Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

JAMBATAN-JAMBATAN DI PUTRAJAYA

Posted by blogpmm on November 30, 2009

ULASAN BUKU “JAMBATAN-JAMBATAN DI PUTRAJAYA”
OLEH
NOORHASLIZAH BINTI AHMAD ROSLI
Sep09
Pengarang: Putrajaya Holdings Sdn Bhd
Tahun Terbitan: Oktober 2003
Penerbit: Putrajaya Holdings Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 105

Buku ini mengupas mengenai latarbelakang lapan buah jambatan yang terdapat di Putrajaya dan mereka yang membinanya serta pelbagai teknologi yang digunakan. Buku ini bertujuan untuk memperkenalkan Putrajaya kepada orang ramai dan sekaligus membuktikan bahawa Putrajaya merupakan pemangkin pembangunan kepada Malaysia.

Putrajaya adalah sebuah bandar raya model, yang menjadi tunjang kepada sebuah negara progresif serta nadi kemajuan rakyat berbilang bangsa dan budaya yang komited terhadap pembangunan dan kemakmuran negara tercinta. Keunggulan Putrajaya adalah hasil kombinasi unik keindahan alam semula jadi dan kecanggihan teknologi terkini, di antaranya ialah jambatan-jambatan yang tersergam indah lambang mercu kegemilangan Putrajaya.

Di putrajaya, jambatan dibina berasaskan kepada tiga ciri utama iaitu jambatan rasuk, jambatan gerbang dan jambatan kabel-penyangga. Jambatan rasuk menerapkan konsep pembinaan dengan menggunakan rasuk atau girder, di mana kaedah ini paling menjimatkan kos dan hanya melibatkan struktur rasuk mendatar yang disokong pada setiap hujungnya oleh tiang sambut. Tiang sambut tersebut akan menanggung berat jambatan dan sebarang kenderaan di atasnya. Bahan yang biasa digunakan ialah konkrit prategasan, di mana ianya merupakan bahan yang terunggul kerana mampu bertahan daripada kuasa mampatan dan regangan. Jambatan Di Putrajaya yang dikategorikan sebagai jambatan rasuk ialah Jambatan Putra, Seri Perdana, Seri Bakti dan Seri Setia. Jambatan gerbang pula melibatkan pembinaan yang mencabar, di mana pembinaan struktur gerbang amat dititikberatkan bagi membolehkan ianya menampung berat jambatan dan memastikan pengekalan keteguhan sehingga ke penghujung jambatan. Jambatan ini mempunyai ciri-ciri keteguhan semulajadi dan mempunyai nilai estetik yang tersendiri. Di antara jambatan gerbang di Putrajaya ialah Seri Gemilang dan Seri Bestari. Jambatan yang bercirikan kabel-penyangga pula menggunakan kabel, tali atau rantai yang diikat merentasi sungai di mana geladak akan digantung pada kabel. Menara tinggi sekurang-kuranya satu akan dibina untuk untuk mengikat kabel tersebut dan diperkukuhkan pada geladak oleh tambatan dan menyokong sebahagian besar beban laluan jalan dan berat jambatan dengan menyerap kemampatan yang disalurkan oleh kabel ke dalam tanah di mana ia tertanam dengan kukuh. Kabel pula berfungsi sebagai menanggung kuasa regangan dan boleh disusun mengikut corak perantara untuk mendapatkan nilai estetika yang lebih menarik. Jambatan Seri Wawasan dan Seri Saujana merupakan dua buah jambatan yang menggunakan kaedah kabel-penyangga ini.

Jambatan Putra merupakan sebahagian laluan rasmi utama yang menghubungkan Dataran Putra dengan Boulevard, jambatan ini menghubungkan Presint 1 (Presint Kerajaan) dan Presint 2 (Pembangunan Campuran) di Pulau Utama. Tempoh masa pembinaan jambatan ini ialah pada tahun 1997 hingga 2000, dibina sepanjang 435m dan 40m lebar. Di antara peranan jambatan ini ialah untuk memberi ketenangan kepada pengunjungnya, di mana ketenangan air di sebalik persekitaran yang berbukit-bukau menjadi penawar semula jadi kepada minda yang keletihan selepas seharian sibuk di pejabat.

Jambatan Seri Perdana merupakan jambatan yang menghubungkan Presint 8,9 dan 10 di seberang Tasik Putrajaya, di samping itu pengguna jalan raya juga dipaparkan dengan keindahan pemandangan Masjid Putra dan Dataran Putra. Jambatan ini menerapkan konsep ciptaan seni yang terserlah melalui reka corak jubinnya yang berwarna kekuningan serta kukuh walaupun strukturnya ringkas berbanding jambatan lain di Putrajaya ini. Tempoh masa pembinaan ialah pada tahun 1997 sehingga 1999, sepanjang 372m dan lebar 25.5m.

Jambatan Seri Bakti merupakan sebuah jambatan protokol, ini kerana jambatan ini menjadi penghubung untuk ke Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu jambatan ini juga menghubungkan Presint 1 dengan kawasan kediaman di Presint 16 yang turut menempatkan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri. Jambatan ini menerapkan gabungan klasik antara kesederhanaan dan fungsian sesebuah jambatan. Tempoh pembinaannya di antara tahun 1997 hingga 2000, sepanjang 270m dan jumlah lebar 27.12m.

Jambatan Seri Setia ini terletak di Tenggara Putrajaya dan menghubungkan Presint 4 dengan Presint 19 yang menempatkan Loji Rawatan Air Semenyih dan kediaman di dalam bangunan berkepadatan penduduk yang tinggi serta dilengkapi dengan pusat kesihatan, sekolah serta pelbagai kemudahan lain. Jumlah panjang jambatan ini ialah 210m dan dengan lebar 35.6m. Tempoh masa pembinaannya ialah 2000 hingga 2002 dan keistimewaan jambatan ini terletak pada tiang jambatan, di mana pereka bentuknya menyusun kedudukan dengan bijak dengan mengatur empat buah tiang sambut tirus ini secara berderet merentasi tasik bagi mewujudkan pemandangan balai gerbang tersebut dan meniruskan kaki jambatan ini telah menjadikan tiang sambut tersebut seolah-olah balai terapung.

Jambatan Seri Gemilang ini merupakan salah-satu penghormatan kepada bekas Perdana Menteri kita, Dato Seri Dr Mahathir bin Mohamad, di mana beliau benar-benar tertarik dengan sebuah jambatan klasik iaitu Pont Alexandre III di Paris, Perancis. Sebagai menghormati Perdana Menteri, pereka bentuknya telah menyahut cabaran untuk membina Jambatan Seri Gemilang setanding sebagai ‘kembar’ menakjubkan kepada Jambatan Pont Alexandre III. Jambatan ini menerapkan ciri-ciri seni bina dan kemasannya yang halus bagi mempersonakan para pengunjung terutamanya kepada perwakilan yang menghadiri berbagai persidangan di Pusat Konvensyen Putrajaya. Tempoh pembinaan jambatan ialah pada tahun 1999 sehingga 2003, dengan panjang 240m dan lebar 35.1m.
Jambatan Seri Bestari merupakan jambatan di sebelah Timur Laut Putrajaya yang menghubungkan Pulau Utama dengan Taman Warisan Pertanian di Presint 16 dan menjadi laluan terus dari kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Pulau Utama. Panjang jambatan ialah 152.6m dan selebar 27m. Keunikan jambatan ini terletak pada gerbang di bawah jambatan yang menampilkan reka corak estetika dan menyerlah.

Jambatan Seri Wawasan terletak di sebelah Barat Putrajaya, penghubung di antara Presint 2 dan Presint 8, serta memudahkan perjalanan merentasi Tasik Putrajaya. Jambatan ini mempunyai struktur menarik dan mempunyai nilai estetika tinggi serta kelihatan kontemporari, di mana reka bentuk kabel-penyangganya diilhamkan daripada keindahan sebuah kapal layar yang meregang ditiup angin. Jambatan ini merupakan jambatan jalan raya pertama di negara ini yang dibina berasaskan teknologi kabel-penyangga terkini dengan jumlah panjang 240m dan lebar 37.2m. Tempoh masa pembinaannya dari tahun 2000 sehingga 2003. Jambatan ini menjadi simbol kemampuan rakyat untuk mengharungi arus perubahan serta menyumbang merealisasikan wawasan Malaysia.

Jambatan Seri Saujana ini terletak di Barat-daya bandar ini menghubungkan Presint 7 dan Presint 4, sepanjang 300m dan lebar 34m. Tempoh masa pembinaannya pada 1998 sehingga 2002. Jambatan ini merupakan jambatan pertama yang berjaya menggabungkan dua teknik kejuruteraan berbeza iaitu gerbang dan kebel-penyangga, di mana ianya merupakan revolusi dalam pembinaan jambatan serta merupakan detik kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan di Malaysia. Projek ini telah memenangi pelbagai anugerah dan dibentangkan pada persidangan FIP di Osaka, Jepun, di mana merupakan penghormatan besar kepada jurutera dan pereka bentuk kita di atas kecemerlangan usaha mereka.

Secara keseluruhannya, kejayaan yang dicapai oleh jambatan-jambatan ini dari segi kejuruteraan dan seni bina membawa makna dan dimensi baru untuk warga Malaysia sebagai laluan kepada masa hadapan yang lebih cerah dan yakin di mana Malaysia digolongkan sebagai pemain, pesaing dan penggerak bertaraf global dalam segenap sudut. Jambatan-jambatan di Putrajaya akan sentiasa berdiri teguh dan menjadi lambang wawasan jauh seseorang pemimpin dan kebanggaan rakyat dalam membina sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertaraf dunia.

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: