Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

MENANGANI KONFLIK EMOSI MENURUT PANDANGAN ISLAM

Posted by blogpmm on November 30, 2009

ULASAN BUKU OLEH ZURAINI BASARUDIN
JABATAN KEJURUTERAAN AWAM
TAJUK: MENANGANI KONFLIK EMOSI MENURUT PANDANGAN ISLAM
PENULIS: HARUN ARRASYID HAJI TUSKAN
DITERBITKAN OLEH: EDUSYSTEM SDN.BHD
TAHUN DITERBITKAN: 2006, Bil. Mukasurat : 181

PENGENALAN
Setiap manusia di muka bumi ini mempunyai emosi. Tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa. Sesetengah individu dapat mengawal emosi dengan baik, dan ada pula individu yang tewas dalam menguruskan emosi mereka. Kegagalan mengawal emosi boleh mendatangkan pelbagai masalah yang tidak sepatutnya berlaku seperti penderaan, amuk, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Hasutan terhadap emosi manusia merupakan peranan syaitan untuk menjadikan manusia tidak dapat mengawal dirinya dan bertindak di luar batasan. Sifat marah adalah fitrah manusia, namun ia akan menimbulkan masalah apabila manusia menjerumuskan keseluruhan dirinya dalam kemarahan yang melampau.

Kesan Marah
Apabila seseorang itu marah, mereka hilang pertimbangan dan kawalan diri daripada kewarasan akal kerana dikuasai oleh nafsu kemarahan serta emosional yang kuat membara. Dalam ketika ini akal tidak boleh berfikir secara waras dan tindakan akan dipengaruhi oleh emosi. Oleh itu, kemarahan boleh membawa kepada tertutupnya pintu hati untuk menerima sebarang teguran dan nasihat. Selain itu ia akan mengeraskan hati seseorang dan menyebabkan mereka lupa akan pada diri sendiri. Mereka tidak lagi memikirkan tindakan akibat perbuatan mereka asalkan dapat memuaskan hati mereka.

Mengatasi Perasaan Marah
Antara perkara-perkara untuk mengatasi perasaan marah adalah:
Menghilangkan sifat sombong – seseorang yang sombong meletakkan dirinya dapa darjat yang tidak sepatut dimilikinya. Berbanding dengan orang yang bersifat merendah diri yang tahu kecacatan dan kekurangan dirinya. Seseorang tidak akan sempurna tanpa kebajikan orang lain maka wajiblah perasaan sombong itu dihapuskan dalam diri.
Menghilangkan sifat bangga dalam diri – Individu yang suka membangga diri sebenarnya membangga sesuatu yang bukan miliknya. Tidak ada sesuatu benda pun yang kekal sepanjang hayat.
Jangan cepat sensitif dan melatah – selidik dan cari alternatif lain.
Ubah posisi fizikal – contoh dari keadaan duduk atau bangun. Ini menunjukkan kita tidak berminat memanjangkan perbalahan.
Tanam rasa kasih pada sesama manusia dan sentiasa memaafkan semua orang – Jiwa seseorang itu akan lebih merasa tenang dan redha terhadap ketentuan Allah.
Menunaikan solat dan sentiasa beristigfar kepada Allah – Solat merupakan senaman terbaik dan dapat mengendalikan emosi dengan baik.
Sentiasa berwuduk atau mandi – ini kerana terapi air dapat menyejukkan fizikal dan emosi.

Penutup
Buku ini banyak membincangkan tentang cara menangani emosi dan mengawal stress dalam kehidupan. Apabila emosi sesorang mengalami kecelaruan, ia akan melumpuhkan kewarasan akalnya. Sebagai umat Islam kita bolehlah memperbanyakkan zikir, melakukan solat-solat sunat dan mempelajari Al-Quran dan maksudnya serta mengamalnya. Dengan ini, insyaallah hidup akan lebih tenang dan bahagia.

“Kemarahan adalah mazmumah (sifat negatif dalam hati yang paling mendalam)”
– Imam Al-Ghazali
Sep09

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: