Ulasan Buku

Mengulas buku, mengupas isi, meningkat kefahaman dan produktiviti.

Tamadun Islam

Posted by blogpmm on November 10, 2009

ULASAN BUKU “ TAMADUN ISLAM”

Oleh

HJ. MOHAMAD FAISAL HJ. AHMAD

Penulis : Hj. Ahmad Fauzi Murad & Ahmad Tarmizi Talib.

Penerbit : UPM : Serdang

Cetakan Pertama : 1997

Jumlah Halaman : 167

Tajuk : Tamadun Islam.

Kandungan buku ini cuba memaparkan kemampuan Islam sebagai sebuah tamadun sejagat untuk semua zaman. Ianya bertujuan untuk menjelaskan persepsi negative yang terdapat dalam masyarakat semasa tentang dunia Islam. Adalah diharapkan ianya dapat dimanfaatkan dalam menjamin mutu kehidupan yang beradab dan harmonis dalam proses globalisasi kini. Ia juga diharapkan agar dapat menampilkan keupayaan tamadun Islam dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia.

Buku ini mengandungi 14 bab, yang mana pada setiap bab dan ruangan yang terbatas ini pengarang mencuba membincangkan beberapa perkara asas yang telah berjaya membina tamadun unggul tersebut. Pada bab yang pertama pengarang cuba menampilkan tentang konsep dan pengertian agama, Islam, ibadah dan tamadun, seterusnya pengarang menerangkan tentang konsep-konsep asas tamadun Islam yang mana setiap tamadun itu lahir adalah berasaskan konsep manusia, masyarakat dan sejarah. Begitu juga sesuatu tamadun yang bangkit itu ada sifat-sifatnya yang tertentu, contohnya dalam bab ini pengarang cuba menyatakan bahawa antara sifat yang perlu ada seperti kesejagatan, keterbukaan, bersifat sepanjang zaman, toleransi antara tamadun, agama dan budaya lain dan kesatuan dalam kepelbagaian. Dalam bab ini juga ada diterangkan tentang ciri-ciri utama Islam dan juga penerangan yang agak terperinci berkaitan keunikan tamadun Islam dan perinsip keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam. (ms 1-9).

Seterusnya dalam bab yang kedua adalah penerangan tentang konsep Allah, Manusia dan Alam iaitu berkaitan tentang Konsep Huquq Allah atau hak-hak bagi Allah dapat diketahui dalam bab yang kedua ini, iaitu bagaimana manusia perlu menyempurnakan dan menunaikan hak-hak bagi Allah contohnya Allah berkuasa menjadikan manusia dan alam semesta ini, meletakkan garis panduan dan memberi kebebasan memilih antara yang baik dan buruk. Kemudian penerangan tentang konsep hak-hak bagi manusia seperti mengenal Allah, mengetahui garis panduan dan sebagainya dan seterusnya penerangan tentang konsep hak-hak bagi alam. Penulis juga cuba memberitahu tentang kaitan hubungan antara allah, manusia dan alam bagi tujuan ke arah memakmurkan lagi ala mini dan segala isinya. (ms 11-17)

Pengarang menerangkan dalam bab yang ketiga tentang sumber-sumber utama bagi tamadun Islam iaitu sumber yang paling utama adalah Al-Quran dan tinjauan Al-Quran dari pelbagai perspektif berkaitan tamadun hidup manusia dari sudut sejarah, social, politik, ekonomi dan kewangan, seterusnya menerangkan bahawa al-Quran adalah merupakan teras kepada perkembangan serta kewujudan pelbagai cabang bidang Ilmu serta tamadun dunia dan juga menjadi teras kepada aksiologi dan teori ilmu. (ms 18-24)

Dalam bab yang keempat menerangkan tentang konsep dan maksud epistemilogi dan aksiologi Islam, iaitu ada 5 alat dalam hirarki pencapai ilmu iaitu wahyu, ilham, intuisi, akal dan pacaindera yang mana kelima-lima ini merupakan elemen penting dalam kita memperolehi ilmu. Seterusnya pengarang menerangkan bagaimanakah berlakunya pelaksanaan nilai dalam kehidupan manusia selaras contoh yang ditunjukkan oleh baginda nabi SAW. (ms 25-38)

Pada bab yang kelima pula adalah berkaitan tentang sejarah perkembangan tamaduan Islam iaitu pengarang memberikan gambaran terhadap keadaan serta rupabentuk kehidupan masyarakat Arab sebelum Islam iaitu sewaktu jahiliah dan seterusnya kedatangan nabi SAW membawa sinar hidayah dan memerangi kejahilan, usaha itu kemudian diteruskan pula oleh zaman berikutnya iaitu al-Khulafa` al-Rashidin, zaman Umaiyah, zaman bani Abbasiyah, zaman Moghul dan Uthmaniah. Pengarang juga memberi penerangan dalam bab ini terhadap pengaruh tamadun Islam yang telah membawa kepada Renaissans di Eropah dan fasa-fasa pemindahan pemikiran Islam ke Eropah. Dalam bab ini juga menyatakan pengaruh tamadun Islam dalam pembinaan peradaban di Asia Tenggara khususnya di Alam Melayu. (ms 39-46)

Seterusnya dalam bab yang ke enam sehinggalah ke bab yang ke sepuluh pengarang cuba mengutarakan pula keunikan gabungan institusi-institusi kemasyarakatan, pendidikan, perekonomian, perundangan serta kehakiman dan politik serta pentadbiran. Hasil gabungan tersebut telah berjaya menghasilkan sebuah masyarakat yang maju dan berperadaban tinggi sehingga diakui oleh seluruh dunia sehingga ke hari ini. (ms 47-107)

Pengarang menerangkan dalam bab yang kesebelas hingga ke empat belas iaitu beliau mencuba membincangkan sains dan teknologi dari sudut pandangan falsafah Islam termasuk bidang-bidangnya yang telah diterokai oleh saintis Islam serta pencapaiannya contohnya seperti Al-Biruni (973 M-1048 M) ialah seorang ahli fizik muslim yang dikenali kepakarannya dalam bidang sains dan falsafah, banyak mengetengahkan banyak dapatan fizik eksperimen dan buku sumbangan beliau adalah al-ahjar, qanun al-mas`udi dan risalah fi anwa` al-suyuf. Abu Bakr al-Baghdadi (1077 M-1165 M) telah mengarang kitab al-Mu`tabar yang mempunyai maklumat idea-idea berguna tentang fizik seperti masalah pecutan, jasad terjatuh dan terluncur, keritikan terhadap fizik Aristotles dan menolak teori yang menyatakan daya malar menyebabkan gerakan seragam yang lajunya berkadaran dengan cahaya. Ibnu sina yang lebih dikenali dalam bidang perubatan juga menyumbangkan dapatan kajian dalam bidang fizik yang mana buku karangannya yang termasyhur adalah kitab al-Shifa dan qanun fi al-Tib, beliau merupakan tabib pertama yang secara tepat menerangkan meningitis, beliau juga telah menemui bagaimana jangkitan tibi berlaku, menjelaskan penyakit yang menyebabkan demam kuning (jaundice) dan banyak lagi tokoh-tokoh saintis Islam lain yang tidak dapat disebutkan disini menyumbang kepada perkembangan tamadun dunia. Tidak dapat dinafikan bahawa saintis Islam memberi sumbangan yang tidak terhingga kepada perkembangan sains moden. Pada akhirnya pengarang mencuba menyingkap konsep dan prinsip seni yang memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan tamadun Islam. (ms 108-166)

Seterusnya dengan apa yang cuba diketengahkan oleh pengarang dan buku ini maka akan terbina dan tercetuslah satu bentuk percambahan dan perkembangan minda baru yang mengingini agar tamadun Islam ini dikenali sebagai sebuah tamadun yang unggul kepada segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum dan agama agar ianya dapat difahami. Seterusnya dengan usaha yang kerdil ini mampu serta dapat memberi sumbangan yang amat bermakna kepada pencinta ilmu serta mereka yang mencari kebenaran dan pelajar yang mempelajarinya.

About these ads

Sorry, the comment form is closed at this time.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: