lain jika tidak ditunjangi oleh budaya ilmu yang baik. Penulis menjelaskan bahawa bangsa yang tidak besar jumlahnya boleh memberi pengaruh yang besar kepada bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Beliau juga telah menghuraikan enam (6) budaya ilmu mengikut bangsa iaitu :

1) Budaya Ilmu Yunani
2) Budaya Ilmu Yahudi
3) Budaya Ilmu di China dan India
4) Budaya Ilmu di Barat
5) Budaya Ilmu Islam
6) Budaya Ilmu di Jepun

BAB 2 : Konsep Budaya Ilmu

Budaya ilmu bermaksud wujud satu keadaan setiap individu atau masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Setiap tindakan diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian atau syura. Selain itu, ia juga tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal dan anti ilmu. Dalam zaman moden ini, makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang maklumat dan kemahiran sahaja. Misalnya di Barat, mereka berpegang teguh kepada kaedah sains iaitu ilmu yang hanya merujuk kepada fakta. Pada pandangan mereka ajaran agama telah terkeluar daripada takrif ilmu kerana agama dianggap sebagai kepercayaan atau dugaan semata-mata. Mereka ini tergolong dalam mazhab empirisisme yang didokong oleh tokoh seperti John Locke, David Hume, Herbert Spencer dan lain-lain. Mazhab rasionalisme juga menumpukan penekanan terhadap prinsip kekal yang diperolehi melalui akal rasional atau agama. Tokoh yang mendokong mazhab ini adalah seperti Socrates, Plato dan Descartes. Pertentangan antara dua mazhab ini yang mempunyai pengaruh dalam sejarah agama dan pemikiran Barat telah ditangani oleh golongan pragmatis seperti Charles S. Peirce, William James dan John Dewey. Ilmu dalam perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil yang meliputi pelbagai perkara dan bermaksud al-Quran, syariah, sunnah, iman, kerohanian, hikmah, makrifat, sains dan pendidikan. Setiap manusia yang berilmu akan berdiri teguh di atas keyakinan dan kebenaran yang dimiliki untuk melakukan keadilan. Oleh itu, budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami, mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu malah menjelmakan sifat keilmuan yang pelbagai bidang dan merentasinya. Sifat seperti ini harus disemai dalam diri setiap anggota masyarakat dan negara.

BAB 3 : Sistem Nilai Budaya Ilmu dan Jelmaan Sejarahnya

Pembinaan budaya ilmu dan tamadun yang lahir daripadanya merujuk kepada sistem nilai, pandangan dunia dan idealisme sesebuah sistem sosial serta individu di dalamnya. Prinsip asas pembinaan budaya dan tamadun ilmu yang bersepadu ialah konsep dan realiti tuhan, konsep manusia dan alam semesta. Nilai yang harus dimiliki oleh sesuatu budaya ilmu itu adalah :

a) Kepentingan ilmu
Meletakkan ilmu sebagai kebaikan utama dan asas bagi segala kebaikan lain. Nilai ini akan melahirkan sikap memberatkan pendidikan sebagai kaedah utama untuk menanamkan sikap memuliakan ilmu, menuntutnya dan terus menghayatinya seumur hidup

b) Berkekalannya usaha ilmiah
Setiap usaha dan hasil yang berteraskan ilmu mestilah bersifat kekal di mana apa jua usaha menemukan kebenaran dan melaksanakan keadilan merupakan sumbangan dan amal kebajikan bagi diri sendiri dan manusia

c) Berterusannya usaha keilmuan – dari buaian ke liang lahad
Usaha keilmuan mestilah menjadi usaha sepanjang umur kerana setiap manusia akan melalui pelbagai jenis tanggungjawab sepanjang hayatnya yang memerlukan ilmu untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya.

d) Nilai kepimpinan
Kepimpinan dalam masyarakat adalah faktor penting dalam menjamin pembinaan dan penyuburan budaya ilmu. Penggubalan polisi awam, pengagihan peruntukan, latihan yang boleh membina dan meneguhkan budaya ilmu memerlukan sokongan satu kumpulan bukan individu pemimpin yang berbudaya ilmu

e) Sikap homat-kritis
Keberanian mencari kebenaran dengan menimba dan memperbaiki hasil pemikiran manusia terdahulu dan semasa. Sikap hormat kepada cendiakawan tidak sepatutnya menyekat seseorang untuk terus memperbaiki hasil pemikiran mereka.

f) Kesinambungan tradisi ilmu
Budaya ilmu bermaksud mempunyai kepekaan dan kesedaran tentang kepentingan kesinambungan atau sejarah ilmu dan keilmuan. Ini kerana ilmu tidak terbatas dan manusia tidak mampu menghabiskan tenaga dan masa utuk sentiasa bermula dari bawah.

g) Syura
Proses syura merupakan penjelmaan ciri budaya ilmu di mana seseorang itu tidak mampu mengetahui semua perkara yang diperlukan untuk hidup. Oleh itu, bermusyawarah adalah diperlukan dalam hal yang berkaitan dengan kebaikan orang ramai di samping itu ia mencerminkan umat Islam yang sebenar.

h) Pengiktirafan peranan wanita
Kaum wanita merupakan lebih kurang separuh daripada umat manusia dan yang paling hampir dengan anak-anak dan remaja. Mereka memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan pembinaan budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia. Islam meletakkan tanggungjawab yang sama ke atas lelaki dan wanita untuk mencari ilmu dan melaksanakan tugas sebagai khalifah dan hamba Allah di bumi ini.

BAB 4 : Islamisasi Ilmu

Pemupukan budaya ilmu di peringkat individu atau masyarakat akan menghadapi persoalan dasar yang telah dirasai oleh dunia yang sedang membangun dalam bidang pendidikan iaitu penanaman semula benih pendidikan Barat. Ia mencerminkan penanaman semula yang tidak sempurna dengan sedikit perubahan dari segi perpindahan tempat pemusatan dari penjajah ke tempatan. Pemupukan budaya ilmu mengharuskan kita menfaatkan ilmu daripada semua sumber. Sepanjang sejarah umat Islam, telah berjaya melaksanakan pemanfaatan ilmu daripada pelbagai sumber dalam suasana psikologi yang kuat kerana kehebatan kedudukan ilmu dan tamadun Islam ketika itu. Para pemikir dan ilmuan Islam sentiasa berusaha menyebatikan idea daripada tamadun lain dengan ajaran Islam dan telah membawa hasil yang membanggakan. Ahli falsafah seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina dan lain-lain telah memasukkan ajaran Islam dalam sistem falsafah mereka yang banyak diperolehi dari faksafah Yunani.

Dalam sejarah intelektualisme Islam moden, gagasan Islamisasi ilmu adalah gagasan yang paling hebat dan mempunyai kecemerlangan ilmu kreatif Islam masa depan. Ini adalah kerana pada ketika itu, umat Islam tidak mampu menangani ilmu moden dengan adil terutama dari Barat yang mempunyai kejayaan ekonomi dan teknologinya yang hebat. Islamisasi menurut Dr. Gaafar Syeikh Idris adalah usaha terancang dan beransur-ansur yang akan menghasilkan satu masyarakat yang berpegang teguh kepada keseluruhan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Menurut penulis, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah tokoh Islam pertama yang mentakrifkan dengan jelas konsep proses Islamisasi iaitu “Islamisasi adalah pembebasan manusia daripada tradisi tahyul, mitos, animis, kebangsaan dan kebudayaan, akal serta bahasa dari pengaruh sekularisme”. Pemusatan proses Islamisasi menurut beliau tidak pada politik atau masyarakat tetapi pada akal dan diri manusia yang berkewajipan mengetahui dan bertindak dengan adil dan hikmah. Oleh itu, Islamisasi ilmu adalah sesuatu kewajipan, fardu ‘ain bagi setiap cendiakawan Islam yang terlibat dalam sesuatu disiplin ilmu.

BAB 5 : Budaya Ilmu di Malaysia

Kedatangan Islam di Kepulauan Melayu merupakan satu titik permulaan bersejarah dalam peningkatan akal budi orang Melayu. PengIslaman Kepulauan Melayu dikatakan bermula sejak pedagang Islam berbangsa Arab dan Parsi melarikan diri ke Kedah disebabkan keganasan Maharaja China, Hi-Tsung (878-889 M) di Khanfu. Wadah penyebaran Islam di rantau ini berlaku melalui tasawuf. Islam telah mengubah dasar pandangan dunia orang Melayu dan mengubah bahasa, pemikiran dan aspek-aspek sosio-budayanya. Mana-mana yang tidak secara terang bercanggah dengan ajaran Islam dibiarkan begitu sahaja. Di Indonesia menurut Profesor Mahmud Yunus, ilmu agama Islam diajarkan di madrasah, masjid, rumah dan di tepi perigi. Pengajaran kebanyakannya dijalankan melalui pendengaran kerana teknologi penulisan masih baru dan budaya ilmu secara bertulis tidak tersebar luas di Alam Melayu. Ia terbatas kepada golongan berada dan istana seperti Tun Seri Lanang, Ibn Battuta dan lain-lain. Setelah Kesultanan Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Kesultanan Acheh telah menjadi pusat keilmuan, kerohanian, intelektualisme, kebudayaan dan perniagaan terpenting di Kepulauan Melayu. Pemimpin Acheh seperti Sultan Ala al-Din Ra’ayat Shah, Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Taj al-‘Alam Safiyah al-Din Syah telah memainkan peranan penting dalam pengembangan berbagai ilmu keIslaman di rantau ini. Manakala cendiakawan-cendiakawan Islam yang telah mengembangkan budaya ilmu di sini adalah Nuruddin al-Raniri, Muhammad al-Hamid, Hamzah Fansuri, Abdullah Abdul Kadir Munsyi dan sebagainya.

Tamadun ilmu di Kepulauan Melayu pada zaman keagungannya mempunyai perbezaan yang nyata daripada apa yang tersebar di Timur Tengah, Sepanyol, Utara Afrika dan India. Ilmu yang banyak dibincangkan pada masa itu terhad kepada ilmu agama dan tasawuf sebagai memenuhi tuntutan ibadat seperti ilmu astronomi, ilmu hisab dan ilmu alam. Peranan Islam dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia adalah sangat ketara di mana ia telah mempunyai dasar dan potensi besar untuk disuburkan. Awal abad ke 20 telah membawa kesedaran betapa pentingnya pendidikan yang tersusun dan teratur untuk bangsa Melayu. Kesedaran ini telah memperlihatkan tiga aliran berasingan iaitu aliran agama tradisional, aliran pendidikan sekular berbahasa Melayu dan aliran sekular berbahasa Inggeris. Keadaan pemodenan dan pendidikan sekular tidak banyak berubah sehinggah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Namun tujuan dan falsafah pendidikan hanya memberi tumpuan kepada melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi tuntutan sebuah negara baru merdeka. Ilmu telah ditinggalkan dalam perkiraan nilai atau objektif utama pendidikan negara dan pembinaan program perubahan jentera kerajaan. Kedudukan ilmu sebagai satu perkara penting masih belum dapat menjelma dalam program pembangunan pengiktirafan terhadap golongan ilmuan dan belanjawan institusi masyarakat dan negara. Pengiktirafan kepada usaha yang disumbang oleh ilmuan seperti pendidik adalah masih rendah lagi. Menurut penulis, tujuan pengiktirafan adalah untuk menimbulkan rasa hormat kepada tugas pendidik dan menimbulkan semangat serta komitmen kepada golongan pendidik masa kini.

BAB 6 : Pelaksanaan di Malaysia

Bagi negara yang baru merdeka seperti Malaysia, golongan politik yang bertugas di peringkat tinggi dan pentadbir memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan iklim budaya dan arah pembangunan bangsa. Bagi golongan politik, tindak-tanduk dan kenyataan mereka memberikan implikasi besar terhadap kehidupan rakyat dan negara bagi semasa serta masa hadapan. Tetapi golongan ini tidak mempunyai latihan khusus dalam bidang yang berpengaruh ini. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai latihan profesional dalam bidang tertentu seperti bidang guaman, perguruan, kedoktoran dan lain-lain lagi yang sedikit sebanyak mempunyai pertindihan dengan ilmu politik dan pentadbiran awam. Di samping itu, “kursus dalam perkhidmatan” wajib diberikan kepada mereka tidak kira sama ada mereka dari parti kerajaan atau pembangkang yang memenuhi beberapa aspek asas.

Golongan kedua yang berperanan penting dalam pembangunan bangsa yang berteraskan ilmu ialah golongan guru dan ilmuan. Pandangan masyarakat masa kini terhadap golongan ini adalah lebih rendah berbanding sebelum merdeka dan beberapa tahun selepasnya. Keadaan ini disebabkan oleh dua faktor iaitu nilai masyarakat yang telah berubah daripada nilai yang menghormati ilmuan kepada lebih menghormati kebendaan dan pensekularan peranan guru yang telah disempitkan kepada tugas perkembangan akal dan jasad murid.

Golongan ketiga yang perlu dikembalikan peranan ialah ibu dan bapa di mana golongan ini adalah yang paling heterogen (meliputi berbagai lapisan masyarakat). Perubahan sosial dunia moden memperlihatkan keluarga semakin kurang berperanan sebagai unit pendidikan dan ianya telah diambil alih oleh negara dengan sgala agensinya. Ia adalah kerana ibu bapa terlalu sibuk bekerja di luar rumah dan hubungan keluarga “extended” (datuk nenek atau kaum kerabat tinggal sebumbung atau berdekatan) sudah hampir pupus. Di tambah lagi agensi budaya dan hiburan komersial cuba menarik minat dan penumpuan kanak-kanak dan remaja menghayati nilai yang menjadi dasar perniagaan mereka. Peranan keluarga sebagai unit asas dalam pendidikan harus dikembalikan dan ibu bapa mestilah berperanan sebagai guru dan bukan hanya pemberi makan dan pakai sahaja.

Sistem pendidikan kita sama ada yang formal atau tidak terlalu cenderung ke arah penyediaan tenaga kerja yang lebih produktif. Masyarakat pula amat terdedah kepada nilai luar yang merosakkan melalui media cetak atau elektronik. Akibatnya, generasi akan datang akan membayar dengan harga yang mahal disebabkan kecuaian ini. Sekarang ini pun, golongan muda banyak yang terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah dan lain-lain berpunca daripada faktor keluarga yang tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Oleh itu, peranan dan kerjasama golongan politik, guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan nilai yang terpancar daripadanya tersebar luas di kalangan masyarakat dan generasi akan datang.

Penulis di dalam buku ini telah memberi cadangan-cadangan untuk mencapai kebahagian sebenar di dunia dan akhirat, membina satu bangsa yang kuat dan mempunyai keupayaan pulih diri. Cadangan-cadangan itu adalah :

1) Sistem nilai dan falsafah pembangunan negara
2) Penghormatan kepada ilmuan dan pendidik
3) Merapatkan cendiakawan dengan masyarakat
4) Pembacaan bermutu
5) Peranan contoh pemimpin
6) Ilmu dalam membuat keputusan
7) Peranan media masa
8) Persediaan bahasa ilmu dan kegiatan terjemahan

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: