Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Kawal Berat Badan: Makan Banyak Kekal Sihat

Posted by blogpmm on November 30, 2009

Kawal Berat Badan Anda

Diulas oleh : NORBAYA BINTI OMAR

 

Penulis : BAHRIN SAMAH
Penerbit : ALAF 21 SDN BHD (Cetakan Pertama 2008)

 

Biodata Penulis

 

Bahrin Samah bertugas sebagai jurunding herba, penulis dan kolumnis untuk majalah MIDI. Beliau berkelulusan Master Herbalist Diploma (kepujian) dari Australasian College of Health Science, Oregon, Amerika Syarikat. Penulis juga merupakan ahli kepada Delta Epsilon Tau International Honor Society, Alpha Oregon dan American Herbalists Guild. Selain itu beliau merupakan phytotherapist sah Malaysia yang diiktiraf oleh Persatuan Terapi Komplementari Malaysia.

 

Berat badan, obesiti dan kegemukan merupakan satu isu sensitif terutama sekali kepada kaum perempuan, apatah lagi pengulas juga mempunyai berat badan yang telah melangkau berat ideal yang disarankan. Jadi!!! pengulas merasakan perlu mencari satu bahan bacaan yang dapat dijadikan sebagai rujukan untuk program mengawal berat badan sendiri. Buku Kawal Berat Badan: makan banyak kekal sihat mempunyai 28 bab menyentuh mengenai definisi obesiti, menyelam faktor-faktor obesiti dan merumus kaedah yang sesuai digunakan untuk menguruskan badan dengan cara sihat.

 

Obesiti & Kegemukan

 

Bab 1 hingga bab 9 menghuraikan definisi obesiti dan kegemukan,penulis merungkaikan faktor kegemukan itu berlaku. Tiga faktor dipilih sebagai penyebab iaitu genetik, sosial dan persekitaran dan akhir sekali fisiologi. Penulis menerangkan tindakbalas makanan keatas tubuh badan bergantung kepada jenis makanan tersebut. Ada jenis makanan menghasilkan alahan dan sensitiviti, ada yang melambatkan pencernaan dan penghadaman dan ada yang bertindak terus kepada sel-sel tubuh badan. Seperti MSG yang menyebabkan sakit kepala, loya dan jantung berdenyut tidak keruan. Risiko tindakbalas makanan akan menyebabkan peningkatan stress, merosakkan sel dalam badan, kebocoran salur darah dan penahanan air didalam badan selain itu metabolisme badan akan terganggu. Tiadanya pengawalan keatas jenis makanan tersebut akan mewujudkan pelbagai jenis penyakit kronik ke atas tubuh badan.

 

Kesan-kesan MSG

 

Bab 10 menerangkan kesan Monosodium Glutamate (MSG) keatas berat badan. Pada dasarnya MSG menambah kesedapan makanan, tetapi MSG juga mampu menyebabkan masalah neurologi dan juga menambahkan berat badan pengguna. MSG boleh merosakkan ‘isyarat leptin’ serta mencederakan hypothalamus yang berperanan mengawal selera makan, fungsi tiroid dan sistem endokrin. Hasil kajian juga menyatakan tikus yang diberi MSG boleh menjadi gemuk dan ada juga telah menjadi buta. Walaupun MSG diperbuat dari bahan asas berkarbohidrat, tetapi ‘starter’ pemprosesan MSG mungkin terdiri dari biproduk haiwan yang tidak halal. Sebaiknya, elakkan penggunaan MSG di dalam masakan anda.

 

Pemanis, Kafin & Nikotin

 

Bab 11 hingga 13 menceritakan tentang pemanis, kafien,nikotin dan kesannya keatas pengguna. Penggunaan gula berlebihan merupakan satu punca bertambahnya berat badan. Ia juga memaksa pankreas merembeskan insulin secara berlebihan. Insulin berperanan untuk mengangkut glukos kepada sel sebagai bahan bakar. Kepada individu yang kurang bersenam dan menggunakan gula secara berlebihan, tubuh akan mencapai keadaan ‘kekebalan insulin’. Reseptor tidak lagi mengenal insulin, maka glukos tidak dapat masuk ke sel dan kekal didalam darah dan akhirnya menyebabkan seseorang menghidap diabetes yang kronik. Pemanis tiruan juga bukanlah satu alternatif yang boleh diterima, kerana terdapat laporan penggunaannya boleh menyebabkan pengguna sakit kepala, gastrik dan denyutan jantung yang pantas. Penggunaan madu, sirap gula tebu hitam dan jus buah-buahan lebih digalakkan kerana ia lebih semulajadi dan kurang kesan sampingan.

 

Lemak

 

Bab 14 dan 15 menyedarkan pengulas bahawa lemak bukanlah penyebab utama kepada kegemukan. Dengan mengenali jenis-jenis lemak tidak tepu seperti minyak kelapa, santan kelapa dan minyak sapi kerana sifatnya tidak berubah apabila dipanaskan dan tidak meningkatkan tahap kolesterol, menguatkan fungsi hati dan tidak terhasil bahan penyebab kanser. Selain dari jenis minyak diatas, terdapat lagi jenis lemak yang lain iaitu lepa susu, minyak zaiton dan lemak itik dan angsa. Proses penghuraian dan pencantuman lemak di sepanjang perut hingga ke usus telah membantu penghadaman. Sebahagian lemak diangkut oleh protin dan di bawa ke hati untuk proses metabolisme dan menghasilkan tenaga. Selebihnya yang tidak menjalani proses metabolisme akan disimpan di bawah kulit sebagai tisu adipos.

 

Ciri-ciri Tubuh Badan, Tahap Kesihatan & Jenis-Jenis Nutrien

 

Bab 19 – Bab 28 menyarankan pengulas untuk mengenal sendiri ciri-ciri tubuh badan dan tahap kesihatan pengulas. Langkah pertama pengulas mestilah menilai julat berat badan yang sesuai berdasarkan ketinggian individu. Selain itu, kadar metabolisme pengulas perlulah diukur dan pilihlah jenis pemakanan berdasarkan jenis metabolisme. Gunakan garam asli, elakkan garam terproses. Pilih makanan yang mudah dihadamkan jangan pilih makanan yang lambat dicernakan. Bab 22 – 23 membincangkan suplement dan jenis-jenis nutrien yang dapat membantu menguruskan badan. Terdapat pelbagai vitamin dan suplemen banyak terjual di pasaran. Ada yang dapat bekerja dengan baik dan ada juga berbahaya untuk kesihatan. Jauhi suplemen yang mengandungi ephedra kerana ia meransang termogenic dalam masa yang sama menyebabkan sesak nafas dan jantung berdenyut tidak menentu. Suplemen berkafien berfungsi menipu otak untuk berasa segar dan ketagihan akan berlaku. Pilihlah suplement tradisional seperti air limau nipis, air nenas atau herba yang bertindak sebagai anti-tindakbalas makanan. Herba-herba yang dicadangkan Ma-Huang, Hempedu Bumi dan Dukung Anak serta lain-lain lagi.

 

Cara Hidup Sihat

 

Pilih cara hidup sihat, kurangkan stress kerana ia memaksa pankreas bekerja keras. Selalu bersenam supaya terhasilnya otot, andai kurang bersenam insulin yang meningkat akan menukar kalori kepada lemak. Kurangkan jenis makanan terproses, pilihlah beras basmathi atau beras perang kerana ia tinggi serat dan kurang menghasilkan glukos dalam darah. Makan secara berlebihan juga akan memudaratkan kerana dalam makanan itu sendiri juga mengandungi bahan kimia, bergula dan karbohidrat yang mampu mendedahkan diri kepada penyakit, melumpuhkan sistem kekebalan dengan memusnahkan sel-sel darah putih, mengurangkan pengeluaran antibodi dan mengganggu pengangkutan vitamin C.

Jadilah seperti orang terdahulu, kurangkan makan secara berlebihan. Orang dulu makan nasi seperti kita, tetapi mereka lebihkan sayur berbanding dengan daging atau ayam. Pilihlah makanan yang lambat melepaskan glukos ke dalam darah kerana ia dapat mengawal paras gula dalam darah.

 

Langkah-langkah Mengawal Berat Badan

 

Bab yang terakhir, penulis telah menyenaraikan langkah-langkah untuk membantu mengawal berat badan. Seperti makan mengikut metabolik, kenal makanan reaktif yang menyebabkan tindakbalas, elak makanan bergula, elak minyak yang mengandungi transfat seperti minyak kacang soya, jagung dan minyak bunga matahari dan banyak lagi. Dihujung penulisan, penulis telah meyenaraikan perkataan-perkataan di dalam glosari untuk memudahkan pembaca merujuk dan dan mengenal perkataan yang digunakan oleh penulis di sepanjang bab.

 

Penutup

Secara amnya buku ini bagus untuk di baca dan dijadikan rujukan. Penerangan mudah mengenai pemilihan makanan dan tindakbalas dan kesan makanan dalam tubuh badan, secara khususnya telah menyedarkan pembaca fugsi tubuh dan ciri-ciri umum tubuh badan pengulas. Cantik diluar tidak semestinya cantik didalam. Makan sedikit tidak semestinya anda akan lansing, jadi pilihlah jenis makanan yang tepat bersesuaian dengan tubuh badan anda.
Sekian terima kasih.

About these ads

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: